NIK AZIZ JANJI BERI GANJARAN JIKA KE FINAL

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
bhsukan@bharin.com.my

MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, menjanjikan ganjaran daripada kerajaan negeri sebagai penghargaan, jika pasukan negeri itu mara ke final, seterusnya membawa pulang Piala Malaysia, musim ini.

"Saya bersyukur Kelantan menang 2-0 mengalahkan Perlis malam tadi. Saya beritahu kepada pemain, kalau masuk akhir, kerajaan negeri akan memberi sumbangan.

“Malam tadi, saya sudah beri RM5,000 sebagai penguat semangat menerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan berharap pemain bermain bersungguh-sungguh pada pertemuan kedua nanti," katanya yang pertama kali menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan negeri itu di Stadium Sultan Muhammad ke IV kelmarin.


Pada masa sama, Nik Aziz melahirkan rasa kesalnya terhadap sikap penonton yang membaling mercun dan bunga api, serta mengibar bendera parti ketika menyaksikan perlawanan bola sepak, yang dianggapnya tidak mengambarkan semangat kesukanan sebenar.

"Penonton mesti mempunyai semangat kesukanan dalam memberi sokongan, bukannya membaling mercun dan mengibarkan bendera parti politik, ini keseronokan melampau,” katanya.

Lain-lain berita...

Misi berbeza Irfan, Sathia

Oleh Wan Faizal Ismayatim
bhsukan@bharian.com.my


Irfan Bakti (kiri) dan B Sathianathan

Buru tiket final di Bukit Jalil

DI ATAS kertas, Kelantan sudah sebelah kaki melangkah ke final, tetapi jurulatihnya, B Sathianathan, menganggap cabaran berliku masih menanti sebelum kaki kedua dapat melangkah sama.

Pada ketika sama, rakan sejawatnya dari Perlis, Irfan Bakti Abu Salim, memberi amaran yang skuad Singa Utara menjanjikan kebangkitan pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Kangar, Sabtu ini.

Ketika Sathia mengakui anak didiknya beraksi di bawah tahap sebenar dan sekadar bernasib baik mencatatkan kemenangan ketika beraksi di depan 25,000 penyokong di Stadium Sultan Muhammed IV, kelmarin, Irfan pula menyesali ketumpulan jentera serangannya dalam menyempurnakan setiap peluang terhidang.

"Kami tidak bermain dengan baik. Namun, saya gembira kerana walaupun tidak bermain baik, kami menang dengan kelebihan dua gol. Memang kelebihan kini berada di pihak kami, tetapi kalau kami boleh menjaringkan dua gol di sini, Perlis juga boleh membalasnya di Kangar.

"Sepatutnya pemain saya menggunakan sorakan padu penyokong sebagai pembakar semangat untuk menunjukkan persembahan terbaik, tetapi ia tidak berlaku dan saya harap situasi ini akan berubah ketika kami ke Kangar nanti," katanya.

Namun, perancangan Kelantan bagi saingan kedua itu terencat apabila kehilangan kapten pasukan yang sudah menjaringkan 10 gol dalam kancah Piala Malaysia, Indra Putra Mahayuddin, kerana penggantungan satu perlawanan selepas menerima dua kad kuning.

"Tanpa Indra, saya perlu membuat percaturan baru, perlawanan kedua nanti pasti sukar apa lagi malam ini (kelmarin) Perlis lebih menguasai perlawanan terutama babak pertama yang jelas membuktikan kekuatan mereka selaku naib juara Liga Super," katanya.

Irfan pula melaungkan amaran betapa barisan pemainnya akan melakukan sesuatu bagi mengimbangi semula defisit jaringan, seterusnya membuka semula laluan ke pentas final.

"Saya beri jaminan Perlis akan melakukan sesuatu. Memang kelebihan dua gol yang dimiliki Kelantan itu agak selesa, tetapi kami akan berjuang habis-habisan ketika turun beraksi di tempat sendiri," katanya.

Perlis yakin mampu sekat Kelantan

Oleh Kamudin Baharom
bhsukan@bharian.com.my


KETIADAAN ayam tambatan Kelantan, Indra Putra (depan) kerana digantung menceriakan skuad Perlis.

SKUAD Singa Utara mahu menjadikan tempoh 90 minit separuh akhir kedua Piala Malaysia di di Stadium Utama Negeri, Kangar, Sabtu ini, sebagai ‘tempoh amukan’ bagi merampas tiket final dari tangan Kelantan yang kini selesa dengan kelebihan dua gol.

Jika Kelantan memikirkan kelebihan dua gol yang dimiliki mereka kelmarin sudah agak selesa, jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim menegaskan defisit itu mampu dipadamkan anak buahnya.

Malah ketiadaan ayam tambatan Kelantan, Indra Putra Mahyuddin yang terpaksa menjadi penonton kerana digantung satu permainan akibat dua kad kuning, adalah berita baik buat Perlis.

“Saya percaya walaupun ketiadaanya itu bukan satu jaminan kelebihan kepada kami, ianya sedikit sebanyak mampu menjejaskan perancangan Kelantan dalam memburu jaringan.

“Pada masa sama, ia menyuntik semangat pemain saya untuk memastikan kejayaan," katanya.

Mengulas perlawanan kelmarin, Irfan Bakti berkata, selain gagal melakukan penyudah terhadap peluang yang ada, terdapat beberapa pemain muda tidak beraksi pada tahap terbaik kerana beberapa kemungkinan termasuk gemuruh kerana beraksi di hadapan ribuan penyokong fanatik tuan rumah.


Comments :

have 0 comments at “NIK AZIZ JANJI BERI GANJARAN JIKA KE FINAL”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB