Piala FA: 2,430 anggota polis kawal Stadium Nasional

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Seramai 2,430 anggota polis serta 400 anggota Rela akan bertugas pada perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun ini.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata langkah itu bagi memastikan keselamatan di stadium berkenaan terkawal pada perlawanan akhir berkenaan.

"Kita mahu memastikan kawalan keselamatan berada di tahap maksimum. Seperti biasa, perlawanan akhir ini mempunyai emosi yang berbeza.


"Soal keselamatan ini kita tidak boleh leka. Dalam mesyuarat kita tadi, kita mahukan tahap keselamatan yang maksimum. Pertambahan jumlah anggota keselamatan itu adalah berdasarkan kepada kehendak semasa," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA dan melawat Stadium Nasional pada Rabu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia Datuk Salleh Abdul Rashid berkata keselamatan perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

"Kita tidak mahu apa yang berlaku pada perlawanan lepas berulang semula. Pertambahan anggota secara langsung mempamerkan betapa kami serius dalam mengatasi isu keselamatan," katanya yang turut berharap penyokong kedua-dua pasukan mempamerkan disiplin tinggi dan tidak menimbulkan kekacauan.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamidin berkata seramai 85,000 penyokong dijangka menyaksikan perlawanan akhir tersebut di stadium berkenaan.

Beliau berkata tiket perlawanan akhir Piala FA yang berharga RM50, RM30 serta RM5 (untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun) akan mula dijual Persatuan Bola Sepak Kelantan dan Terengganu pada 6 Jun ini.

Kelantan dan Terengganu masing-masing mendapat sejumlah 30,000 tiket manakala baki 25,000 lagi akan dijual di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun mulai 9 pagi.

Hamidin juga berkata semua tiket akan diperiksa dengan sinaran ultra violet bagi memastikan ketulenannya di semua pintu masuk stadium bagi mengelak penggunaan tiket palsu seperti tahun lepas.


-- BERNAMA

Comments :

have 0 comments at “Piala FA: 2,430 anggota polis kawal Stadium Nasional”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB