Memaparkan catatan dengan label AFF Suzuki Cup 2010. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AFF Suzuki Cup 2010. Papar semua catatan

Permulaan era baru untuk bola sepak Malaysia

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh Ahmad Fuad Yahya

JAKARTA, 30 Dis (Bernama) -- Kejayaan Malaysia merebut Piala AFF Suzuki 2010 bukan sekadar menamatkan penantian 14 tahun untuk unggul sebagai pasukan terbaik di Asia Tenggara, malah sekaligus merupakan permulaan era baru bola sepak Malaysia sejak zaman kegemilangannya 20 tahun lalu.

Ia juga membuktikan bahawa pasukan Malaysia bukan sahaja jaguh di gelanggang sendiri malah di gelanggang lawan yang dipenuhi dengan puluhan ribu penyokong


Apa yang diharapkan para penyokong ialah pasukan bola sepak Malaysia akan terus mengekalkan prestasinya di peringkat antarabangsa dan menambahkan gelaran juara di peringkat antarabangsa.

"Ini adalah permulaan era baru. Sebelum ini semua orang berkata bola sepak Malaysia sedang menjunam-menjunam. Sekarang apa yang dikehendaki oleh penyokong-penyokong akhirnya menjadi kenyataan," demikian reaksi spontan presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor Mohd Nasir Yunus sejurus selepas menonton perlawanan akhir kedua itu di Dewan Serbaguna Kedutaan Besar Malaysia di sini Rabu malam.

Beliau, yang mengetuai rombongan kumpulan penyokong Malaysia ke sini telah memutuskan menonton di layar besar di kedutaan besar itu sebagai protes terhadap tempat duduk yang diperuntukkan kepada mereka oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dan atas faktor keselamatan.

Beliau berkata, para penyokong bola sepak Malaysia berkata kejayaan ini akan menjadi penanda aras kepada pemain-pemain muda dan menjadikannya sebagai pembakar semangat kenapa mereka juga tidak boleh berjaya sebagaimana pasukan Malaysia ini.

"Kita mengharapkan peningkatan ini berterusan, penyokong yang dah ada tu kita boleh bertahan, kalau lepas ini prestasi mereka merosot, macam mana mereka nak kekalkan sokongan ini," katanya.

Oleh itu bila ada pertandingan lain di peringkat antarabangsa selepas ini, pasukan Malaysia mesti terus mengekalkan kemenangan agar sokongan para penyokong akan berkekalan.

"Harapan penyokong, selepas ini ada Sukan SEA, buktikan bahawa kejayaan ini bukan nasib semata-mata, Sukan SEA nanti di Jakarta juga," katanya.

-- BERNAMA

Read More......Permulaan era baru untuk bola sepak Malaysia

Malaysia juarai Piala AFF Suzuki untuk tamatkan penantian 14 tahun

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Malaysia menamatkan penantian selama 14 tahun selepas menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 pada perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF 2010 yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia Rabu malam.

Gol Malaysia hasil jaringan pemain negara Mohd Safee Mohd Sali pada minit ke-53 terus menjadi tamparan hebat kepada ribuan penyokong berbaju merah yang memenuhi stadium itu.


Pada 26 Dis lepas, skuad anak buah K. Rajagobal membawa bekal selesa iaitu 3-0 apabila menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Sepanjang tujuh edisi sebelum ini, Malaysia hanya sekali melangkah ke final iaitu pada edisi sulung kejohanan yang dahulunya dikenali sebagai Piala Tiger pada 1996.

Namun, pada final tersebut, Malaysia tewas 0-1 kepada Thailand sekaligus menjadikan skuad negara belum pernah merasai nikmat menjuarai kejohanan peringkat senior di Asia Tenggara itu.

Pada enam edisi berikutnya, Malaysia tewas empat kali di separuh akhir kepada Thailand (2000), Indonesia (2002, 2004) dan Singapura (2007) serta dua kali kandas di peringkat kumpulan (1998, 2008).

Selain Piala AFF Suzuki, pemain Malaysia Mohd Safee turut meraih gelaran penjaring terbanyak sepanjang kejohanan itu dengan lima gol.

Bermain di depan hampir 70,000 penyokong lawan, Malaysia dan Indonesia memulakan perlawanan secara berhati-hati dengan masing-masing melakukan percubaan untuk menguji gawang lawan.

Gawang Malaysia yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat diuji pasukan tuan rumah apabila pengadil Peter Daniel Green dari Australia, menghadiahkan sepakan penalti kepada Indonesia, selepas bola terkena tangan Mohd Sabre Mat Abu dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, ketua pasukan Indonesia Firman Utina yang ditugaskan mengambil sepakan penalti berkenaan, hampa apabila sepakan leret beliau ditangkap kemas Khairul Fahmi.

Separuh masa pertama berlalu tanpa sebarang jaringan gol, walaupun kedua-dua pasukan melakukan beberapa percubaan menarik dan mendebarkan bagi mencari gol pendahulu.

Selepas rehat, kesempatan terbaik Malaysia membolosi gawang lawan muncul pada minit ke-53 melalui rembatan kencang Mohd Safee, yang menerima umpanan daripada Norshahrul Idlan Talaha.

Tertekan dengan kedudukan itu, Indonesia melancarkan serangan bertali arus ke gawang Malaysia.

Pasukan "Garuda" memperoleh gol penyamaan selepas Mohammad Nasuha mengambil kesempatan bola rembatan Ahmad Bustomi, yang ditepis keluar Khairul Fahmi.

Suasana semakin tertekan bagi kedua-dua pasukan, bagaimanapun, pada minit ke-87, pemain Indonesia mendapat gol sagu hati apabila Mohamad Muslim Ahmad tertanduk masuk bola yang cuba diselamatkan daripada kekalutan di depan pintu gol Malaysia.

-- BERNAMA

Read More......Malaysia juarai Piala AFF Suzuki untuk tamatkan penantian 14 tahun

2010 Tahun Cemerlang Khairul Fahmi

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda


Khairul Fahmi melayan salah seorang penyokong Malaysia ketika tiba di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia, Isnin. GLENN GUAN/The Star

Oleh SURYATI MOHD NOR

KUALA LUMPUR : Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat ingin menjadikan 2010 sebagai tahun paling bertuah dalam hidupnya kerana bukan sahaja membantu pasukan Kelantan menjadi juara Piala Malaysia malah terpilih untuk beraksi dalam skuad senior mahu menjulang Piala Suzuki AFF.

Menurut Khairul atau lebih kenali ‘Apek’, tahun ini adalah sesuai untuk pasukannya melakar sejarah tersendiri, untuk muncul juara buat kali pertama selain menambah koleksi peribadinya.


“Mungkin ini adalah rezeki saya, kali pertama dipanggil menyertai skuad senior saya berjaya membantu Malaysia mara sehingga perlawanan akhir.

"Namun kejayaan ini bukan disebabkan saya seorang tetapi usaha keras semua rakan sepasukan,” katanya kepada media sebelum perlawanan di Jakarta, Selasa.

Khairul Fahmi yang juga penerima Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM tahun ini berkata, faktor kejayaan skuad negara mampu beraksi pada saingan akhir disebabkan semua pemain sentiasa fokus dan dan mengikut segala arahan jurulatih, K. Rajagobal.

“Mungkin ia dibantu dengan sedikit nasib ia membolehkan kami mara ke tahap ini, saya akui sebelum menyertai kejohanan ini saya sedikit gementar, begitu juga dengan akhir ini namun saya dapat menepis tekanan dengan baik.

“Saya bertambah semangat melihat rakan-rakan sepasukan berusaha keras dalam setiap perlawanan, ia membantu saya untuk menghilangkan segala tekanan dan semua melakukan tugas yang diberikan dengan baik,” katanya.

Khairul Fahmi mengakui segala kelemahan sebelum ini dalam pasukan, diperbaiki dengan baik ketika dalam latihan dan walaupun Malaysia menyenaraikan ramai pemain muda.

“Aksi awal di peringkat antarabangsa adalah sangat baik buat pemain muda seperti kami menimba pengalaman sebanyak mana yang boleh dan sekarang kami akan mendapat pengalaman baru mula beraksi di saingan akhir kejohanan ini,” katanya.

Sementara itu katanya, kejayaan menundukkan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Ahad lalu telah memberi keyakinan tinggi kepadanya untuk beraksi lebih baik di Stadium Gelora Bung Karno esok.

“Saya mengharapkan kejayaan menjadi milik pasukan Malaysia dan pastinya esok kami semua akan melakukan yang terbaik demi mencapai harapan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

- mStar

Read More......2010 Tahun Cemerlang Khairul Fahmi

Rajagobal minta media Indonesia hentikan provokasi melampau

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

JAKARTA, 28 Dis (Bernama) -- Media Indonesia diminta menghentikan provokasi melampau dalam laporan mereka yang boleh menjejaskan keharmonian dan semangat kesukanan antara Malaysia dan Indonesia dalam keghairahan pertandingan Piala AFF Suzuki 2010.

Jurulatih bola sepak Malaysia K Rajagobal yang membuat gesaan itu berkata tidak ada pihak yang mendapat keuntungan daripada provokasi berkenaan.


Bercakap pada sidang akhbar di sini Selasa, Rajagobal berkata pertemuan Malaysia dan Indonesia di gelanggang bola sepak selama ini sering diberi perhatian yang signifikan dalam erti hubungan akrab kedua-dua negara.

Beliau turut meminta semua pihak menerima hakikat bahawa menang dan kalah adalah lumrah dalam pertandingan sukan.

Merujuk kepada kekalahan 1-5 Malaysia kepada Indonesia pada peringkat kumpulan, Rajagobal berkata beliau menerima kekalahan itu dengan tenang dan sabar sekalipun dikritik pedas oleh media Indonesia.

"Pasukan Malaysia pernah tewas 5-1 kepada pasukan Indonesia dan kami menerimanya dengan cukup tenang biarpun kami dikritik teruk oleh media di sini (Indonesia).

"Apabila Indonesia tewas 3-0 baru-baru ini, kenapa pula ia menjadi isu kepada anda (media) di sini? Saya mahu anda menjawab soalan saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan Indonesia mengenai isu pancaran laser yang kononnya menjadi punca kekalahan 'Garuda' pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur Ahad lalu.

Rajagobal berkata beliau sentiasa mengamalkan profesionalisme yang tinggi dalam membimbing anak buahnya dan berharap penyokong serta media Indonesia mengamalkan prinsip yang sama.

Beliau juga mengulangi keyakinan bahawa pasukan Malaysia mempunyai peluang untuk menang pada perlawanan akhir kedua malam esok.

"Seperti jurulatih Indonesia yang yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya, saya juga optimis dengan kemampuan pemain-pemain bimbingan saya. Sehingga ke hari ini mereka mempamerkan skill permainan yang cukup baik.

"Saya juga berkali-kali mengingatkan pemain-pemain saya agar sentiasa fokus pada permainan dan jangan diganggu oleh faktor-faktor luaran yang negatif khususnya menjelang hari perlawanan nanti," katanya.

Rajagobal bagaimanapun tidak menafikan kemampuan pasukan Indonesia yang dianggapnya cukup cemerlang ketika beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

-- BERNAMA

Read More......Rajagobal minta media Indonesia hentikan provokasi melampau

Ada pihak cuba lemahkan semangat pasukan Malaysia, kata Ahmad Shabery

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

JAKARTA, 28 Dis (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini menganggap laporan kononnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) didenda dan digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berikutan isu pancaran laser pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2010 Ahad lalu, sebagai cubaan melemahkan semangat pasukan Malaysia.


"Kami telah merujuk dengan Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad dan mendapati perkara ini tidak benar sama sekali," kata beliau kepada wartawan Malaysia di sini, yang membuat liputan perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2010.

Pertanyaan mengenai perkara itu, oleh seorang wartawan Indonesia kepada Ahmad Shabery pada sidang akhbar bersama Menteri Negara, Pemuda dan Olahraga Indonesia Andi Mallarangeng, ternyata memeranjatkan beliau.

"Saya baru saja mendengar berita ini daripada anda (wartawan Indonesia). Kalau benar ada hukuman itu, saya fikir FAM pasti sedia maklum dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya (membuat rayuan)," katanya.

Pada sidang akhbar itu, beberapa wartawan Indonesia turut mengajukan soalan sama ada Malaysia membenarkan penggunaan laser itu.

Kekalahan Indonesia telah menimbulkan kekecewaan di kalangan penyokongnya dan media negara itu terus menggunakan isu pancaran laser ke arah penjaga gol pasukan "Garuda" sebagai alasan.

Ketika menjawab soalan itu, Ahmad Shabery berkata Malaysia amat menyesali insiden berkenaan dan berkata pihak berkuasa telah diminta menjalankan siasatan.

"Kami sentiasa berusaha memastikan setiap perlawanan berlangsung dalam suasana aman tanpa gangguan. Namun, untuk memastikan semua penonton berada dalam keadaan yang baik, ia di luar kawalan kami. Kerana itu, kami sentiasa dan akan terus memperbaiki kelemahan dan kesilapan itu pada masa depan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pasukan Malaysia juga melalui pengalaman yang sama apabila pemainnya dipancarkan laser ketika berdepan Indonesia pada perlawanan peringkat kumpulan di Stadium Gelora Bung Karno 1 Dis lepas, namun ia tidak membuat bantahan.

"Dalam laman web rasmi AFF juga ada ditayangkan video pasukan Malaysia terkena pancaran laser semasa beraksi di sini," katanya.

-- BERNAMA

Read More......Ada pihak cuba lemahkan semangat pasukan Malaysia, kata Ahmad Shabery

Piala AFF-Suzuki: Malaysia bawa kelebihan agregat 3-0 ke Indonesia

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Malaysia membawa bekalan selesa ke Jakarta selepas menumpaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF-Suzuki 2010 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini Ahad malam.

Mohd Safee Mohd Sali menjadi wira negara apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-59 dan 71, sementara Mohamad Ashari Samsudin menyumbang gol pada minit ke-67.


Perlawanan timbal balik akhir akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada Rabu ini bagi menentukan siapa yang bakal menjulang kejuaraan edisi kali ini.

Beraksi di hadapan kira-kira 85,000 penonton, Malaysia bermula garang dengan melakukan asakan bertali arus ke arah gawang Indonesia pada babak separuh masa pertama dengan mempamerkan corak permainan yang selamat.

Skuad 'Harimau Malaya' dan skuad 'Garuda' masing-masing melakukan asakan demi asakan namun buntu dalam pencarian gol sehingga wisel rehat dibunyikan.

Selepas rehat, perlawanan yang baru bermula 10 minit dicemari dengan insiden pancaran laser oleh penyokong yang menyebabkan jurulatih Indonesia, Alfred Riedl memprotes kepada pengadil, Toma Masaaki dari Jepun, dan akibatnya permainan terhenti selama lima minit bagi meredakan keadaan yang tegang di kalangan penyokong kedua-dua negara.

Sepanjang tempoh itu, keadaan dikeruhkan lagi apabila penyokong Indonesia mula membaling botol air mineral ke dalam padang dan diikuti oleh letupan bunga api yang dihalakan ke dalam padang oleh penyokong Malaysia.

Sejurus selepas itu, kedua-dua pasukan mula mempamer corak permainan yang lebih agresif namun anak didik bekas pemain kebangsaan, K. Rajagobal nyata lebih unggul apabila Safee Sali menjaringkan gol pertama Malaysia pada minit ke-59 hasil daripada lorongan bola yang diterima daripada Norshahrul Idhlan Talaha dalam kotak penalti.

Lapan minit kemudian, gawang Indonesia yang dikawal Markus Harison Rihihina sekali lagi dibolosi apabila Mohamad Ashari Samsudin, yang menggantikan Amirulhadi Zainal, membuat rembatan jarak dekat kira-kira dua meter dalam kotak penalti hasil umpanan Norshahrul yang terdahulu melepasi tiga benteng lawan.

Asakan bertubi-tubi pemain Malaysia sekali lagi berhasil menembusi gol Indonesia apabila Mohd Safee menanduk masuk bola hasil hantaran daripada luar kotak penalti oleh Mahalli Jasuli pada minit ke-71.

Tersentak dengan jaringan tiga gol, Indonesia cuba bangkit untuk mencari gol tunggal namun tidak berjaya hingga tiupan wisel penamat.

Rajagobal dalam sidang akhbar selepas perlawanan berkata beliau amat berpuas hati dengan prestasi dan pencapaian anak buahnya.

"Pada separuh masa pertama pemain bermain dengan cara bertahan dan menukar taktik selepas rehat. Pada masa rehat saya beritahu pemain bahawa inilah sahaja peluang pemain untuk mendapat bekalan selesa ke Jakarta nanti.

"Saya berbangga dengan pencapaian malam ini walaupun perlawanan malam ini dicemari insiden yang kurang disenangi oleh para penyokong, namun pemain negara tidak hilang fokus," katanya.

Sementara itu Riedl berkata perlawanan timbal balik akhir merupakan tugas yang berat bagi pemainnya kerana mereka perlu mengatasi agregat gol yang besar untuk merangkul gelaran juara Piala AFF-Suzuki.

"Gol pertama Malaysia memulakan segalanya apabila pasukan Indonesia mulai hilang fokus terhadap permainan. Saya rasa peluang agak tipis untuk menang di Jakarta, tapi kami perlu ambil pelbagai risiko dalam perancangan nanti," katanya.

Bagi Mohd Safee yang menjadi penjaring terbanyak pada kejohanan ini dengan empat gol, katanya beliau tidak menyangka dapat menyumbang dua lagi gol pada malam ini.

"Saya sangat yakin dengan persembahan saya dan rakan-rakan yang lain dan kami akan membawa momentum ini Rabu nanti di Jakarta," kata Mohd Safee, sambil menambah beliau berhajat untuk bermain dalam liga yang kompetitif di Indonesia selepas ini jika diberikan peluang.


-- BERNAMA

Read More......Piala AFF-Suzuki: Malaysia bawa kelebihan agregat 3-0 ke Indonesia

Siaran langsung perlawanan akhir Malaysia-Indonesia di TV1

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan siaran langsung perlawanan akhir pusingan pertama Piala Suzuki AFF 2010 antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata perlawanan dijangka bermula pada 8 malam.


"Ya, kita telah mendapat pemerhatian awam bahawa ini bukan pertandingan bola sepak biasa, ini pertandingan yang mendapat perhatian nusantara, sebab itu kami berusaha menayangkan siaran langsung," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Istana Budaya (IB) 2011 di sini, Selasa.

Malaysia melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas menewaskan Vietnam dengan agregat 2-0.

Pada aksi separuh akhir lalu, RTM menyiarkan siaran langsung hanya 30 minit selepas permainan berlangsung dan ini menimbulkan perasaan kurang senang peminat bola sepak.

Pertandingan akhir pusingan kedua akan berlangsung di Jakarta pada Rabu depan. -BERNAMA


Read More......Siaran langsung perlawanan akhir Malaysia-Indonesia di TV1

Rampas Piala Suzuki AFF: Terpulang kepada pemain, kata Rajagobal

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh SURYATI MOHD NOR

SEPANG: Kejayaan melangkah kaki perlawanan akhir Piala Suzuki AFF apabila menumpaskan Vietnam secara agregat 2-0, Sabtu memberi 1,001 makna kepada peminat-peminat sukan bola sepak tempatan yang sebelum ini sememangnya begitu mengharapkan kejayaan di peringkat antarabangsa.

Kali terakhir Malaysia mara ke final ialah pada tahun 1996, namun tumpas 0-1 kepada Thailand. Semenjak itu skuad negara gagal melepasi saingan suku akhir, malah ada satu masa turut terkandas di peringkat kumpulan lagi.


Ketua jurulatih negara, K.Rajagobal berkata, kejayaan ini adalah senario baru dalam bola sepak negara.

Katanya, beberapa tahun menunggu unuk samapi ke tahap ini dan inilah masa terbaik barisan pemain-pemain negara untuk mmembuktikan Malaysia juga mampu bersaing pada peringkat akhir.

“Berdasarkan aksi mereka sepanjang kejohanan ini berlangsung, mereka sememang layak menang pada perlawanan separuh akhir menentang Vietnam itu.

"Walaupun pada awal perlawanan, kita kalah 1-5 kepada Indonesia dan pelbagai kritikan diberikan kepada mereka, namun itu adalah bola sepak.

“Kami menerima kritikan itu sebagai semangat untuk terus bangkit, dan kini mereka telah membuktikannya. Namun kita kena sedar, kejayaan ini hanyalah sementara kerana perjuangan belum berakhir lagi.

"Mereka akan diberi rehat selama dua hari dan akan kembali menjalani latihan Selasa ini,” katanya kepada media sebaik sahaja tiba dari Hanoi di Terminal Penerbangan Tambah Murah (LCCT), Ahad.

Rajagobal berkata, faktor kejayaan Malaysia kali ini ialah disiplin pemain, mendengar arahan dan tidak lalai.

“Saya memuji barisan pemain negara terutama sekali kepada dua pemain muda yang baru berusia 19 tahun, Mohamad Muslim Ahmad dan Mohamad Fadhli Mohd Shas. Mereka tidak kekok dalam mempamerkan aksi walaupun ini pertama kali bermain di peringkat ini.

“Saya mengenali mereka lebih kurang dua tahun ketika mereka bersama skuad Harimau Muda lagi dan saya memang menjangkakan aksi mereka ini sekali gus membantu pasukan untuk mara ke final. Apa pun saya sememangnya tabik kepada semua pemain ini.

“Hanya tempoh seminggu menjelang final pusingan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Disember ini, saya menyerahkan segalanya terpulang kepada mereka kerana ini peluang keemasan untuk bergelar juara. Saya yakin keinginan meluap-luap dan saya harapkan yang terbaik pada final nanti,” katanya.

Selain itu, Rajagobal juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua jurulatih-jurulatih tempatan yang telah membantu melatih pemain-pemain sehingga berjaya mempamerkan aksi terbaik ini.

“Sokongan jurulatih-jurulatih tempatan serta penyokong-penyokong setia bola sepak tanah air adalah antara faktor mengapa kami berjaya hari ini. Selepas ini mereka ini perlu mengekalkan fokus dan konsisten ketika menentang Indonesia nanti,” katanya.

Read More......Rampas Piala Suzuki AFF: Terpulang kepada pemain, kata Rajagobal

Indonesia-Malaysia punya peluang 50-50 di pertandingan akhir Piala AFF

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

JAKARTA, 20 Dis (Bernama) -- Jurulatih Indonesia Alfred Riedl menyatakan peluang Malaysia dan Indonesia yang akan bertemu dalam pertandingan akhir Piala AFF Suzuki 2010 minggu depan adalah seimbang.

Pertandingan akhir itu akan dilaksanakan dua kali masing-masing di gelanggang tuan rumah iaitu di Kuala Lumpur pada 26 Dis dan di Jakarta 29 Dis.


"Pertandingan akhir ini nanti agak sulit. Meskipun pada babak penyisihan, kami pernah mengalahkan Malaysia 5-1 tetapi sekarang keadaannya agak seimbang sehingga peluang Indonesia menjadi 50 peratus dalam kejuaraan ini.

"Pasukan Malaysia pada masa ini bermain lebih baik sedikit dan lebih yakin diri," katanya.

Pasukan Indonesia akan berangkat ke Kuala Lumpur pada 24 Dis.

-- BERNAMA

Read More......Indonesia-Malaysia punya peluang 50-50 di pertandingan akhir Piala AFF

Malaysia mara ke final, setelah seri dengan Vietnam

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Dernama) -- Malaysia layak ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 setelah seri 0-0 dengan Vietnam dalam saingan separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi Sabtu malam.

Dengan itu pasukan negara yang menewaskan Vietnam 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini dalam perlawanan separuh akhir pertama Rabu lepas layak ke final seteleh menewaskan Vietnam dengan agregat 2-0.


Beraksi di hadapan penonton sendiri, Vietnam bermula garang pada babak separuh masa pertama dengan mempamerkan corak permainan agresif, namun gagal membolosi gol Malaysia.

Cubaan berbahaya penyerang Vietnam dapat ditangani oleh penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat bersama barisan pertahanan dengan cemerlang hingga tamat separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, Malaysia turut mempamerkan corak permainan lebih agresif dengan kedua-dua pasukan saling asak- mengasak untuk mencari gol, namun berkesudahan tanpa sebarang jaringan dilakukan hingga tamat perlawanan.

Pengadil memberi kad merah kepada pemain Vietnam, Pham Thanh Luong pada minit ke-71 apabila dia pura-pura jatuh seoah-olah dikasari oleh pemain Malaysia S. Kunanlan dalam kawasan kotak penalti.

Malaysia mendapat beberapa peluang pada saat-saat akhir perlawanan di hadapan gol Vietnam, namun dapat ditepis oleh penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong.

Dalam pertemuan separuh akhir pertama antara Indonesia dengan Filipina di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Jumaat malam, Indonesia menewaskan Filipina 1-0.

Perlawanan separuh akhir kedua antara kedua-dua pasukan akan diadakan di stadium yang sama Ahad malam yang pemenangnya akan bertemu Malaysia di perlawanan akhir.

Sepanjang tujuh edisi Piala Suzuki sebelum ini, Malaysia hanya sekali melangkah ke pertandingan akhir iaitu pada edisi sulung 1996 yang ketika itu dikenali sebagai Piala Tiger dan tewas 0-1 kepada Thailand.

Dalam enam edisi berikutnya, Malaysia tewas empat kali di separuh akhir kepada Thailand (2000), Indonesia (2002 dan 2004) dan Singapura (2007) serta dua kali terkandas di peringkat kumpulan (1998 dan 2008).

-- BERNAMA

Read More......Malaysia mara ke final, setelah seri dengan Vietnam

Malaysia tetap hati-hati hadapi skuad pincang Vietnam

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Walaupun skuad Vietnam dikatakan pincang tanpa empat tonggak utama pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di sini Rabu, jurulatih kebangsaan K Rajagobal mengingatkan anak buahnya agar sentiasa fokus dan berwaspada dengan corak permainan pantas lawan.


Kedua-dua pasukan akan bertemu pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pukul 8 malam manakala perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu.

"Walaupun ia merupakan perlawanan yang dianggap bukan mudah ditambah dengan pemain kita yang muda dan masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan namun ia bukanlah alasan untuk kita tidak beraksi dengan baik menentang Vietnam.

"Kita perlu rebut peluang ini kerana kita mengetahui seorang pemain dibuang padang dan tiga pemain Vietnam cedera namun kita masih menganggap mereka tetap berbahaya kerana dalam perlawanan dalam jangka masa 90 minit ini sukar diramal," katanya pada sidang media pra-perlawanan kedua-dua pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa.

Vietnam kehilangan khidmat dua pemain pertahanan, Doan Viet Cuong dan Hyun Quang Thant serta pemain tengah, Phan Van Tai Em akibat kecederaan sementara Nguyen Trong Hoang yang menjaringkan dua gol setakat ini pula masih menghadapi tindakan penggantungan.

Malaysia layak ke separuh akhir bertemu Vietnam setelah muncul naib johan Kumpulan A di Jakarta manakala Indonesia selaku juara Kumpulan A akan menentang naib johan Kumpulan B Filipina dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Rajagobal berkata walaupun corak pemain Vietnam pantas dan bertenaga namun beliau mengingatkan anak buahnya agar menyaingi kepantasan lawan.

"Saya mahukan pemain saya merebut peluang menang di tempat sendiri dengan menghadiahkan permainan terbaik buat peminat dan membawa bekalan selesa ke Hanoi nanti," katanya.

Mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan menentang Vietnam, jurulatih itu berkata beliau belum membuat sebarang keputusan kerana masih banyak yang perlu dirombak terutamanya pada bahagian pertahanan.

"Saya masih mahu melihat dan meneliti kelemahan-kelemahan di barisan pertahanan untuk mengekang kemaraan Vietnam membolosi gawang kita.

"Saya tidak mahu ada tekanan terhadap pemain dan ini tidak baik untuk konsentrasi mereka," katanya.

Beliau berkata skuad negara akan menyarung jersi berwarna biru menentang Vietnam yang akan memakai jersi berwarna putih.

Jurulatih Vietnam dari Portugal, Henrique Calisto berkata walaupun mereka hilang empat pemain utama akibat penggantungan dan kecederaan, pasukan itu akan berusaha sedaya upaya apabila bertemu Malaysia esok.

"Keseluruhan pemain berbeza daripada skuad sebenar yang dibentuk dua tahun lalu tetapi kualiti mereka adalah setara.

"Pada edisi sebelum ini dua tahun lalu, kami kehilangan tujuh pemain utama tetapi memberi tentangan hebat kepada Thailand sebelum tewas 0-2 dalam perlawanan akhir," katanya.

Barisan Kemungkinan:

--------------------

MALAYSIA: Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Sabri Mat Abu, Mohd Faizal Muhammad, Safiq Rahim, Mahalli Jasuli, Mohammad Muslim Ahmad, Amar Rohidan, Mohd Khyril Muhymeen Zambri, Mohd Amirulhadi Zainal, S. Kunanlan, Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Amri Yahyah.

-- BERNAMA

Read More......Malaysia tetap hati-hati hadapi skuad pincang Vietnam

Malaysia layak ke separuh akhir Piala Suzuki AFF

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

PALEMBANG (Indonesia), 8 Dis (Bernama) -- Malaysia berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010 apabila menewaskan Laos 5-1 dalam Kumpulan A di Stadium Jakabaring Kota Palembang, Sumatera Selatan, Ahad malam.

Tuan rumah Indonesia menghidupkan peluang Malaysia ke saingan separuh akhir apabila menewaskan Thailand 2-1 dalam satu lagi perlawanan akhir serentak Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.


Malaysia, yang tewas 1-5 kepada Indonesia dan seri tanpa jaringan dengan Thailand, perlu mendapat mata penuh ke atas Laos dan mengharapkan Indonesia mengalahkan Thailand.

Sekiranya, Thailand mengecewakan Indonesia malam ini, maka kemenangan Malaysia tidak memberi makna dan skuad bimbingan K. Rajagobal terpaksa pulang awal dari kejohanan itu.

Indonesia, yang mengekori Thailand 0-1 sehingga minit ke-70, bagaimanapun, menyempurnakan dua tendangan penalti oleh Bambang Pamungkus, bekas pemain Selangor yang beraksi dalam Liga Malaysia beberapa tahun lepas.

Sementara itu, Malaysia melakukan jaringan seawal minit keempat menerusi Amri Yahya tetapi Laos, yang seri 2-2 dengan Thailand sebelum ini, menyamakan kedudukan pada minit kelapan menerusi Lamnao Singto.

Bagaimanapun, Amri meletakkan Malaysia di hadapan sekali lagi menerusi jaringan pada minit ke-40 sebelum perlawanan berhenti rehat.

Selepas mengetahui Indonesia dan Thailand masih belum menjaringkan sebarang gol, pemain Malaysia turun semula pada babak kedua dengan penuh semangat dan keazaman.

Malaysia mengambil kesempatan dengan kelemahan bentang pertahanan lawan apabila menyumbat gol ketiga menerusi Mohd Amrulhadi Zainal pada minit ke-73 dan tiga minit kemudian Norshahrul Idlan Talaha mengukuhkan kedudukan.

Laos menghadiahkan gol terakhir Malaysia menerusi jaringan sendiri oleh Kitsada pada perlawanan yang dilanda hujan lebat.

Malaysia, selaku naib juara kumpulan, akan menentang juara Kumpulan B dalam saingan separuh akhir manakala juara kumpulan Indonesia akan berdepan dengan naib juara Kumpulan B.

Lawan Malaysia pada separuh akhir akan ditentukan antara Vietnam, Singapura atau Filipina.

Dalam perlawanan akhir Kumpulan B nanti, Filipina, yang membuat kejutan pada kejohanan itu dengan mendahului kumpulan itu akan menentang Myanmar manakala Vietnam akan bertemu Singapura pada perlawanan penentuan.

-- BERNAMA

Read More......Malaysia layak ke separuh akhir Piala Suzuki AFF

Piala AFF: Malaysia janji persembahan terbaik walaupun turun sebagai 'underdog'

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

JAKARTA, 30 Nov (Bernama) -- Malaysia berjanji akan menunjukkan persembahan terbaik walaupun turun sebagai pasukan 'underdog' pada kejohanan Piala AFF 2010 di Jakarta dan Palembang, Indonesia, yang bermula esok.

Jurulatih kebangsaan K. Rajagopal berkata Malaysia tidak ada sasaran khusus pada kejohanan ini lebih-lebih lagi dengan lapan pemainnya mengalami kecederaan, termasuk kembar Mohammad Aidil Zafuan dan Mohammad Zaquan Adha Abdul Razak.


Bercakap pada sidang akhbar di sini Selasa, beliau berkata daripada 22 pemain Malaysia yang dibawa ke kejohanan ini, hanya enam orang terdiri daripada pemain yang berusia lebih 24 tahun, yang lainnya adalah pemain muda.

Pada pertandingan pertama esok malam, Malaysia akan menghadapi pasukan tuan rumah Indonesia di Stadium Utama Glora Bung Karno, di hadapan puluhan ribu penyokong Indonesia.

Difahamkan Malaysia menempah lebih 5,000 tiket untuk para penyokongnya pada perlawanan malam esok di stadium berkapsiti 60,000 penonton itu. Rajagopal berkata pasukan Malaysia akan berusaha memberikan permainan yang menghiburkan pada kejohanan di Indonesia itu.

"Kecederaan para pemain itu bukan halangan, kami optimis akan bermain bersungguh-sungguh," katanya.

Rajagopal berkata tumpuan pasukan Malaysia juga tidak akan terganggu oleh kelebihan Indonesia seperti ketua pasukan Indonesia Bambang Pamungkas, yang pernah bermain untuk pasukan Selangor tidak lama dulu, yang sedikit sebanyak mengetahui corak dan gaya permainan pasukan Malaysia.

Sementara itu penolong jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia Wolfgang Pikal berkata pasukan itu akan menggunakan 4-4-2 dan mengawasi sekurang-kurangnya tiga pemain Malaysia yang menjadi kunci kekuatan Malaysia.

"Pergerakan striker nombor sembilan sangat cepat, nombor 20 memiliki tinggi 184cm dan nombor lapan," katanya dan menambah Indonesia akan tampil habis-habisan dengan banyak melakukan serangan di barisan pertahanan Malaysia.

Sementara itu ketika mengulas soal keselamatan pada perlawanan malam esok, pengurus pasukan Indonesia Andi Darussalam Tabussala meminta para penonton untuk tidak memasukkan sentimen negatif di luar lapangan, yang menghangatkan hubungan Indonesia-Malaysia beberapa waktu lalu.

"Kita bermain selama 90 minit, dan selama itu kita menjadi satu keluarga besar. Siapapun yang menang, kita serumpun dan bersaudara," katanya.

Rajagopal yang bersetuju dengan pandangan Andi berkata para pemainnya pada masa ini tidak khuatir dengan bayang-bayang isu anti-persaudaraan itu.

-- BERNAMA

Read More......Piala AFF: Malaysia janji persembahan terbaik walaupun turun sebagai 'underdog'

Senarai pemain Malaysia ke Piala AFF Suzuki 2010

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda



Senarai pemain Malaysia ke Piala AFF Suzuki 2010

SENARAI asal pertama 30 pemain Malaysia yang dipilih menyarung jersi skuad negara bagi saingan Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta bermula 1 Disember 2010. Tiga pemain tercedera iaitu Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd Nasriq Baharom akan diganti dengan pemain lain yang akan diumum oleh K Rajagopal selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan.


Penjaga Gol

1 MOHD FARIZAL BIN MARLIAS
22 KHAIRUL FAHMI BIN CHE MAT
28 MOHD SHARBINEE ALLAWEE BIN RAMLI

Pertahanan

2 MOHD SABRE BIN MAT ABU
3 MOHD FAIZAL BIN MUHAMAD
4 MOHD ASRARUDDIN PUTRA BIN OMAR
5 NORHAFIZ ZAMANI BIN MISBAH
6 MOHD NASRIQ BIN BAHAROM
7 KHAIRUL HELMI BIN JOHARI
11 MOHAMAD AZMI BIN MUSLIM
18 MAHALLI BIN JASULI
24 MOHAMAD MUSLIM BIN AHMAD
27 MOHAMAD FADHLI BIN MOHD SHAS

Tengah

8 SAFIQ BIN RAHIM
12 AMAR BIN ROHIDAN
13 AHMAD FAKRI BIN SAARANI
14 MOHD KHYRIL MUHYMEEN BIN ZAMBRI
15 GURUSAMY GOVANDAR KANDASAMY
16 KUNANLAN SUBRAMANIAM
17 ABDUL SHUKUR BIN JUSOH
19 MOHAMMAD FAIZAL BIN ABU BAKAR
21 MOHD AMIRULHADI BIN ZAINAL
23 BADDROL BIN BAKTHIAR
25 MOHD FANDI BIN OTHMAN
26 MOHAMAD ASHARI BIN SAMSUDIN
30 ABDUL HALIM BIN ZAINAL

Penyerang

9 NORSHAHRUL IDLAN BIN TALAHA
10 MOHD SAFEE BIN MOHD SALI
20 IZZAQ FARIS BIN RAMLAN
29 CHANTHURU SUPPIAH

Indra Putra Mahayuddin, Mohd Razman Roslan dan A Thamil Arasu adalah tiga nama yang disebut untuk menggantikan tiga pemain yang tercedera. Keputusan muktamad akan diumumkan nanti.

Sumber : Google.com

Read More......Senarai pemain Malaysia ke Piala AFF Suzuki 2010
Related Posts with Thumbnails

FB