Kewajipan majikan

| 0 comments
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

DARIPADA Khaitamah r.a katanya : Kami sedang duduk bersama-sama Abdullah bin Umara r.a. Tiba-tiba datang seorang ketua pelayan, maka Ibnu Umar berkata : Adakah engkau telah memberikan makanan kepada hamba sahaya? "Pelayan itu menjawab: Tidak." Ibnu Umar berkata : Pergilah dan berikanlah kepada mereka. Dan beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda : Cukuplah seseorang itu berdosa, ia menahan makanan terhadap orang yang di bawah kuasanya."

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:


Dalam pengurusan Islam, berlaku adil dalam semua aspek kehidupan sangat dituntut. Maka Islam mengajar umatnya menghormati manusia, walaupun berlainan fahaman dan anutan.

Justeru pekerja dan majikan adalah selamanya terikat dengan aqad (kontrak) yang antara lain menghendaki pekerja menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh kesungguhan lagi amanah, sementara majikan pula berkewajipan melayani atau mengambil peduli para pekerjanya dengan baik, ihsan dan adil.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


Read More......Kewajipan majikan

Jawatan Kosong : Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB)

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad memerlukan individu yang boleh bekerja dengan pengawasan yang minimum, bekerja dalam satu pasukan, dinamik, kreatif, dan inovatif untuk memperkembangkan bisnes Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad. Calon-calon yang berkelayakan adalah dipelawa untuk memohon jawatan-jawatan berikut :

1. PENGURUS AGRIBISNES
2. EKSEKUTIF KANAN


Tugas & tanggungjawab :
1. PENGURUS AGRIBISNES

• Merancang dan menyediakan kertas kerja projek serta menyelaras program-program yang berkaitan dengan aktiviti pembangunan agribisnes.
• Menyediakan kajian kemungkinan (feasibility study) yang berkaitan dengan pemajuan perusahaan atau industri yang berpotensi bagi pembangunan sektor agro-industri.
• Merancang, mengarah serta menyelaras aktiviti jualan dan pemasaran produk dan perkhidmatan syarikat.
• Mengendalikan kerja-kerja analisa ke atas cadangan projek yang diterima.
• Menyediakan business plan pemajuan perusahaan atau industri dalam agribisnes.
• Menyelaras dan memantau program dokongan peningkatan agribisnes.
• Menjalankan tugas yang diarahkan oleh pengurusan dari masa ke semasa.

Syarat kelayakan :
• Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian, Agribisnes yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau ;
• Ijazah Sarjana Muda atau kelulusan sebanding dalam bidang Pengurusan Perniagaan Tani (Agribisnes) / Pemasaran / Perekonomian atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
• Keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 5 tahun dalam bidang yang berkaitan.

2. EKSEKUTIF KANAN

• Merancang dan menyediakan kertas kerja projek serta menyelaras program-program yang berkaitan dengan aktiviti pembangunan agribisnes.
• Menyediakan kajian kemungkinan (feasibility study) yang berkaitan dengan pemajuan perusahaan atau industri yang berpotensi bagi pembangunan sektor agro-industri.
• Merancang, mengarah serta menyelaras aktiviti jualan dan pemasaran produk dan perkhidmatan syarikat.
• Mengendalikan kerja-kerja analisa ke atas cadangan projek yang diterima.
• Menyediakan business plan pemajuan perusahaan atau industri dalam agribisnes.
• Menyelaras dan memantau program dokongan peningkatan agribisnes.
• Menjalankan tugas yang diarahkan oleh pengurusan dari masa ke semasa.

Syarat kelayakan :
• Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian, Agribisnes yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau ;
• Ijazah Sarjana Muda atau kelulusan sebanding dalam bidang Pengurusan Perniagaan Tani (Agribisnes) / Pemasaran / Perekonomian atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
• Keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 3 tahun dalam bidang yang berkaitan.

Cara memohon :
Calon-calon yang berminat dipelawa menghantar resume yang lengkap kepada :-

Bahagian Pentadbiran & Sumber Manusia
Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad
Lot 1809, Bangunan KPKB, Jalan Bayam
15200 Kota Bharu, Kelantan.
Tel : 09-7474353
Faks : 09-7485787 eMail : psm@kpkb.com.my

Setiap permohonan adalah dianggap sulit dan persendirian.
Hanya calon-calon yang layak akan dipanggil untuk temuduga.

Permohonan ditutup pada 3hb Julai 2011


Read More......Jawatan Kosong : Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB)

Rajagobal puas hati prestasi anak buah kalahkan Myanmar

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KOTA BARU: Jurulatih skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal berpuas hati dengan prestasi pemainnya selepas berjaya menewaskan Myanmar 2-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini malam Sabtu.

Beliau berkata beberapa pemain baru seperti Mohd Farisham Ismail, Helmi Remeli dan Mohd Shakir Shaari juga telah bermain dengan begitu baik untuk pasukan negara menewaskan anak didik Zivadinoviv Milan.

"Kita ada kombinasi yang baik dan pemain telah berjaya menjaringkan gol awal seperti yang diharapkan dan ini merupakan harapan yang sangat baik untuk pasukan kita.


"Pemain yang baru juga bermain dengan baik dan saya sangat berpuas hati dengan prestasi mereka," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Gol kemenangan pasukan kebangsaan dijaringkan oleh Mohd Amirulhadi Zainal pada minit ke-28 dan Badrul Bakhtiar (minit ke-55).

Rajagobal juga turut memuji pemain Mynamar yang banyak menyerang dan hampir membolosi gol Malaysia.

"Mereka bermain baik dan agresif tetapi pemain kita berjaya menyekat kemaraan mereka," katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada sokongan penonton yang berjaya menyuntik semangat pasukan negara untuk mencipta kemenangan.

Milan turut mengucapkan tahniah di atas kemenangan pasukan negara.

"Kamu memiliki pemain yang bagus. Kami bekerja keras tetapi pasukan Malaysia adalah pasukan yang sangat baik dan lebih baik daripada pemain saya," katanya.

Beliau berkata Malaysia mampu menjadi pasukan yang digeruni dalam tempoh beberapa tahun lagi berdasarkan prestasi para pemainnya.- BERNAMA


Read More......Rajagobal puas hati prestasi anak buah kalahkan Myanmar

Studi: 'Menjilat' Atasan Bikin Hidup Sehat

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Pekerja yang tidak disenangi bos cenderung akan menerima tekanan psikologis.

VIVAnews - Mungkin Anda sering melihat sejumlah rekan kerja yang pandai mengambil hati atasan. Rasa kesal tak jarang muncul, ketika aksi itu membuat mereka menerima promosi jabatan atau kenaikan gaji. Terlepas efek buruknya terhadap lingkungan sekitar, sebuah studi mengungkap bahwa 'menjilat' bos membuat hidup lebih sehat.

Studi yang diterbitkan di Journal of Management Studies itu mengungkap bahwa tindakan semacam itu justru dapat mengurangi tekanan psikologis di tempat kerja. Tak hanya terhadap atasan, kemampuan seseorang merebut hati rekan kerjanya juga dapat menjauhkannya dari tekanan psikologis serupa.


Hasil studi itu menunjukkan, kemampuan seseorang melancarkan politik 'cerdas' untuk mengambil hati atasan dan rekan kerjanya akan meminimalisir terjadinya tekanan psikologis akibat pengucilan di lingkungan kerja.

Studi tersebut juga mengungkap bahwa pekerja yang mengalami pengucilan atau tidak disenangi bos cenderung akan menerima tekanan pekerjaan yang lebih berat, kelelahan emosional, dan kehilangan kreativitas serta produktivitas akibat tekanan yang muncul.

Berdasar survei terhadap 262 karyawan selama lebih lima tahun, sebanyak 29 persen dari 66 persen responden yang merasa diabaikan oleh bos atau rekan kerja memutuskan meninggalkan pekerjaan mereka (resign). Ini menunjukkan bahwa pengucilan di tempat kerja menjadi faktor pemicu stres individu yang berdampak pada kesehatan.

Dalam studi terhadap 215 karyawan di dua perusahaan minyak dan gas di China. tersebut, peneliti menguji hubungan antara kemampuan berpolitik di tempat kerja dan pengucilan di tempat kerja serta tekanan psikologis karyawan. "Data menunjukan bahwa pengucilan di tempat kerja berhubungan dengan tekanan psikologis," ujar Ho Kwong Kwan, salah satu penulis studi.

Menurutnya, proses mengambil hati dapat menetralisir hubungan antara pengucilan di tempat kerja dengan tekanan psikologis bila dilakukan oleh karyawan yang memiliki ketrampilan berpolitik. Namun, akan terjadi sebaliknya jika dilakukan oleh karyawan yang tidak pandai berpolitik.

Sementara jalan menuju kesuksesan dan kesehatan muncul dari 'menjilat', penulis studi memiliki saran yang lebih baik. Mereka mengatakan bahwa perusahaan harus menciptakan budaya yang menghambat munculnya pengucilan di tempat kerja dengan menyediakan pelatihan kepada manajer dan karyawan. Hal ini akan meningkatkan harga diri dan kepercayaan diri karyawan, mendorong teknik pemecahan masalah yang efektif, dan meningkatkan ketrampilan berpolitik karyawan. (umi)

http://us.kosmo.vivanews.com/news/read/226099-studi---menjilat--atasan-bikin-hidup-sehat

Read More......Studi: 'Menjilat' Atasan Bikin Hidup Sehat

Perlawanan persahabatan: Malaysia kalahkan Myanmar 2-0

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KOTA BAHARU, 18 Jun (Bernama) -- Skuad kebangsaan mengalahkan Myanmar 2-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini Sabtu malam.

Gol pertama Harimau Malaya dijaringkan oleh Mohd Amirulhadi Zainal pada minit ke-28 berikutan kesilapan pemain Myanmar tidak dapat menampan bola dengan kemas di depan pintu gol yang memudahkan Mohd Amirulhadi memasukkan bola ke dalam gol.

Malaysia terus menguasai permainan pada separuh masa kedua dan pada minit ke-55, Badrul Bakhtiar mencipta pula gol kedua Malaysia membolosi jangkauan penjaga gol Myanmar, Kyaw Zin Htet.


Pasukan kebangsaan terus menggasak namun beberapa percubaan melewati palang gol atau berjaya dihalang oleh penjaga gol Myanmar.

Hujan lebat sejak petang membataskan pergerakan pemain kedua-dua pasukan yang terpaksa bermain dalam keadaan berhati-hati dengan disaksikan kira-kira 10,000 penonton.

-- BERNAMA

Read More......Perlawanan persahabatan: Malaysia kalahkan Myanmar 2-0

Kemampuan skuad Harimau Malaya bakal diuji oleh Myanmar malam Sabtu

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KOTA BAHARU, 17 Jun (Bernama) -- Perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Myanmar di Stadium Sultan Mohammed ke-IV di sini Sabtu bakal menguji kemampuan pemain di persada antarabangsa.

Jurulatih skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal berkata beliau yakin pemain kesebelasan utama akan menampilkan persembahan terbaik bagi sajian peminat di luar Kuala Lumpur.

"Perlawanan ini akan menguji tahap keupayaan pasukan negara menghadapi Taiwan pada perlawanan kelayakan Piala Dunia pada 29 Jun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis suaikenal pemain pasukan Malaysia dan Myanmar di sini, pada Jumaat.


Rajagobal berkata walaupun tidak dapat menurunkan lima pemain utama akibat kecederaan namum beliau menaruh harapan kepada penyerang Abdul Hadi Yahya untuk membawa kejayaan menentang Myanmar.

Seorang wira 'Red Warriors' Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha turut tidak dapat diturunkan esok kerana mengalami kecederaan urat pelipat lutut ketika perlawanan Liga Super menentang Perak dua hari lepas.

Selain, Norshahrul, pasukan Harimau Malaya turut dibantu oleh empat tonggak Kelantan yang lain iaitu S. Chanturu, Mohd Shakir Shaari, Rizal Fahmi Rosid dan Farishan Ismail.

Sementara itu, ketua pasukan negara, Mohd Shafiq Rahim, yang juga penyerang Selangor, memberi jaminan pasukannya akan menunjukkan permainan terbaik menentang Myanmar.

"Ini bagi memenuhi hasrat peminat bola sepak Pantai Timur yang pertama kali diberi peluang menyaksikan perlawanan berprestij di peringkat antarabangsa ini yang diadakan di luar Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, Persatuan Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan "Kelate.net", Mahizi Mahmood berharap penyokong dan peminat di negeri itu akan menunjukkan disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi ketika menyaksikan perlawanan persahabatan itu.

-- BERNAMA

Read More......Kemampuan skuad Harimau Malaya bakal diuji oleh Myanmar malam Sabtu

Karathu puas hati Kelantan raih tiga mata penuh

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KOTA BAHARU, 15 Jun (Bernama) -- Ketua Jurulatih Kelantan Datuk M.Karathu nyata berpuas hati dengan kemampuan anak didiknya meraih tiga mata penuh setelah menang ke atas Perak 1-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, malam Selasa.

Katanya kekecewaan pada perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini terubat sedikit dengan kemenangan tipis itu dan membuktikan semangat pemain sudah kembali pulih.

"Ini kerana kita masih menghadapi satu lagi perlawanan menentang Sabah di gelanggang lawan 6 Julai depan," katanya di sini.


Karathu juga turut berpuas hati dengan prestasi Daudsu Jamaluddin yang dikritik hebat pada perlawanan menentang Terengganu bagi Piala FA, Sabtu lalu yang telah mempamerkan aksi yang dianggap memberangsangkan.

"Malah Daudsu telah membantu Nurshahrul Idlan Talaha menyumbat gol bermakna Kelantan pada minit ke-53," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Perak, Norizan Bakar berkata dia gembira kerana kesebelasan anak buahnya telah menunjukkan satu permainan cemerlang apabila berjaya mengekang pasukan tuan rumah daripada menambah jaringan gol.


-- BERNAMA

Read More......Karathu puas hati Kelantan raih tiga mata penuh

Semua stadium negeri tak sesuai untuk perlawanan antarabangsa:FAM

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KOTA BARU: Kecuali Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Shah Alam, semua stadium negeri didapati tidak sesuai menjadi venue sebarang perlawanan di peringkat antarabangsa kerana tidak mematuhi piawaian oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata semua persatuan bola sepak negeri dengan kerjasama kerajaan negeri masing-masing perlu mengambil inisiatif untuk menambah baik stadium yang ada jika mahu perlawanan peringkat antarabangsa diadakan.


"Kecuali dua stadium itu, yang lain masih tidak menepati piawaian FIFA dan AFC untuk diadakan perlawanan di peringkat antarabangsa dan sebab itu FAM merasakan perlunya persatuan negeri dengan kerjasama kerajaan negeri untuk menaik taraf stadium yang ada.

"Bagaimanapun FAM tidak lepas tangan seperti di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV apabila stadium ini telah dinaiktaraf untuk diadakan perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa," katanya selepas mesyuarat penyelarasan perlawanan persahabatan Malaysia menentang Myanmar di sini Selasa.

Pada majlis itu Azzuddin turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang menjadi tuan rumah pada perlawanan persahabatan itu yang diwakili Timbalan Presiden KAFA, Datuk Afandi Hamzah.

Azzuddin berkata FAM pada bila-bila masa bersedia untuk membenarkan mana-mana persatuan negeri yang lain untuk menganjurkan perlawanan persahabatan seperti itu sekiranya langkah-langkah tertentu diambil untuk menaik taraf stadium yang ada.

"FAM gembira KAFA dan pihak stadium telah melakukan pelbagai langkah untuk membaik pulih dan menaik taraf agar dapat digunakan pada perlawanan itu nanti," katanya.

Beliau berkata perlawanan persahabatan yang kali pertama diadakan di luar Lembah Klang itu adalah sebagai penghormatan kepada KAFA sebagai tuan rumah selain bagi membuka peluang untuk penyokong pasukan negara di Pantai Timur menontonnya.

Afandi pula berkata semua kerja pengubahsuaian dan menaik taraf stadium akan siap sepenuhnya pada Rabu.

"Kerja-kerja seperti naik taraf padang, lampu limpah, bilik persalinan pemain dan pemasangan jam digital akan siap esok bagi membolehkan perlawanan persahabatan itu diadakan dengan jayanya," katanya.

Tiket berharga RM15 bagi tempat duduk terbuka, RM50 untuk astaka, RM20 untuk astaka dua dan RM5 bagi kanak-kanak mula dijual di kaunter tiket stadium dan juga pejabat KAFA di Kampung Chicha, Kubang Kerian, di sini.

Perlawanan persahabatan itu akan diadakan pada Sabtu ini bermula 8.45 malam.

- BERNAMA

Read More......Semua stadium negeri tak sesuai untuk perlawanan antarabangsa:FAM

Liga Super: Kelantan kekal di tangga atas Liga Super, menang 1-0 ke atas Perak

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

SHAH ALAM, 14 Jun (Bernama) -- Selepas gagal menjulang Piala FA buat pertama kali Sabtu lepas, Kelantan bangkit memastikan kemenangan perlawanan Liga Super malam ini setelah menumpaskan Perak 1-0 seterusnya mengekalkan kedudukan teratas liga pada aksi di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Baharu malam ini.

Berbaki satu lagi perlawanan, skuad bimbingan Datuk M. Karathu kini mengutip 53 mata dan hampir pasti mengukuhkan cengkaman untuk membawa pulang trofi berprestij Liga Super ke Kelantan buat julung kali.


Aksi terakhir di gelanggang sendiri malam ini menyaksikan penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha membuat jaringan tunggal dengan rembatan sebelah kiri gawang Perak menerusi hantaran lintang oleh Mohd Daudsu Jamaluddin pada minit ke-53 untuk memastikan Kelantan mengutip tiga mata penuh.

Sementara itu, Terengganu yang baru ditabalkan juara Piala FA Sabtu lepas terpaksa bekerja keras melayan karenah 'adiknya' sebelum menewaskan T-Team dengan 3-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Dengan keputusan itu, skuad 'peteh ganu peteh' kini masih berada di tangga ketiga liga iaitu mengumpul 50 mata, tiga mata di belakang Kelantan dan satu mata di belakang Selangor.

Tiga gol Terengganu masing-masing dijaringkan oleh Abdul Hadi Yahaya menerusi sepakan penalti pada minit ke-59, Md Alimi Fahmi Kamaruddin (min-74) dan Abdul Manaf Mamat (min-86) sementara dua gol T-Team masing-masing dijaringkan oleh Samsul Kamal Mohamad (min-61) dan Indra Putra Mahayuddin (min-73).

Di SHAH ALAM, juara Liga Super musim lalu Selangor terus memastikan sisa perjuangan mempertahankan kejuaraan liga masih bernyala apabila menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Shah Alam.

Selangor terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi P. Gunalan yang membuat sepakan lencong mengelirukan menuju ke penjuru gawang gol menewaskan penjaga gol Felda United, Mohd Hamsani Ahmad.

Tersentak dengan keputusan itu, Felda United lantas mengubah corak permainan pada babak kedua dan hasilnya berjaya menyamakan kedudukan seri 1-1 melalui jaringan Mohd Azrul Ahmad pada minit ke-68 menerusi sepakan kencang akibat kelekaan barisan pertahanan Selangor.

Namun selang tujuh minit kemudian, skuad anak didik K. Devan kembali di hadapan apabila Safiq Rahim menyempurnakan sepakan penalti setelah dijatuhkan oleh pemain lawan, Muhammad Juzaili Samion dalam kotak penalti.

Di JOHOR BAHARU, Johor FC tidak mensia-siakan peluang terakhirnya bermain di gelanggang sendiri apabila turut menang tipis 2-1 ke atas Pahang pada perlawanan di Stadium JCorp, Pasir Gudang.

Dua jaringan tuan rumah masing-masing dijaringkan oleh Mohd Khairul Ismail pada minit ke-24 dan Mohd Rashid Aya (min-84) sementara gol tunggal skuad Tok Gajah disumbat oleh Azamuddin Mohd Akil (min-58).

Di ALOR SETAR, Kedah terikat seri 1-1 dengan Negeri Sembilan pada perlawanan di Stadium Darul Aman.

Kedah terlebih dahulu di hadapan apabila menjaringkan gol pembukaan oleh Badrol Bakhtiar pada minit ke-73. Namun harapan Kedah terpaksa berkubur apabila pemainnya sendiri, Shahril Faizal menjaringkan gol sendiri pada minit ke-81.

Di KANGAR, jaringan Razlan Oto pada minit ke-27 membolehkan Sabah mengutip tiga mata penuh apabila menang 1-0 ke atas pasukan tercorot liga, Perlis pada aksi di Stadium Utama Negeri.

-- BERNAMA

Read More......Liga Super: Kelantan kekal di tangga atas Liga Super, menang 1-0 ke atas Perak

KAFA tidak akan hukum Daudsu, kata Annuar Musa

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KOTA BAHARU, 14 Jun (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak bercadang mengambil tindakan disiplin atau menukar posisi pemain pertahanannya, Daudsu Jamaluddin sebagai 'hukuman' ekoran kecuaiannya menjaringkan gol ke gawang sendiri ketika menentang Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lepas.

"Kita tidak akan mengambil sebarang tindakan disiplin ke atas Daudsu atas kesilapan menjaringkan gol sendiri pada perlawanan itu yang menyebabkan Kelantan gagal membawa pulang piala berprestij," kata Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa kepada pemberita pada Selasa.


Terdahulu, Annuar, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, merasmikan majlis tabur benih padi di Bendang Permatang Pusu, Melor, dekat sini.

"Adalah tidak adil jika menghukum seseorang pemain yang baik hanya kerana sekali melakukan kesilapan tidak disengajakan, bukan jenis saya sebagai Presiden Kafa sanggup melakukan perkara itu.

"Malah, kita akan terus memberi semangat dan motivasi kerana kita mempunyai misi lebih besar untuk menempah tempat dalam Liga Super dan Piala Malaysia musim ini," katanya.

Annuar, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), berkata beliau tahu ramai peminat dan penyokong Kelantan kecewa dan marah terhadap kesilapan pemain Kelantan itu, dan sebagai Presiden Kafa, beliau sendiri lebih lagi merasai bahang itu.

Katanya Daudsu akan tetap diturunkan sebagai kesebelasan utama pada perlawanan Liga Super yang akan bertemu Perak di Stadium Mohammed Ke-IV malam Selasa.

"Kita juga tidak akan tukar posisinya di barisan pertahanan Red Warriors... kita kena ingat dalam insiden itu, ada dua lagi penyerang Terengganu di belakangnya yang mungkin akan menjaringkan gol biarpun Daudsu tidak melakukan kesilapan itu...," katanya.

Sementara itu, Annuar berkata Kafa akan memberi tawaran menonton secara percuma perlawanan persahabatan Kelantan dengan pasukan bola sepak sama ada dari Indonesia atau Thailand yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada 2 Julai.

"...tetapi dengan syarat peminat perlu membeli dua tiket bagi menonton perlawanan antara Kelantan dan Perak malam ini dan juga perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Myanmar pada 18 Jun ini dan mereka perlu menyimpan keratan tiket yang dibeli daripada kedua-dua perlawanan itu," katanya.

Katanya langkah mengadakan perlawanan persahabatan itu sebagai persediaan menyuntik semangat pemain selain ke arah melamar pemain pasukan terbabit menyertai Kelantan pada musim akan datang.

-- BERNAMA


Read More......KAFA tidak akan hukum Daudsu, kata Annuar Musa

Gelaran Liga Super jadi taruhan

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

PETALING JAYA: Impian pasukan Kelantan untuk menjulang trofi Piala FA buat kali pertama musnah selepas dikalahkan Terengganu 2-1, tetapi itu bukanlah penamat perjuangan mereka musim ini kerana masih ada lagi satu kejuaraan yang dikejar oleh anak buah Datuk M.Karathu ini.

Penyerang berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha berkata, dia berasa kecewa kerana gagal menunaikan janji untuk membawa balik piala Piala FA buat kali pertama ke Kelantan, tetapi kekalahan ini bukanlah noktah segalanya kerana semua pemain perlu bangkit untuk beraksi lebih baik pada saingan Liga Super.

Dengan berbaki dua perlawanan dalam saingan Liga Super, Kelantan dilihat berpeluang meraih gelaran juara apabila kini mendahului 14 pasukan di tangga teratas dengan 50 mata.


Mengekori rapat skuad Kelantan ialah, juara 2009 dan 2010, Selangor yang kini mengumpul 48 mata, manakala juara Piala FA, Terengganu kini berada di tangga ketiga dengan 47 mata.

Kelantan bakal melayan kunjungan Perak di Stadium Sultan Mohamad ke-IV , manakala Selangor akan bertemua Kuala Lumpur Felda FC di Stadium Shah Alam pada Selasa, 14 Jun.

Dan Terengganu akan bertemu adik beradik, pasukan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Dalam pada itu, Karathu pastinya ada ramuan tersendiri untuk mengembalikan semangat pemain-pemain yang dilihat agak merosot selepas kekalahan Sabtu lalu bagi mengharungi baki Liga Super ini.


- mStar Online

Read More......Gelaran Liga Super jadi taruhan

Piala FA: Kelantan isytihar cuti umum esok

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KOTA BHARU, 11 Jun: Kerajaan Kelantan petang ini mengisytiharkan cuti umum esok sebagai meraikan kejayaan skuad Red Warriors memasuki perlawanan akhir Piala FA malam ini.

Anggota Exco kerajaan negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, keputusan itu dibuat Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebentar tadi.

Katanya, cuti umum peristiwa itu diberi memandangkan ramai anak-anak Kelantan datang ke Bukit Jalil bagi menyaksikan skuad bola sepak mereka berentap dengan Terengganu di perlawanan akhir malam ini.


"Menimbangkan di atas faktor keselamatan memandangkan ramai anak muda datang menyaksikan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini maka kerajaan negeri menimbangkan cuti peristiwa esok.

"Ini membolehkan mereka yang datang jauh tidak perlu pulang tergesa-gesa sehingga mengabaikan aspek keselamatan ketika berada di jalan raya," katanya dihubungi di Kuala Lumpur.

Tahun lepas kerajaan Kelantan mengisytiharkan cuti umum ekoran kejayaan skuad Red Warriors menjulang Piala Malaysia pada perlawanan akhir yang juga diadakan di Bukit Jalil. Pada perlawanan itu Kelantan menewaskan Negeri Sembilan.

Malah pada tahun sebelumnya pemain Negeri Cik Siti Wan Kembang juga menerima insentif daripada kerajaan negeri dengan tajaan menunaikan ibadat umrah di Makkah selepas layak memasuki pada perlawanan akhir Piala Malaysia.

Abdul Fattah berkata, pelbagai insentif diberi kerajaan negeri sebagai sokongan bagi membangunkan sukan bola sepak di negeri ini.

Malah katanya, kerajaan negeri telah mengumumkan cadangan membina stadium dan kompleks sukan yang lebih lengkap di Bukit Merbau, Pasir Puteh yang membabitkan kos lebih RM100 juta.

Oleh itu adalah diharapkan anak-anak Kelantan yang datang menyaksikan perlawanan malam ini di Stadium Bukit Jalil tidak perlu pulang dengan tergesa-gesa memandangkan esok sudah diisytiharkan sebagai cuti umum di Kelantan.

Difahamkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga akan datang memberi sokongan kepada pasukan Kelantan bersama-sama anggota Exco di Stadium Bukit Jalil sebagai suntikan semangat kepada pemain-pemain Red Warriors.

Pengumuman itu dibuat di laman Facebook Menteri Besar Kelantan itu.

"InsyaAllah pada malam ini saya akan turut serta menyaksikan perlawanan akhir Piala FA Kelantan vs Terengganu.

"Besok DIISYTIHARKAN CUTI UMUM di Kelantan sebagai memberikan peluang kepada anak-anak Kelantan pulang dengan selesa," umumnya.

Jaga akhlak dan tatatertib

Sementara itu, beliau juga mahu penyokong kedua-dua pasukan yang membanjiri stadium malam ini menjaga adab dan tatatertib masing-masing agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

Ingatan sama turut diberikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mahu semangat kesukanan tidak dicemari dengan sebarang insiden pergaduhan.

"Malam ini sekali lagi Kelantan dan Terengganu akan bertemu didalam perlawanan akhir Piala FA, kepada pemain kedua pasukan, bermainlah dengan penuh semangat kesukanan.

"Kepada penyokong dan penonton jagalah akhlak dan saksiyyah anda walau dimana juga berada.

"Sementara yang menuju ke Stadium Bukit Jalil, berhati-hati dijalan raya," katanya yang juga bekas Menteri Besar Terengganu.


- Harakahdaily

Read More......Piala FA: Kelantan isytihar cuti umum esok

Piala FA: Senarai kesebelasan pemain utama Terengganu dan Kelantan

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

BERIKUT merupakan senarai kesebelasan pemain utama Terengganu dan Kelantan yang mungkin diturunkan pada perlawanan akhir Piala FA, malam Sabtu:

TERENGGANU

Penyerang: Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahaya

Pemain Tengah: Mohd Ashaari Shamsuddin, Reeshafiq Alwi, Ismail Faruqi dan Joseph Kallang Tie.

Pemain Pertahanan: Mohd Zubir Azmi, Mohd Mazuki Yusof, Mazlizam Mohd dan Helmi Remeli

Penjaga Gol: Mohd Sharbinee Allawee


KELANTAN

Penyerang: Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Ramzul Zahini Adenan

Pemain Tengah: S. Chanturu, Mohd Badhri Radzi, Mohd Shakir Shaari dan Nurul Azwan Roya

Pemain Pertahanan: Zairul Fitree Ishak, Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi dan Mohd Daudsli Jamaluddin.

Penjaga Gol: Khairul Fahmi Che Mat


Read More......Piala FA: Senarai kesebelasan pemain utama Terengganu dan Kelantan

Karathu dan Irfan masing-masing yakin dapat julang Piala FA, Sabtu

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KUALA LUMPUR: Jurulatih dua pasukan gergasi Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu, optimis barisan pemain masing-masing mampu memburu kejuaraan Piala FA musim ini pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam Sabtu.

Jurulatih Kelantan Datuk M. Karathu berkata beliau mempunyai ramuan untuk membawa pulang buat julung kali Piala FA ke negeri yang dikenali sebagai serambi Mekah itu.

Katanya beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik dan yakin anak buahnya akan beraksi cemerlang untuk memburu kejuaraan pertama skuad Red Warriors itu.


"Kita tahu kekuatan dan kelemahan lawan dan begitu juga dengan mereka tetapi kami sudah pasti akan menentang secara habis-habisan," katanya pada sidang akhbar Piala FA di sini, Jumaat.

Walaupun telah menjinakkan Terengganu 3-0 pada saingan Liga Super pada Isnin lepas, Karathu berkata beliau tidak memandang rendah keupayaan Skuad Penyu kerana anak buah Irfan Bakti Abu Salim pasti akan cuba memberi kejutan.

Katanya beliau tidak mahu pemainnya terlalu yakin dan mengambil mudah pasukan lawan malah meletakkan sandaran kepada barisan penyerang yang diketuai oleh Norshahrul Idlan untuk mencari peluang sebaik mungkin untuk menjaringkan gol.

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti berkata beliau gembira dengan kehadiran semula Mohamad Ashaari Samsudin setelah digantung satu perlawanan dalam saingan Liga Super Isnin lalu.

"Saya optimis kita akan menang esok. Saya harap Abdul Hadi Yahaya dan Abd Manaf Mamat mampu memperkemaskan jentera serangan bagi menghasilkan gol kemenangan," katanya.

Dalam pada itu, penjaring terbanyak Kelantan, Norshahrul berharap pasukannya dapat menjuarai Piala FA, secara tidak langsung menjadi kenangan manis dan dijadikan 'hadiah hari jadi' yang disambutnya pada 8 Jun lepas.

"Saya harap rakan sepasukan akan beraksi dengan baik khususnya di bahagian pertahanan agar penyerang Terengganu tidak mudah membolosi gawang," katanya.

Penyerang Terengganu, Abdul Hardi berharap sokongan daripada peminat setia Skuad Penyu mampu memberi dorongan dan semangat kepada pasukannya.

Terengganu pernah meraih sekali Piala FA pada tahun 2000 sementara Kelantan mencari kejuaraan pertama apabila hanya mampu menjadi naib juara pada 2009. - BERNAMA

Read More......Karathu dan Irfan masing-masing yakin dapat julang Piala FA, Sabtu

Final Piala FA: Polis nasihati penyokong patuhi semua arahan

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KUALA LUMPUR: Polis meminta para penyokong bola sepak Kelantan dan Terengganu supaya mematuhi segala arahan yang ditetapkan bagi mengelak sebarang kesulitan dan gangguan lalu lintas sepanjang perlawanan akhir Piala FA 2011 pada Sabtu ini. Pegawai Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur ASP Suffian Sulaiman berkata para penyokong yang datang dari arah Tol Gombak menuju ke Stadium Nasional Bukit Jalil boleh melalui dua laluan iaitu laluan terus dan laluan alternatif.

Pengguna yang mengikuti laluan terus dari Tol Gombak menuju ke MRR2 seterusnya ke Lebuhraya Kesas, akan tiba di stadium yang jaraknya 27.7 kilometer dalam masa 30 minit, katanya dalam satu kenyataan Khamis.


Laluan alternatif pula yang mengambil masa perjalanan 36 minit ialah dari Tol Gombak menuju ke MRR2, Lebuhraya DUKE, Jalan Duta, Jalan Mahameru, Lebuhraya Seremban, susur naik ke Lebuhraya Kesas atau susur naik ke Puchong Link (Bulatan Lumba Kuda), Puchong Link (Lebuhraya Bukit Jalil, Persimpangan Taman Teknologi Malaysia (TPM).

Selain itu, beliau berkata bagi memudahkan aliran kenderaan, tempat letak kereta dan bas bagi penyokong Kelantan disediakan di parkir E (Majlis Sukan Negara) dan parkir D (TPM).

"Ikut laluan bulatan lumba kuda ke Puchong Link (Lebuhraya Bukit Jalil), Persimpangan TPM dan 'U' turn ke MSN untuk parkir di D,E, Futsal dan TPM," katanya.

Pasukan Terengganu pula diperuntukkan parkir A dan B Bukit Jalil yang mana laluannya ialah dari persimpangan Sukom Interchange menuju ke Jalan Merah Cagar (North) ke kawasan parkir.

Suffian juga menasihati para penyokong agar tidak membawa barang-barang terlarang seperti botol air mineral, kayu, mercun atau bunga api, laser, mancis atau pemetik api, sebarang objek tajam sama ada besi atau kayu, senjata seperti parang, minuman keras, payung dan tongkat.

Sehubungan itu, beliau berkata polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyokong yang melanggar arahan yang telah ditetapkan.- BERNAMA

Read More......Final Piala FA: Polis nasihati penyokong patuhi semua arahan

25 tahun kerja tidak pernah cuti sakit

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my

MOHD. FAKRI bangga menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya di Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU - Seorang kakitangan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Mohd. Fakri Mohamad Noor, 48, tidak pernah memohon cuti sakit sejak dia memulakan kerjayanya pada tahun 1986.

"Bagi saya, cuti sakit hanya betul-betul kepada orang yang sakit dan tidak mampu bekerja sahaja. Sebab itu setiap kali doktor tawarkan sijil sakit, saya tolak.

"Biasanya, saya akan hubungi pejabat untuk ambil cuti tahun saja,'' katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Kakitangan LKTN di sini semalam.


Pada majlis itu, Mohd. Fakri yang kini Ketua Komunikasi Korporat LKTN bersama 11 kakitangan lain menerima sijil penghargaan daripada Ketua Pengarah LKTN, Ahmad Loman di atas kesetiaan mereka berkhidmat lebih 25 tahun dengan organisasi itu.

Mohd. Fakri yang memulakan kerjayanya sebagai Juruteknik Pembangunan Kawasan LKTN pada 1986 juga bernasib baik kerana selama tempoh perkhidmatannya, dia tidak pernah mengalami masalah kesihatan yang teruk dan tidak pernah dimasukkan ke hospital

"Mungkin amalan penjagaan kesihatan yang saya lakukan turut membantu, misalnya tidak minum air sejuk dan tidak menghisap rokok,'' katanya.

Tambahnya, selepas menerima anugerah itu, dia kini berazam untuk cuba mengekalkan prestasi itu sehinggalah pencen pada usia 58 tahun nanti.

"Biarlah jadi sejarah sendiri buat diri saya. Saya ada tempoh 10 tahun lagi sebelum pencen dan kalau boleh saya akan cuba bertahan untuk tidak memohon cuti sakit.

"Mungkin saya boleh menjadi salah seorang penjawat awam di negara ini yang tidak pernah memohon cuti sakit sejak bekerja sampai pencen,'' katanya.


Read More......25 tahun kerja tidak pernah cuti sakit

Irfan Bakti kecewa Terengganu tewas kepada Kelantan

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KUALA TERENGGANU, 7 Jun (Bernama) -- Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim kecewa dengan kekalahan pasukannya 0-3 kepada Kelantan dalam perlawanan Liga Super di gelanggang sendiri malam Isnin.

Beliau kecewa terutama dengan penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee yang juga penjaga gol skuad kebangsaan yang dilihat memberi gol mudah kedua kepada Kelantan dalam minit ke-72.

Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini.


"Sebagai penjaga gol kebangsaan, Sharbinee tidak patut meninggalkan gawang terlalu jauh dan kesilapan itu telah memberi ruang mudah kepada Kelantan untuk menambah jaringan," katanya.

Beliau berkata pemain lain juga melakukan kesilapan besar sepanjang perlawanan dan gagal mengawal kemas setiap hantaran sehingga banyak memberi ruang kepada pasukan lawan untuk mengawal bola.

Corak permainan Terengganu dilihat pincang tanpa kehadiran penyerang Ashaari Samsudin yang digantung satu perlawanan, mengakibatkan dua lagi penyerang iaitu Abdul Hadi Yahya dan Abdul Manaf Mamat seakan kehilangan rentak.

-- BERNAMA

Read More......Irfan Bakti kecewa Terengganu tewas kepada Kelantan

Kelantan rampas takhta Liga Super, tewaskan Terengganu 3-0

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Pertembungan dua pendahulu liga antara Kelantan dan Terengganu menyaksikan Skuad Red Warriors kembali merampas kedudukan teratas Liga Super setelah menang selesa ke atas Skuad Penyu dengan keputusan 3-0 di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Berbaki dua lagi perlawanan, skuad bimbingan M.Karathu kini mengutip 50 mata bersama Terengganu namun mempunyai kelebihan dari sudut jaringan.

Impian Terengganu untuk menumpaskan Kelantan di hadapan penyokong sendiri lebur setelah Mohd Azuan Solahudin membuka tirai jaringan seawal minit ke-7 dan ditambah lagi dengan dua jaringan pada babak kedua oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-72 dan minit ke-92 masa kecederaan.


Kekalahan itu menyebabkan Terengganu turun satu tangga ke tempat ketiga dengan kekal 47 mata sementara Selangor naik ke tangga kedua dengan kelebihan satu mata setelah menang ke atas lawan malam ini.

Selangor mencatat kemenangan besar apabila menumpaskan pasukan tercorot liga, Perlis dengan keputusan 7-1 di Stadium Shah Alam.

Di PAROI, pasukan tuan rumah Negeri Sembilan turut mencatat kemenangan selesa apabila menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri setelah berpesta gol mengalahkan T-Team 4-0 pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman.

Mohd Firdaus Azizul menghadiahkan dua gol buat skuad Rusa pada minit ke-22 dan 42 sementara satu gol masing-masing menerusi S. Kunanlan seawal minit pertama dan Hairuddin Omar (minit ke-46).

Di JOHOR BAHRU, Johor FC gagal mempamerkan aksi menarik di hadapan penyokong sendiri setelah terikat seri 1-1 menentang Perak untuk masing-masing mengutip satu mata pada perlawanan di Stadium Jcorp Pasir Gudang.

Di KELANA JAYA, pasukan Felda United tumpas 1-2 kepada Kedah pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

-- BERNAMA

Cheni : Nota - Kelantan tidak merampas kedudukan liga kerana Kelantan sudah menduduki takhta liga. Mata Terengganu adalah 47 dan tidak berkongsi mata dengan Kelantan.

Read More......Kelantan rampas takhta Liga Super, tewaskan Terengganu 3-0

Piala FA: 2,430 anggota polis kawal Stadium Nasional

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Seramai 2,430 anggota polis serta 400 anggota Rela akan bertugas pada perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun ini.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata langkah itu bagi memastikan keselamatan di stadium berkenaan terkawal pada perlawanan akhir berkenaan.

"Kita mahu memastikan kawalan keselamatan berada di tahap maksimum. Seperti biasa, perlawanan akhir ini mempunyai emosi yang berbeza.


"Soal keselamatan ini kita tidak boleh leka. Dalam mesyuarat kita tadi, kita mahukan tahap keselamatan yang maksimum. Pertambahan jumlah anggota keselamatan itu adalah berdasarkan kepada kehendak semasa," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA dan melawat Stadium Nasional pada Rabu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia Datuk Salleh Abdul Rashid berkata keselamatan perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

"Kita tidak mahu apa yang berlaku pada perlawanan lepas berulang semula. Pertambahan anggota secara langsung mempamerkan betapa kami serius dalam mengatasi isu keselamatan," katanya yang turut berharap penyokong kedua-dua pasukan mempamerkan disiplin tinggi dan tidak menimbulkan kekacauan.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamidin berkata seramai 85,000 penyokong dijangka menyaksikan perlawanan akhir tersebut di stadium berkenaan.

Beliau berkata tiket perlawanan akhir Piala FA yang berharga RM50, RM30 serta RM5 (untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun) akan mula dijual Persatuan Bola Sepak Kelantan dan Terengganu pada 6 Jun ini.

Kelantan dan Terengganu masing-masing mendapat sejumlah 30,000 tiket manakala baki 25,000 lagi akan dijual di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun mulai 9 pagi.

Hamidin juga berkata semua tiket akan diperiksa dengan sinaran ultra violet bagi memastikan ketulenannya di semua pintu masuk stadium bagi mengelak penggunaan tiket palsu seperti tahun lepas.


-- BERNAMA

Read More......Piala FA: 2,430 anggota polis kawal Stadium Nasional
Related Posts with Thumbnails

FB