Minda: Bola sepak Malaysia perlu awang import

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh Lokman Zainal Abidin

TIGA tahun lalu, sebahagian besar persatuan bola sepak (FA) negeri dan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengundi tidak menggunakan khidmat pemain import dengan alasan hanya dengan cara itu, Malaysia akan berupaya melahirkan pemain bola sepak berkaliber - satu masalah yang sudah sekian lama membelenggu arena bola sepak negara.

Di mulut, itulah alasannya, tetapi di hati FA negeri serta ahli gabungan yang memutuskan untuk tidak menggunakan khidmat pemain import itu sebenarnya berdepan masalah dana kewangan dan mereka sangat-sangat bimbang andai keghairahan untuk menarik ‘awang import’ bakal mengundang padah besar jika gaji serta imbuhan lain tidak mampu dilunaskan.

Tidak pernah ada perkataan ‘setiap pasukan wajib mengambil pemain import’ sebaliknya ia hanyalah satu kebenaran yang diberikan FAM, tetapi atas dasar tidak mahu kalah serta menjaga standard, semua FA negeri dan ahli gabungan lain berebut-rebut mahu menggunakan khidmat pemain import walaupun pada masa sama, mereka sendiri sedar dengan kemampuan kewangan masing-masing.


Akibatnya, beberapa FA negeri dan ahli gabungan mengambil sikap ‘tangkap muat’ dengan membeli pemain import yang tidak berkualiti sedangkan wang yang terpaksa dikeluarkan untuk mendapatkan golongan itu bukanlah sedikit.


Oleh kerana itu, timbullah masalah gaji dan elaun pemain serta pegawai yang tidak mampu dibayar persatuan sekali gus membuatkan pemain mula hilang selera untuk bermain dan faktor itu membuatkan penonton mula bosan untuk menyaksikan perlawanan di stadium.


Bagi menyelamatkan keadaan, beberapa FA negeri yang mula terasa bebanan kewangan, memasang strategi baru untuk menolak kehadiran pemain import dan alasan yang digunakan cukup menarik iaitu pemain import menghalang pemain tempatan untuk menonjol.

Sudahnya, ‘kalau aku tak mampu, biarlah semua orang pun tak dapat’ dan selaku badan induk kebangsaan, FAM tidak mempunyai pilihan selain terpaksa mengarahkan semua FA negeri serta ahli gabungannya menamatkan khidmat pemain import dengan harapan ada pemain tempatan yang bakal menyerlah serta mampu menarik kehadiran penyokong di gelanggang pada setiap kali aksi.

Begitupun, tiga tahun berlalu sudah, penyokong yang selama ini hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan sudah tidak lagi berbuat demikian dan kantung FA negeri serta ahli gabungan menjadi semakin susut hingga mengakibatkan ada pemain serta pegawai pasukan yang terlewat menerima gaji masing-masing gara-gara bebanan kewangan yang ditanggung majikan.

Mana dia pemain tempatan yang dikhabarkan lebih mudah menyerlah berikutan tidak dibayangi pemain import sedangkan semangat peminat sudah semakin luntur untuk ke stadium kerana tidak ada lagi faktor yang boleh dijadikan tarikan.

Sedar atau tidak, Malaysia adalah satu-satunya liga bola sepak profesional di dunia ini yang tidak menggunakan pemain import dan sama ada suka atau tidak, rasanya semua pihak perlu menerima hakikat kehadiran pemain import sebenarnya mampu meningkatkan mutu liga dengan syarat pemain yang dibeli hendaklah benar-benar berkualiti dan bukan sekadar melengkapkan kuota semata-mata.

Bukan sekali dua ada FA negeri yang tersilap membeli pemain import ketika hanya berdasarkan rakaman video yang diserahkan ejen pemain terbabit, tetapi pada hakikatnya, pemain yang didakwa ‘sangat hebat’ itu sebenarnya tidak lebih daripada ‘kuda sakit’ yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan berbanding mengatur aksi serta merencana pergerakan di tengah padang.

Itu pengajaran yang perlu dijadikan pedoman pada masa depan dan semua pihak kini ternanti-nanti apakah keputusan yang bakal dibuat Exco FAM selepas Malaysia Super League (MSL) yang dipengerusikan Timbalan Presiden badan induk kebangsaan itu, Tan Sri Annuar Musa bersetuju membenarkan pemain import kembali mewarnai arena bola sepak tanah air mulai musim depan.

Keputusan yang dibuat MSL ketika membenarkan pengambilan semula tiga pemain import dengan seorang daripadanya perlu dari negara Asia Tenggara itu benar-benar satu langkah bijak kerana selaku badan yang bertanggungjawab membawa masuk penaja, MSL sendiri terpaksa menerima hakikat pemain import mampu menjana sesuatu buat FA negeri serta ahli gabungan.

Jalan terbaiknya ialah bagi FA negeri atau ahli gabungan yang mampu, ambillah pemain import dan bagi yang kurang berkemampuan, mereka perlu bersedia untuk mewujudkan satu pasukan warga tempatan yang berupaya memberi saingan.

Janganlah kerana tidak mampu untuk membeli pemain import, mereka menjadikan itu sebagai satu isu untuk menghalang pembangunan bola sepak di negara ini dan semua pihak yang terbabit dengan arena bola sepak negara perlu berkongsi impian yang sama iaitu mahu melihat bola sepak Malaysia kembali digeruni seperti sedikit masa lalu.

Bendahari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk S Sivasundaram menyambut baik kenyataan Annuar dan beliau turut mengakui kehadiran pemain import pasti akan memeriahkan lagi senario bola sepak Malaysia pada masa akan datang.

“Pemain import memang patut ada dalam liga kita. Tetapi perlu diingat, pemain import yang mahu dibeli perlulah benar-benar berkualiti dan peminat tidak akan rasa tertipu setiap kali mereka hadir ke stadium. Cuba lihat pemain seperti Marlon Alex James (Kedah), Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy (Selangor). Mereka adalah pemain yang benar-benar berkualiti.

“Saya masih ingat lagi pada musim 2005 iaitu ketika Bambang dan Elie masih bersama Selangor. Masa itu, wang kutipan tiket kami meningkat dua kali ganda berbanding musim sebelumnya. Itu semua dibantu kehadiran pemain import dan apa yang berlaku itu menunjukkan betapa mereka mampu menjana kewangan yang baik buat FA negeri.

“Kalau kita nak bergantung kepada penajaan, mungkin ia tidak cukup untuk menampung semua perbelanjaan dan justeru, saya tidak fikir ada berani menafikan wang kutipan tiket sedikit sebanyak membantu kos yang perlu ditanggung FA negeri. Hanya dengan kehadiran pemain import yang baik, peminat akan tertarik untuk datang ke stadium,” katanya.

Beliau juga berkata, pemain tempatan tidak harus malu untuk berguru dengan pemain import dan jangan sesekali berasa rendah diri sebaliknya gunakan kepakaran yang ada pada pemain import berkenaan untuk dijadikan landasan menuju ke arah tahap yang lebih baik.

“Kita ada ramai pemain muda yang bagus, tetapi bakat mereka tidak dapat berkembang dengan baik. Bagi saya, jika menerima tunjuk ajar serta didorong semangat ingin maju, pemain muda kita mampu menyerlah dengan syarat mereka tidak boleh malu. Jangan sesekali membiarkan diri kita dibelenggu perasaan malu serta cepat patah semangat kerana ia tidak akan membantu.

“Kalau tidak ada pemain import, bagaimana kita mahu mengukur tahap pencapaian kita? Setidak-tidaknya, kehadiran pemain import akan dapat mengurangkan rasa gemuruh pemain kita setiap kali berdepan dengan lawan yang bukan daripada kalangan kita sendiri.

“Kita juga sudah melihat saingan kita di pentas antarabangsa seperti di kejohanan AFC apabila kita terpaksa menyerah kalah begitu saja apabila kita tidak dibantu dengan kekuatan serta kepakaran pemain import sedangkan semua pasukan yang berada di kejohanan sama diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain import yang berkualiti,” katanya.

Memang itulah tujuan sebenar mana-mana liga di dunia ini yang menggunakan khidmat pemain import. Dengan adanya rakan serta lawan yang mempunyai kepakaran yang berbeza, pemain tempatan akan lebih mudah maju dan tidak hanya ‘berkokok’ di halaman sendiri saja, tetapi ia juga bersyarat iaitu pemain kita tidak boleh menjadikan pemain import sebagai halangan untuk berjaya sebaliknya jadikan kelompok awang import itu sebagai pendorong untuk menjadi lebih baik.

- Harian Metro

Comments :

have 0 comments at “Minda: Bola sepak Malaysia perlu awang import”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB