Selangor lebar kedudukan sebagai pendahulu

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Selangor melebarkan pungutan mata di persada Liga Super dengan kelebihan empat mata apabila menumpaskan Sabah 1-0 pada perlawanan bola sepak liga itu di Stadium Shah Alam, Selasa.

Selangor terpaksa bekerja keras sepanjang perlawanan untuk mencari mata penuh dan hanya membolosi gawang gol Sabah pada babak kedua menerusi sepakan penalti.

Pemain tengah, Azidan Sarudi, menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-71 bagi membantu Selangor mengumpul 29 mata selepas 13 perlawanan, iaitu empat mata di hadapan pencabar terdekat, Terengganu.


Di Stadium Utama, Kangar, Kelantan memulihkan rentak kejayaan apabila membelasah pasukan tercorot, Perlis 5-1.

Selepas seri tanpa jaringan dengan Sabah minggu lepas, Kelantan berjaya mengumpul mata penuh untuk naik satu anak tangga di tempat ketiga dengan 24 mata.

Mohd Badhri Mohd Radzi muncul wira pasukan Kelantan apabila menjaringkan hatrik pada babak kedua di minit ke-46, 66 dan minit ke-78.

Sebelum itu, Norshahrul Idlan Talaha membuka jaringan Kelantan pada minit keenam dan 43 dan gol saguhati Perlis disumbangkan oleh Mohd Faiz Subri pada minit ke-11.

Perlis masih tercengkam di tangga terbawah liga dengan tujuh mata, selepas hanya mampu menang sekali dalam 13 perlawanan.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan Felda United mengatasi Kuala Lumpur 2-1 untuk kemenangan kelima.

Azrul Ahmad menjadi wira pasukan Felda United apabila menjaringkan dua gol tersebut pada minit ketujuh dan 13 manakala gol tunggal Kuala Lumpur diperoleh menerusi Syafiq Johair pada minit ke-43.

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan Terengganu terus kekal di tangga kedua liga dengan 25 mata selepas seri 1-1 dengan Perak.

Perak, yang berada di tempat keempat liga dengan 23 mata, membuka jaringan pada minit kelapan menerusi Shafiq Jamal sebelum Abdul Hadi Yahya menyamakan kedudukan pada minit ke-59.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pasukan T-Team dan Johor FC terikat 1-1.

Gol T-Team disumbangkan oleh Mohd Shahrul Ezrain pada minit ke-10 sebelum Johor FC menyamakan kedudukan menerusi jaringan Shahrizal Mohd Saad pada minit ke-48.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang dan Negeri Sembilan masing-masing berkongsi satu mata apabila seri 1-1.

Negeri Sembilan mendahului babak pertama dengan jaringan Idris Abdul Karim pada minit ke-10 sebelum Pahang bangkit di babak kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi Famirul Asraf Sayuti pada minit ke-79.

-- BERNAMA

Comments :

have 0 comments at “Selangor lebar kedudukan sebagai pendahulu”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB