KOTA BAHARU, 14 Jun (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak bercadang mengambil tindakan disiplin atau menukar posisi pemain pertahanannya, Daudsu Jamaluddin sebagai 'hukuman' ekoran kecuaiannya menjaringkan gol ke gawang sendiri ketika menentang Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lepas.
"Kita tidak akan mengambil sebarang tindakan disiplin ke atas Daudsu atas kesilapan menjaringkan gol sendiri pada perlawanan itu yang menyebabkan Kelantan gagal membawa pulang piala berprestij," kata Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa kepada pemberita pada Selasa.
Terdahulu, Annuar, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, merasmikan majlis tabur benih padi di Bendang Permatang Pusu, Melor, dekat sini.
"Adalah tidak adil jika menghukum seseorang pemain yang baik hanya kerana sekali melakukan kesilapan tidak disengajakan, bukan jenis saya sebagai Presiden Kafa sanggup melakukan perkara itu.
"Malah, kita akan terus memberi semangat dan motivasi kerana kita mempunyai misi lebih besar untuk menempah tempat dalam Liga Super dan Piala Malaysia musim ini," katanya.
Annuar, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), berkata beliau tahu ramai peminat dan penyokong Kelantan kecewa dan marah terhadap kesilapan pemain Kelantan itu, dan sebagai Presiden Kafa, beliau sendiri lebih lagi merasai bahang itu.
Katanya Daudsu akan tetap diturunkan sebagai kesebelasan utama pada perlawanan Liga Super yang akan bertemu Perak di Stadium Mohammed Ke-IV malam Selasa.
"Kita juga tidak akan tukar posisinya di barisan pertahanan Red Warriors... kita kena ingat dalam insiden itu, ada dua lagi penyerang Terengganu di belakangnya yang mungkin akan menjaringkan gol biarpun Daudsu tidak melakukan kesilapan itu...," katanya.
Sementara itu, Annuar berkata Kafa akan memberi tawaran menonton secara percuma perlawanan persahabatan Kelantan dengan pasukan bola sepak sama ada dari Indonesia atau Thailand yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada 2 Julai.
"...tetapi dengan syarat peminat perlu membeli dua tiket bagi menonton perlawanan antara Kelantan dan Perak malam ini dan juga perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Myanmar pada 18 Jun ini dan mereka perlu menyimpan keratan tiket yang dibeli daripada kedua-dua perlawanan itu," katanya.
Katanya langkah mengadakan perlawanan persahabatan itu sebagai persediaan menyuntik semangat pemain selain ke arah melamar pemain pasukan terbabit menyertai Kelantan pada musim akan datang.
-- BERNAMA
Posted by
Cheni™
at
Rabu, Jun 15, 2011
KOTA BHARU, 11 Jun: Kerajaan Kelantan petang ini mengisytiharkan cuti umum esok sebagai meraikan kejayaan skuad Red Warriors memasuki perlawanan akhir Piala FA malam ini.
Anggota Exco kerajaan negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, keputusan itu dibuat Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebentar tadi.
Katanya, cuti umum peristiwa itu diberi memandangkan ramai anak-anak Kelantan datang ke Bukit Jalil bagi menyaksikan skuad bola sepak mereka berentap dengan Terengganu di perlawanan akhir malam ini.
"Menimbangkan di atas faktor keselamatan memandangkan ramai anak muda datang menyaksikan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini maka kerajaan negeri menimbangkan cuti peristiwa esok.
"Ini membolehkan mereka yang datang jauh tidak perlu pulang tergesa-gesa sehingga mengabaikan aspek keselamatan ketika berada di jalan raya," katanya dihubungi di Kuala Lumpur.
Tahun lepas kerajaan Kelantan mengisytiharkan cuti umum ekoran kejayaan skuad Red Warriors menjulang Piala Malaysia pada perlawanan akhir yang juga diadakan di Bukit Jalil. Pada perlawanan itu Kelantan menewaskan Negeri Sembilan.
Malah pada tahun sebelumnya pemain Negeri Cik Siti Wan Kembang juga menerima insentif daripada kerajaan negeri dengan tajaan menunaikan ibadat umrah di Makkah selepas layak memasuki pada perlawanan akhir Piala Malaysia.
Abdul Fattah berkata, pelbagai insentif diberi kerajaan negeri sebagai sokongan bagi membangunkan sukan bola sepak di negeri ini.
Malah katanya, kerajaan negeri telah mengumumkan cadangan membina stadium dan kompleks sukan yang lebih lengkap di Bukit Merbau, Pasir Puteh yang membabitkan kos lebih RM100 juta.
Oleh itu adalah diharapkan anak-anak Kelantan yang datang menyaksikan perlawanan malam ini di Stadium Bukit Jalil tidak perlu pulang dengan tergesa-gesa memandangkan esok sudah diisytiharkan sebagai cuti umum di Kelantan.
Difahamkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga akan datang memberi sokongan kepada pasukan Kelantan bersama-sama anggota Exco di Stadium Bukit Jalil sebagai suntikan semangat kepada pemain-pemain Red Warriors.
Pengumuman itu dibuat di laman Facebook Menteri Besar Kelantan itu.
"InsyaAllah pada malam ini saya akan turut serta menyaksikan perlawanan akhir Piala FA Kelantan vs Terengganu.
"Besok DIISYTIHARKAN CUTI UMUM di Kelantan sebagai memberikan peluang kepada anak-anak Kelantan pulang dengan selesa," umumnya.
Jaga akhlak dan tatatertib
Sementara itu, beliau juga mahu penyokong kedua-dua pasukan yang membanjiri stadium malam ini menjaga adab dan tatatertib masing-masing agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.
Ingatan sama turut diberikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mahu semangat kesukanan tidak dicemari dengan sebarang insiden pergaduhan.
"Malam ini sekali lagi Kelantan dan Terengganu akan bertemu didalam perlawanan akhir Piala FA, kepada pemain kedua pasukan, bermainlah dengan penuh semangat kesukanan.
"Kepada penyokong dan penonton jagalah akhlak dan saksiyyah anda walau dimana juga berada.
"Sementara yang menuju ke Stadium Bukit Jalil, berhati-hati dijalan raya," katanya yang juga bekas Menteri Besar Terengganu.
- Harakahdaily
Posted by
Cheni™
at
Sabtu, Jun 11, 2011
BERIKUT merupakan senarai kesebelasan pemain utama Terengganu dan Kelantan yang mungkin diturunkan pada perlawanan akhir Piala FA, malam Sabtu:
TERENGGANU
Penyerang: Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahaya
Pemain Tengah: Mohd Ashaari Shamsuddin, Reeshafiq Alwi, Ismail Faruqi dan Joseph Kallang Tie.
Pemain Pertahanan: Mohd Zubir Azmi, Mohd Mazuki Yusof, Mazlizam Mohd dan Helmi Remeli
Penjaga Gol: Mohd Sharbinee Allawee
KELANTAN
Penyerang: Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Ramzul Zahini Adenan
Pemain Tengah: S. Chanturu, Mohd Badhri Radzi, Mohd Shakir Shaari dan Nurul Azwan Roya
Pemain Pertahanan: Zairul Fitree Ishak, Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi dan Mohd Daudsli Jamaluddin.
Penjaga Gol: Khairul Fahmi Che Mat
Posted by
Cheni™
at
Sabtu, Jun 11, 2011
KUALA LUMPUR: Jurulatih dua pasukan gergasi Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu, optimis barisan pemain masing-masing mampu memburu kejuaraan Piala FA musim ini pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam Sabtu.
Jurulatih Kelantan Datuk M. Karathu berkata beliau mempunyai ramuan untuk membawa pulang buat julung kali Piala FA ke negeri yang dikenali sebagai serambi Mekah itu.
Katanya beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik dan yakin anak buahnya akan beraksi cemerlang untuk memburu kejuaraan pertama skuad Red Warriors itu.
"Kita tahu kekuatan dan kelemahan lawan dan begitu juga dengan mereka tetapi kami sudah pasti akan menentang secara habis-habisan," katanya pada sidang akhbar Piala FA di sini, Jumaat.
Walaupun telah menjinakkan Terengganu 3-0 pada saingan Liga Super pada Isnin lepas, Karathu berkata beliau tidak memandang rendah keupayaan Skuad Penyu kerana anak buah Irfan Bakti Abu Salim pasti akan cuba memberi kejutan.
Katanya beliau tidak mahu pemainnya terlalu yakin dan mengambil mudah pasukan lawan malah meletakkan sandaran kepada barisan penyerang yang diketuai oleh Norshahrul Idlan untuk mencari peluang sebaik mungkin untuk menjaringkan gol.
Sementara itu, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti berkata beliau gembira dengan kehadiran semula Mohamad Ashaari Samsudin setelah digantung satu perlawanan dalam saingan Liga Super Isnin lalu.
"Saya optimis kita akan menang esok. Saya harap Abdul Hadi Yahaya dan Abd Manaf Mamat mampu memperkemaskan jentera serangan bagi menghasilkan gol kemenangan," katanya.
Dalam pada itu, penjaring terbanyak Kelantan, Norshahrul berharap pasukannya dapat menjuarai Piala FA, secara tidak langsung menjadi kenangan manis dan dijadikan 'hadiah hari jadi' yang disambutnya pada 8 Jun lepas.
"Saya harap rakan sepasukan akan beraksi dengan baik khususnya di bahagian pertahanan agar penyerang Terengganu tidak mudah membolosi gawang," katanya.
Penyerang Terengganu, Abdul Hardi berharap sokongan daripada peminat setia Skuad Penyu mampu memberi dorongan dan semangat kepada pasukannya.
Terengganu pernah meraih sekali Piala FA pada tahun 2000 sementara Kelantan mencari kejuaraan pertama apabila hanya mampu menjadi naib juara pada 2009. - BERNAMA
Posted by
Cheni™
at
Sabtu, Jun 11, 2011
KUALA LUMPUR: Polis meminta para penyokong bola sepak Kelantan dan Terengganu supaya mematuhi segala arahan yang ditetapkan bagi mengelak sebarang kesulitan dan gangguan lalu lintas sepanjang perlawanan akhir Piala FA 2011 pada Sabtu ini. Pegawai Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur ASP Suffian Sulaiman berkata para penyokong yang datang dari arah Tol Gombak menuju ke Stadium Nasional Bukit Jalil boleh melalui dua laluan iaitu laluan terus dan laluan alternatif.
Pengguna yang mengikuti laluan terus dari Tol Gombak menuju ke MRR2 seterusnya ke Lebuhraya Kesas, akan tiba di stadium yang jaraknya 27.7 kilometer dalam masa 30 minit, katanya dalam satu kenyataan Khamis.
Laluan alternatif pula yang mengambil masa perjalanan 36 minit ialah dari Tol Gombak menuju ke MRR2, Lebuhraya DUKE, Jalan Duta, Jalan Mahameru, Lebuhraya Seremban, susur naik ke Lebuhraya Kesas atau susur naik ke Puchong Link (Bulatan Lumba Kuda), Puchong Link (Lebuhraya Bukit Jalil, Persimpangan Taman Teknologi Malaysia (TPM).
Selain itu, beliau berkata bagi memudahkan aliran kenderaan, tempat letak kereta dan bas bagi penyokong Kelantan disediakan di parkir E (Majlis Sukan Negara) dan parkir D (TPM).
"Ikut laluan bulatan lumba kuda ke Puchong Link (Lebuhraya Bukit Jalil), Persimpangan TPM dan 'U' turn ke MSN untuk parkir di D,E, Futsal dan TPM," katanya.
Pasukan Terengganu pula diperuntukkan parkir A dan B Bukit Jalil yang mana laluannya ialah dari persimpangan Sukom Interchange menuju ke Jalan Merah Cagar (North) ke kawasan parkir.
Suffian juga menasihati para penyokong agar tidak membawa barang-barang terlarang seperti botol air mineral, kayu, mercun atau bunga api, laser, mancis atau pemetik api, sebarang objek tajam sama ada besi atau kayu, senjata seperti parang, minuman keras, payung dan tongkat.
Sehubungan itu, beliau berkata polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyokong yang melanggar arahan yang telah ditetapkan.- BERNAMA
Posted by
Cheni™
at
Jumaat, Jun 10, 2011
KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Seramai 2,430 anggota polis serta 400 anggota Rela akan bertugas pada perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun ini.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata langkah itu bagi memastikan keselamatan di stadium berkenaan terkawal pada perlawanan akhir berkenaan.
"Kita mahu memastikan kawalan keselamatan berada di tahap maksimum. Seperti biasa, perlawanan akhir ini mempunyai emosi yang berbeza.
"Soal keselamatan ini kita tidak boleh leka. Dalam mesyuarat kita tadi, kita mahukan tahap keselamatan yang maksimum. Pertambahan jumlah anggota keselamatan itu adalah berdasarkan kepada kehendak semasa," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA dan melawat Stadium Nasional pada Rabu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia Datuk Salleh Abdul Rashid berkata keselamatan perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.
"Kita tidak mahu apa yang berlaku pada perlawanan lepas berulang semula. Pertambahan anggota secara langsung mempamerkan betapa kami serius dalam mengatasi isu keselamatan," katanya yang turut berharap penyokong kedua-dua pasukan mempamerkan disiplin tinggi dan tidak menimbulkan kekacauan.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamidin berkata seramai 85,000 penyokong dijangka menyaksikan perlawanan akhir tersebut di stadium berkenaan.
Beliau berkata tiket perlawanan akhir Piala FA yang berharga RM50, RM30 serta RM5 (untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun) akan mula dijual Persatuan Bola Sepak Kelantan dan Terengganu pada 6 Jun ini.
Kelantan dan Terengganu masing-masing mendapat sejumlah 30,000 tiket manakala baki 25,000 lagi akan dijual di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun mulai 9 pagi.
Hamidin juga berkata semua tiket akan diperiksa dengan sinaran ultra violet bagi memastikan ketulenannya di semua pintu masuk stadium bagi mengelak penggunaan tiket palsu seperti tahun lepas.
-- BERNAMA
Posted by
Cheni™
at
Khamis, Jun 02, 2011
KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersedia membantu menguruskan pembelian tiket untuk peminatnya menyaksikann perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 11 Jun ini.
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya juga telah berunding dengan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk mengadakan perkhidmatan tempahan khas bagi penyokong negeri itu bertandang ke Stadium Nasional.
"Ini bagi memastikan 60,000 penyokong Kelantan yang bakal menyaksi dan memberi sokongan kepada pemain dari negeri ini," katannya selepas berucap pada majlis orientasi dan pendaftaran Pelatih-Pelatih Akademi Red Warriors Al-Amra (Army) di Pangkal Kala, dekat sini, Sabtu.
Pada majlis itu, seramai 320 pelajar pelbagai peringkat umur menyertaiakademi itu yang bertujuan melahirkan pemain pelapis yang bakal mewarisikegemilangan pasukan bola sepak Kelantan.
Annuar berkata penyokong yang ingin ke Kuala Lumpur secara rombongan supayamenghubungi KAFA bagi mendapatkan tiket.Katanya tempahan tiket juga boleh dibuat melalui internet dan setiap orangboleh membeli empat tiket secara online dengan melayari www.redwarriors@tiket.com.my.-BERNAMA
Posted by
Cheni™
at
Ahad, Mei 22, 2011
KEMAMAN, 20 Mei (Bernama) -- Perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Kelantan dan Terengganu pada 11 Jun ini akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata perkara itu diputuskan hasil permohonon Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya perlawanan itu diadakan di venue itu.
"Oleh kerana ia diadakan pada bulan Jun dan dimasukkan dalam pakej permohonan FAM untuk menganjurkan pelbagai perlawanan persahabatan, termasuk perlawanan kelayakan Sukan Olimpik, kelayakan Piala Dunia pada bulan Jun dan Julai ini, maka saya meminta pihak stadium agar stadium itu dapat digunakan untuk perlawanan Piala FA yang akan datang ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasar Tani Chukai di sini pada Jumaat. Beliau adalah juga anggota Parlimen kemaman.
Mengulas mengenai aspek keselamatan semasa perlawanan akhir itu nanti, Ahmad Shabery melahirkan keyakinan terhadap penonton kedua-dua pasukan yang mampu menunjukkan sikap yang terbaik.
"Insyaallah Kelantan dan Terengganu adalah dua negeri yang paling akrab, boleh berkongsi budu, keropok lekor dan masing-masing makan nasi dagang, saya rasa masing-masing akan jaga kesopanan dan ketertiban.
"Kita dua negeri yang sepatutnya tidak berbalah, kalau logiknya kita jangka bukan bermain di Bukit Jalil tapi bermain di Besut, tetapi malangnya di Besut tidak ada stadium," katanya.
Kelantan layak ke perlawanan akhir dengan mengalahkan Selangor dengan agregat 6-2 manakala Terengganu mara dengan agregat 5-2 setelah mengalahkan Pahang.
-- BERNAMA
Posted by
Cheni™
at
Jumaat, Mei 20, 2011