Selangor Rampas Takhta Liga Super Selepas Tumpaskan Kedah 2-0

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Selangor merampas kedudukan teratas Liga Super daripada pasukan Kelantan, selepas ia menewaskan Kedah 2-0 pada pertemuan di Stadium Darul Aman, Alor Setar isnin malam.

Pasukan Red Giants itu hanya bangkit pada babak kedua untuk mencari gol kemenangan menerusi Mohd Fadzil Saari pada minit ke-59 dan Rudie Ramli pada minit ke-87.

Kejayaan Selangor di bawah bimbingan jurulatih K.Devan itu membolehkan pasukan tersebut kini mengumpul 42 mata, tiga mata di hadapan pencabar terdekat Kelantan, yang sebelum ini mengungguli liga berdasarkan kelebihan gol.


Bagaimanapun sehingga ini Selangor sudah mengharungi 19 perlawanan berbanding Kelantan 18.

Di CHERAS, pertemuan dua pasukan tercorot liga menyaksikan pasukan Kuala Lumpur membenam cabaran Perlis 3-0 untuk kemenangan keempat buat Kuala Lumpur setakat ini.

Di SHAH ALAM, Harimau Muda A gagal mempamerkan aksi yang menarik apabila sekadar terikat seri 1-1 dengan Perak di Stadium Shah Alam.

Gol pembuka tirai Harimau Muda A hadir pada babak akhir separuh masa pertama yang dijaringkan oleh Gary Steven Robbat pada minit ke-45 sebelum Wan Hossen Wan Abd Ghani membuat gol penyamaan Perak sejurus babak kedua berlangsung (min-46).

Di JOHOR BAHRU, pasukan Johor FC tidak mensia-siakan peluang bermain di tempat sendiri apabila menang tipis 2-1 ke atas Terengganu.

Dua gol pasukan tuan rumah masing-masing dijaringkan oleh Mohd Khairul Ismail seawal minit ke-14 dan Mohd Izuan Jarudin menyumbat gol kedua selang tiga minit kemudian, manakala gol saguhati Terengganu dijaringkan oleh Ismail Faruqi Ashari (min-52).

Di KOTA KINABALU, Sabah memperoleh kemenangan keempatnya dalam saingan liga apabila jaringan Shahrul Azhar Ture dan Zainizam Marjan masing-masing pada minit ke-36 dan 71 sudah cukup membantu Sabah meraikan kemenangan di tempat sendiri untuk menumpaskan Pahang 2-0 pada aksi di Stadium Likas. Di KUALA TERENGGANU, pasukan kelab dari Terengganu T-Team juga mengutip mata penuh dalam usaha menewaskan Felda United 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Dua jaringan tuan rumah masing-masing dijaringkan oleh Indra Putra Mahayuddin seawal minit ke-2 dan Muhd Badrul Hisani Abd Rahman (min-86).

Sementara itu, pada perlawanan Liga Perdana, peluang Sarawak merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Selangor PKNS, kembali terbuka apabila menang selesa 3-0 ke atas pasukan kedua tercorot liga, SDM Navy di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Keputusan itu menyaksikan skuad anak didik Mohamad Zaki Ahmad mengutip tiga mata penuh untuk mengumpul 36 mata untuk berada di tangga kedua liga dengan 11 kemenangan setakat ini di belakang pendahulu liga yang berkelebihan enam mata.

Tiga gol pasukan Bujang Senang masing-masing dijaringkan oleh Bobby Gonzales pada minit ke-57, Mohd Dzulazlan Ibrahim (min-75) dan Khairul Azahar Eidrus (min-87).

Di Selayang, Sime Darby mengukuhkan kedudukan untuk berada di tangga ketiga liga malam ini apabila menewaskan pasukan tercorot liga, Pulau Pinang 3-0 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung di Lembah Klang menyaksikan Pos Malaysia berjaya menjinakkan Harimau Muda dengan keputusan tipis 1-0 pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

-- BERNAMA

Comments :

have 0 comments at “Selangor Rampas Takhta Liga Super Selepas Tumpaskan Kedah 2-0”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB