SATHIA KENA CONGAK STRATEGI BARU

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU - Kelantan terpaksa membayar harga mahal bagi mencatatkan kemenangan pada perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia menentang Perlis kelmarin apabila kehilangan perancang utamanya, Indra Putra Mahayuddin ketika bertandang ke Kangar, Perlis, Sabtu ini.

Ketiadaan penyerang itu kelak menggusarkan pengendali Sang Kijang, B. Sathianathan yang perlu merangka strategi baru untuk menentang Singa Utara pada separuh akhir kedua itu nanti bagi menentukan peluang melakar sejarah ke pentas akhir.

"Indra mendapat kad kuning kedua malam ini. Menurut peraturan jika sudah dua kali dilayangkan kad kuning pemain tidak dibenarkan beraksi untuk satu perlawanan.


"Ketiadaan Indra menjejaskan sedikit perancangan kita dan saya kena buat perancangan baru kerana Perlis, sebuah pasukan yang kuat," katanya kepada pemberita.

Pada perlawanan malam kelmarin, Kelantan berjaya menundukkan bekas juara itu 2-0 melalui jaringan penalti, Indra Putra dan sepakan Mohd. Rizal Fahmi Rosid.

Bagaimanapun Perlis menunjukkan aksi yang bertenaga dan menguasai hampir keseluruhan perlawanan tersebut dan kemenangan Kelantan bergantung kepada kelebihan nasib.

Stadium Sultan Muhamed IV sesak dengan kira-kira 25,000 penonton dan ramai lagi terpaksa berada di luar stadium dan gambaran suasana ternyata memberi tekanan bukan sahaja kepada pemain malah Sathia sendiri.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut hadir untuk bersama memberikan semangat dan turut menjanjikan ganjaran kerajaan negeri jika skuad Kijang berjaya membawa pulang Piala Malaysia buat pertama kali ke bumi Kelantan.

Sathia menambah, Kelantan hanya bernasib baik kerana berjaya menjaringkan dua gol walaupun permainan dikuasai oleh Perlis terutama pada separuh masa pertama.

"Saya memang tidak berpuas hati dengan perlawanan malam ini, kita tidak dapat bermain dengan baik cuma kita dapat menjaringkan gol sahaja.

"Kita beruntung kerana mendapat sokongan yang padu daripada penyokong, mereka telah memberikan semangat kepada pemain untuk terus bertahan," katanya.

Katanya, bekal gua gol yang dibawa ke Stadium Kangar tidak mencukupi kerana Perlis sebuah pasukan yang amat baik dan mampu menghampakan ribuan peminat Kelantan.

"Kalau kita boleh jaring dua gol, Perlis pun boleh jaringkan gol. Mereka bermain dengan baik," katanya.

Lain-lain berita...

Pengadil ganggu rentak permainan Perlis

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Bukan hendak mencari alasan tetapi itulah hakikat yang terpaksa diterima Perlis selepas tewas 2-0 kepada Kelantan dalam perlawanan separuh akhir pertama kerana keputusan pengadil yang boleh dipertikaikan.

Perkara itu diakui sendiri oleh pengurus pasukan, Mohd. Noor Aziz yang menganggap pengadil perlawanan begitu terikut-ikut dengan rentak penyokong dalam membuat keputusan.

"Kami menerima kekalahan ini tetapi keputusan pengadil adakalanya boleh dipersoalkan kerana terpengaruh dengan sorakan penonton," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, situasi tersebut bukan sahaja dapat merosakkan perlawanan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV kelmarin tetapi bola sepak negara secara menyeluruh.

"Keputusan memberi sepakan penalti pada Kelantan semalam juga boleh dipertikaikan kerana pada pengamatan saya kekasaran terhadap Indra Putra Mahayuddin itu berlaku di luar petak penalti.

"Lagipun pemain kami tidak menerjah ke kaki Indra Putra sebaliknya ke arah bola dan Indra Putra masih mampu untuk menyepak bola, saya tidak rasa ia satu kekasaran," kata Mohd. Noor.

Katanya, Perlis mempamerkan permainan mantap dari minit pertama sehingga ke minit akhir tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

"Bagaimanapun kami masih mempunyai 90 minit dalam perlawanan separuh akhir kedua di Kangar Sabtu ini dan Kelantan pula kehilangan Indra Putra yang digantung permainan. Hampir 100 peratus gerakan yang dilakukan oleh Kelantan pula direncanakan Indra Putra dalam permainan semalam dan ini adalah peluang terbaik kami untuk mengatasi mereka," katanya.

Menurutnya, Kelantan sudah tentu akan pincang tanpa kehadiran Indra Putra terutama sekali di bahagian tengah dan mengharapkan pemain Perlis segera melupakan kekalahan tersebut.

"Kami pula akan turun Sabtu ini tanpa Ahmad Fakri Saarani yang digantung kerana menerima dua kad kuning, tapi tempatnya bakal diambil alih Mohd. Firdaus Mohd. Faudzi atau Zamri Hassan.

"Saya berharap penyokong Perlis turun beramai-ramai di Stadium Utama Sabtu ini kerana kami menjangkakan penyokong Kelantan juga akan hadir dalam jumlah yang ramai," katanya.

Dalam perlawanan kelmarin Kelantan memperolehi jaringan pada minit ke-13 selepas pengadil perlawanan, Shokri Nor menghadiahkan sepakan penalti kepada Red Warriors apabila Chan Wing Hoong mengasari Indra Putra.

Sepakan tersebut diambil sendiri oleh Indra Putra sebelum Mohd. Rizal Fahmi Rosid menambah jaringan kedua pada minit ke-90.


Comments :

have 0 comments at “SATHIA KENA CONGAK STRATEGI BARU”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB