'USAH BERDENDAM'

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU - Naib Juara Piala Malaysia 2009, Kelantan, pulang ke negeri ini dalam suasana yang agak sunyi tanpa sebarang sambutan walaupun melakar sejarah menjejakkan kaki buat kali pertama dalam tempoh 39 tahun.



Pemain Kelantan tiba tanpa disambut besar-besaran oleh peminat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, semalam.


Ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini petang semalam, ada segelintir penyokong yang datang sekadar untuk melemparkan kecaman untuk meluahkan kekecewaan ke atas para pemain.

Justeru itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Azman Ibrahim merayu kepada para penyokong yang dilihat seperti 'tentera merah' supaya kembali memberikan sokongan padu pada musim depan.

"Kita ada sasaran yang lebih tinggi pada musim hadapan, senarai pemain sedang diteliti untuk dibawa masuk memantapkan pasukan.

"Saya harap penyokong Kelantan usah berdendam, kita adalah naib juara, tidak ada siapa jangka Kelantan boleh masuk final, masuk final dua kali (pada musim ini), Selangor pun sekali, Negeri Sembilan pun sekali.

"Jadi penyokong harus letak itu sebagai satu pencapaian amat tinggi selepas 39 tahun tak masuk final, saya merayu jangan hilang kepercayaan, beri sokongan sepenuhnya kepada pasukan kita," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, semalam.

Mengulas mengenai sikap penyokong Kelantan yang menimbulkan kekecohan dan tidak menunjukkan semangat kesukanan, Azman berkata, pihaknya telah melakukan pelbagai cara untuk mendisiplinkan penyokongnya tetapi gagal dan satu pendekatan baru harus dilakukan selepas ini.

Katanya, beliau dan pemain bersedia untuk menerima apa saja hukuman yang akan dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas ini gara-gara tindakan penyokong terbabit.

"Mungkin Kelantan selalu orang cop sebagai penonton yang ganas dan mungkin benar kenyataan ini. Kita tidak tahu macam mana mengatasi perkara ini, sebab kalau 10 orang, senang nak kawal, ni lebih dari 50,000 hendak kawal macam mana... nak bagi pendidikan sentiasa kita buat dah.

"Mungkin ada segelintir yang ambil kesempatan untuk membuat masalah bila ramai penyokong bagaimanapun kami amat terharu dengan sokongan yang diberikan, mereka datang jauh untuk mengharapkan kemenangan berpihak kepada kita, saya kecewa dan bersimpati dengan semua pihak.

"Pengurusan dan pemain juga kecewa dengan kekalahan yang dialami, bukan berada dalam prestasi sebenar, semua nampak tidak menjadi," katanya.

Ujarnya, pada malam perlawanan tersebut kebanyakan pemain agak tertekan terutama pemain pertahanan Mohd. Zamri Ramli kerana melalukan dua kesilapan untuk membenarkan penyerang Negeri Sembilan menjaringkan gol walaupun selama ini beliau menunjukkan prestasi cemerlang.

Tambahnya, nasib tidak menyebelahi skuad Kijang kerana semua pemain gagal memberikan persembahan sebenar.

"Penyokong kena faham, tidak semua perlawanan kita menang hatta Manchester United sendiri pun pernah kalah di gelanggang sendiri dengan bilangan gol yang besar, kita sentiasa cuba untuk menang.

"Nasib tidak menyebelahi kita, memang akui bukan malam Kelantan walaupun kita berada pada semangat yang baik sebenarnya tidak ada alasan yang dapat diberikan selain kita tidak bermain di tahap sebenar," katanya.

Lain-lain berita...

Kelantan nafi pemain jual perlawanan

KOTA BAHARU - Kelantan menolak dakwaan kononnya pemain menjual permainan yang menyebabkan pasukan itu kalah kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 Sabtu lepas.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, kekalahan itu juga bukan kerana kelemahan strategi ketua jurulatih, B. Sathianathan.

"Semua ni spekulasi sahaja. Bagi saya adalah tidak benar disebabkan Kelantan kalah pada perlawanan itu pelbagai tuduhan dibuat dan andaian dikeluarkan banyak pihak," katanya ketika mengulas kekalahan pasukan Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Azman berkata sekiranya betul ada cubaan membeli pemain Kelantan, pihak yang membuat andaian itu perlu memberi maklumat kepada pihak berkuasa.

"Bagi saya perkara itu tidak berlaku, mungkin ada pihak mahu spekulasi isu ini setelah Kelantan kalah pada perlawanan itu," katanya. - BERNAMA


Comments :

have 0 comments at “'USAH BERDENDAM'”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB