Malaysia tetap hati-hati hadapi skuad pincang Vietnam

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Walaupun skuad Vietnam dikatakan pincang tanpa empat tonggak utama pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di sini Rabu, jurulatih kebangsaan K Rajagobal mengingatkan anak buahnya agar sentiasa fokus dan berwaspada dengan corak permainan pantas lawan.


Kedua-dua pasukan akan bertemu pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pukul 8 malam manakala perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu.

"Walaupun ia merupakan perlawanan yang dianggap bukan mudah ditambah dengan pemain kita yang muda dan masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan namun ia bukanlah alasan untuk kita tidak beraksi dengan baik menentang Vietnam.

"Kita perlu rebut peluang ini kerana kita mengetahui seorang pemain dibuang padang dan tiga pemain Vietnam cedera namun kita masih menganggap mereka tetap berbahaya kerana dalam perlawanan dalam jangka masa 90 minit ini sukar diramal," katanya pada sidang media pra-perlawanan kedua-dua pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa.

Vietnam kehilangan khidmat dua pemain pertahanan, Doan Viet Cuong dan Hyun Quang Thant serta pemain tengah, Phan Van Tai Em akibat kecederaan sementara Nguyen Trong Hoang yang menjaringkan dua gol setakat ini pula masih menghadapi tindakan penggantungan.

Malaysia layak ke separuh akhir bertemu Vietnam setelah muncul naib johan Kumpulan A di Jakarta manakala Indonesia selaku juara Kumpulan A akan menentang naib johan Kumpulan B Filipina dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Rajagobal berkata walaupun corak pemain Vietnam pantas dan bertenaga namun beliau mengingatkan anak buahnya agar menyaingi kepantasan lawan.

"Saya mahukan pemain saya merebut peluang menang di tempat sendiri dengan menghadiahkan permainan terbaik buat peminat dan membawa bekalan selesa ke Hanoi nanti," katanya.

Mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan menentang Vietnam, jurulatih itu berkata beliau belum membuat sebarang keputusan kerana masih banyak yang perlu dirombak terutamanya pada bahagian pertahanan.

"Saya masih mahu melihat dan meneliti kelemahan-kelemahan di barisan pertahanan untuk mengekang kemaraan Vietnam membolosi gawang kita.

"Saya tidak mahu ada tekanan terhadap pemain dan ini tidak baik untuk konsentrasi mereka," katanya.

Beliau berkata skuad negara akan menyarung jersi berwarna biru menentang Vietnam yang akan memakai jersi berwarna putih.

Jurulatih Vietnam dari Portugal, Henrique Calisto berkata walaupun mereka hilang empat pemain utama akibat penggantungan dan kecederaan, pasukan itu akan berusaha sedaya upaya apabila bertemu Malaysia esok.

"Keseluruhan pemain berbeza daripada skuad sebenar yang dibentuk dua tahun lalu tetapi kualiti mereka adalah setara.

"Pada edisi sebelum ini dua tahun lalu, kami kehilangan tujuh pemain utama tetapi memberi tentangan hebat kepada Thailand sebelum tewas 0-2 dalam perlawanan akhir," katanya.

Barisan Kemungkinan:

--------------------

MALAYSIA: Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Sabri Mat Abu, Mohd Faizal Muhammad, Safiq Rahim, Mahalli Jasuli, Mohammad Muslim Ahmad, Amar Rohidan, Mohd Khyril Muhymeen Zambri, Mohd Amirulhadi Zainal, S. Kunanlan, Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Amri Yahyah.

-- BERNAMA

Comments :

have 0 comments at “Malaysia tetap hati-hati hadapi skuad pincang Vietnam”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB