Liga Super: Kelantan kekal di tangga atas Liga Super, menang 1-0 ke atas Perak

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

SHAH ALAM, 14 Jun (Bernama) -- Selepas gagal menjulang Piala FA buat pertama kali Sabtu lepas, Kelantan bangkit memastikan kemenangan perlawanan Liga Super malam ini setelah menumpaskan Perak 1-0 seterusnya mengekalkan kedudukan teratas liga pada aksi di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Baharu malam ini.

Berbaki satu lagi perlawanan, skuad bimbingan Datuk M. Karathu kini mengutip 53 mata dan hampir pasti mengukuhkan cengkaman untuk membawa pulang trofi berprestij Liga Super ke Kelantan buat julung kali.


Aksi terakhir di gelanggang sendiri malam ini menyaksikan penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha membuat jaringan tunggal dengan rembatan sebelah kiri gawang Perak menerusi hantaran lintang oleh Mohd Daudsu Jamaluddin pada minit ke-53 untuk memastikan Kelantan mengutip tiga mata penuh.

Sementara itu, Terengganu yang baru ditabalkan juara Piala FA Sabtu lepas terpaksa bekerja keras melayan karenah 'adiknya' sebelum menewaskan T-Team dengan 3-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Dengan keputusan itu, skuad 'peteh ganu peteh' kini masih berada di tangga ketiga liga iaitu mengumpul 50 mata, tiga mata di belakang Kelantan dan satu mata di belakang Selangor.

Tiga gol Terengganu masing-masing dijaringkan oleh Abdul Hadi Yahaya menerusi sepakan penalti pada minit ke-59, Md Alimi Fahmi Kamaruddin (min-74) dan Abdul Manaf Mamat (min-86) sementara dua gol T-Team masing-masing dijaringkan oleh Samsul Kamal Mohamad (min-61) dan Indra Putra Mahayuddin (min-73).

Di SHAH ALAM, juara Liga Super musim lalu Selangor terus memastikan sisa perjuangan mempertahankan kejuaraan liga masih bernyala apabila menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Shah Alam.

Selangor terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi P. Gunalan yang membuat sepakan lencong mengelirukan menuju ke penjuru gawang gol menewaskan penjaga gol Felda United, Mohd Hamsani Ahmad.

Tersentak dengan keputusan itu, Felda United lantas mengubah corak permainan pada babak kedua dan hasilnya berjaya menyamakan kedudukan seri 1-1 melalui jaringan Mohd Azrul Ahmad pada minit ke-68 menerusi sepakan kencang akibat kelekaan barisan pertahanan Selangor.

Namun selang tujuh minit kemudian, skuad anak didik K. Devan kembali di hadapan apabila Safiq Rahim menyempurnakan sepakan penalti setelah dijatuhkan oleh pemain lawan, Muhammad Juzaili Samion dalam kotak penalti.

Di JOHOR BAHARU, Johor FC tidak mensia-siakan peluang terakhirnya bermain di gelanggang sendiri apabila turut menang tipis 2-1 ke atas Pahang pada perlawanan di Stadium JCorp, Pasir Gudang.

Dua jaringan tuan rumah masing-masing dijaringkan oleh Mohd Khairul Ismail pada minit ke-24 dan Mohd Rashid Aya (min-84) sementara gol tunggal skuad Tok Gajah disumbat oleh Azamuddin Mohd Akil (min-58).

Di ALOR SETAR, Kedah terikat seri 1-1 dengan Negeri Sembilan pada perlawanan di Stadium Darul Aman.

Kedah terlebih dahulu di hadapan apabila menjaringkan gol pembukaan oleh Badrol Bakhtiar pada minit ke-73. Namun harapan Kedah terpaksa berkubur apabila pemainnya sendiri, Shahril Faizal menjaringkan gol sendiri pada minit ke-81.

Di KANGAR, jaringan Razlan Oto pada minit ke-27 membolehkan Sabah mengutip tiga mata penuh apabila menang 1-0 ke atas pasukan tercorot liga, Perlis pada aksi di Stadium Utama Negeri.

-- BERNAMA

Comments :

have 0 comments at “Liga Super: Kelantan kekal di tangga atas Liga Super, menang 1-0 ke atas Perak”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB