KHALID LUPAKAN BULAN MADU

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh Wan Faizal Ismayatim

PENGANTIN baru, Khalid Jamlus, boleh melupakan hasrat untuk berbulan madu lebih lama, kerana khidmatnya ditagih skuad Kelantan yang mahu menurunkan kesebelasan terkuat bagi menghadapi KL Plus pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia, malam ini.

Penyerang utama skuad The Red Warrios itu hampir pasti beraksi dengan inai yang masih merah di jari selepas jurulatih, B Sathianathan, tidak mahu menanggung risiko ketika anak buahnya berarak ke ibu kota menentang KL Plus yang dianggap lawan sukar diduga itu.

Selain Khalid, Kelantan yang bakal turun dengan corak menyerang sudah pasti mempertaruhkan harapan kepada tiga lagi penggempur berbisanya, Mohd Nor Farhan, Che Hishamuddin Hassan dan kapten pasukannya yang kini di kemuncak prestasi, Indra Putra Mahayuddin.


"Kami akan bermain dengan berorientasikan serangan," kata Sathia semalam. "Oleh itu, Khalid akan tetap diturunkan, tetapi saya perlu melihat tahap kecergasannya terlebih dahulu dan jika tidak memuaskan, saya mempunyai pilihan menggantikannya dengan penyerang muda, Nizad Ayub."

Kelmarin, Khalid melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya, Zarina Zakaria, 29, di Klang Selangor dan tidak menyertai latihan bersama rakan sepasukannya sejak beberapa hari lalu.

Sathia yang baru sebulan mengambil alih tugas daripada jurulatih berbangsa Inggeris, Peter Butler, turut menafikan skuad bimbingannya akan mengamalkan corak bertahan dan mensasarkan keputusan seri sebagai bekalan sebelum perlawanan kedua di Kota Bharu, Sabtu ini.

"Kekuatan Kelantan selama ini adalah di posisi serangan, jadi kami akan bermain seperti biasa dan cuba untuk memperoleh keputusan positif," katanya.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu juga sudah mengarahkan anak buahnya supaya berwaspada kerana berdasarkan prestasi terkini, KL Plus bukan lagi pasukan boleh diambil mudah.

Beliau menamakan penyerang lawan, Mohd Lot Abu Hassan dan pertahanan kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah sebagai individu yang boleh mengecewakan impian anak buahnya jika tidak diawasi.

"KL Plus mempamerkan persembahan berbeza berbanding Liga Super selepas mendapatkan beberapa pemain secara pinjaman. Kami menghormati kemampuan mereka tetapi pemain tidak perlu takut dan bermain seperti biasa," katanya.


Comments :

have 0 comments at “KHALID LUPAKAN BULAN MADU”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB