Gerbang Negeri: Orang Kelantan kuat politik, suka berhijrah

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

MASYARAKAT Kelantan memang terkenal dengan sehati sejiwanya. Tidak kiralah di mana mereka berada, perasaan 'puok kito' tetap menebal dalam sanubari walau di mana saja mereka berada. Contohnya, kalau di institusi pengajian tinggi, mereka akan berkumpul beramai-ramai dan jangan cuba-cuba nak mengusik anak dara 'kelate'. Nahas jawabnya.

Mereka boleh berkelahi bagi mempertahankan ‘ore kito’ walaupun antara satu sama lain tidak mengenali. Begitu kuatnya sentimen antara mereka sehingga menyebabkan masyarakat Kelantan begitu unik dan berbeza dengan yang lain. Ketika berada di luar Kelantan, mereka akan bersatu dan menjaga kebajikan antara satu sama lain.

Oleh kerana uniknya orang Kelantan ini, penulis ingin bercerita mengenai mereka kerana cara berpolitik, budaya malah hobi agak berlainan, tetapi menarik bagi dijadikan pengetahuan bersama.


Orang Kelantan memang kuat berpolitik dan sejarah membuktikan Kelantan sudah beberapa kali menukar kerajaan negeri. Dalam pilihan raya pramerdeka pada 27 Julai 1955, parti Perikatan diberi mandat penuh, tetapi dalam pilihan raya pertama selepas merdeka pada Ogos 1959, PAS pula diberi mandat menerajui kerajaan Kelantan apabila menang besar dengan memperoleh 28 kerusi daripada 30 kerusi dipertandingkan.

Pada pilihan raya 1978 pula, Barisan Nasional (BN) berjaya mendapat mandat kali kedua menerajui kerajaan negeri dengan PAS hanya mampu bertahan di dua kerusi, Sering dan Manek Urai.

Bagaimanapun, pada pilihan raya 21 Oktober 1990, sekali lagi orang Kelantan mengambil sikap mengubah kepemimpinan kerajaan negeri daripada BN kepada Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang terdiri daripada PAS dan Semangat 46.

Begitulah cara berpolitik orang Kelantan, mereka sukar diramal dalam membuat keputusan kerana bila-bila masa saja mereka boleh menumbangkan sesuatu kerajaan itu.
Semangat berpolitik orang Kelantan ini jugalah menyebabkan pelbagai parti politik lahir di negeri ini seperti Berjasa, Hamim, Semangat 46 dan Akim. Ada pihak melabelkan orang Kelantan bersikap kedaerahan dalam berpolitik tetapi bagi penulis, pendapat itu tidak benar sama sekali.

Dalam beberapa pilihan raya umum lalu, ada ‘orang luar’ diberi tempat dalam politik Kelantan seperti Mohamad Sabu dari Pulau Pinang, Dr Daeng Sanusi Mariok dari Johor, Nasharuddin Mat Isa dari Negeri Sembilan, Dr Mohd Hatta Ramli (Selangor), Sallehuddin Ayub (Johor) dan Saifuddin Nasution (Kedah) melangkah masuk ke Dewan Rakyat melalui pemilihan rakyat Kelantan.

Berdasarkan pengamatan penulis, minat berpolitik orang Kelantan seperti ‘menagih candu’ dan mereka berbicara soal politik tidak kiralah di mana saja sama ada di kedai kopi, stesen bas, teksi, anjung masjid dan pejabat.

Masyarakat Kelantan juga seperti bangsa Cina yang suka berhijrah sehinggakan mereka berada di mana saja termasuk di Sabah dan Sarawak. Tidak dinafikan mereka menyumbang kepada pengembangan ekonomi sesuatu negeri itu dan ramai pula yang menjadi tokoh ilmuwan, agama, sarjana, pentadbir dan korporat yang cemerlang.

Malah penulis bukan Melayu dari Kelantan ramai bergiat cergas dalam sastera kebangsaan seperti Prof Madya Dr Lim Swee Tin, Awang Abdullah, Azlee Lee (Lee Chong Beng), Lee Kiok Chih dan Selina Lee.

Rakyat Kelantan dihiasi pelbagai hobi yang mempunyai nilai seni yang tinggi. Sebagai contoh, perkara biasa kalau kita melihat kanak-kanak di Kelantan mempunyai kemahiran membuat wau bulan dan sebagainya. Budak kampung bermain layang-layang pada waktu petang menjadi pemandangan tidak asing di negeri ini.

Apa yang menarik lagi ialah hampir di setiap kawasan di Kelantan ada kuda. Dianggarkan jumlah keseluruhan kuda di Kelantan melebihi 1,000 ekor. Kebanyakannya dibela masyarakat kampung untuk mereka bersukan pada waktu petang atau pada masa lapang.

Mereka mampu menganjurkan sukan berkuda dalam pelbagai acara seperti perlumbaan kuda. Kelantan mampu menjadi pusat industri berkuda memandangkan minat rakyatnya yang mendalam terhadap kuda.

Antara hiburan tradisional rakyat Kelantan bagi mengisi masa lapang mereka antaranya adalah dikir barat, menora, Makyong, wayang kulit, silat, wau bulan dan gasing.

Oleh Anwar Hussin
bhnews@bharian.com.my
2011/05/11
Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian Kelantan

Comments :

have 0 comments at “Gerbang Negeri: Orang Kelantan kuat politik, suka berhijrah”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB