JANGAN BIAR LIGA MALAYSIA TERUS LESU - ANNUAR

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KOTA BHARU - Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan perkembangan sukan No. 1 negara berada dalam keadaan gawat apabila hanya beberapa pasukan yang mendaftar untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) 2010.

Beliau berkata, pasukan yang berhasrat untuk menarik diri daripada saingan tersebut kerana hambatan kewangan perlu memikirkannya semula kerana ia akan menjejaskan prestasi bola sepak negara dan memalapkan sukan itu.

Katanya, kemelut yang melanda pasukan-pasukan itu akan hanya dapat diselesaikan sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut memainkan peranan.


"FAM perlu bezakan antara hutang lapuk dan hutang semasa, fokus perlu diberikan terhadap kedudukan kewangan semasa supaya tidak membebankan persatuan bola sepak negeri.

"Persatuan bola sepak tidak boleh menumpukan perhatian sepenuhnya untuk membayar hutang kerana jika dikira dengan hutang lapuk jumlahnya terlalu besar.

"Pasukan tidak boleh wujud dan mantap sekiranya persatuan bola sepak kerjanya asyik membayar hutang. Bagaimana penaja nak masuk dalam keadaan pasukan yang tidak bagus?" katanya ketika ditemui di sini semalam.

Annuar sebelum itu menghadiri majlis penyerahan cek RM52,000 sebagai bonus kepada para pemain Kelantan kerana berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Media semalam melaporkan hanya empat pasukan yang mendaftar untuk saingan Liga M tahun depan manakala beberapa pasukan dilaporkan berhasrat menarik diri.

Ia dikatakan berpunca daripada syarat baru yang dikenakan oleh FAM di mana setiap pasukan perlu mengemukakan bukti bahawa mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Setiap pasukan Liga Super perlu mengemukakan dokumen sebagai bukti mereka mempunyai dana kewangan RM2.5 juta selain deposit RM150,000 dan RM1.5 juta serta deposit RM100,000 bagi pasukan Liga Perdana.

Annuar berkata, FAM dan persatuan bola sepak negeri perlu menangani masalah ini secara kolektif bagi memastikan industri bola sepak negara terus hidup.

"Kita tidak boleh biarkan sukan bola sepak kita mati begitu sahaja. Apa pun prestasi pasukan bola sepak kita di peringkat antarabangsa, ia tetap sukan nombor satu negara.

"Kerajaan juga telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk prasarana sukan dan sebahagian besarnya untuk sukan bola sepak, jadi ia perlu diselamatkan," jelasnya.

Sumber : Utusan Malaysia


Comments :

have 0 comments at “JANGAN BIAR LIGA MALAYSIA TERUS LESU - ANNUAR”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB