Kelantan kembali rampas takhta liga

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KUALA LUMPUR: Kelantan berjaya merampas kembali kedudukan teratas liga Super setelah berjaya membelasah Felda United 6-0 pada perlawanan Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Baharu, malam Sabtu.

Hasil tiga mata penuh itu membolehkan berkongsi 20 mata bersama Selangor tetapi melonjakan diri kedudukan teratas dengan kelebihan kiraan gol.

Kelantan membuka tirai jaringan pada minit ke-33 menerusi Mohd Shakir Shaari dan Nurshahrul Idlan Talaha menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke-40 untuk kedudukan 2-0 pada separuh masa.


Pada babak kedua perlawanan, pasukan bimbingan Datuk M. Karathu, semakin garang dengan menambah empat lagi gol menerusi Mohd Nizad Ayub pada minit ke-60, Mohd Rizad Ayub (71), Danial Fadzley (82) dan Mohd Azuan Solahudin pada minit ke-89.

Di Stadium Shah Alam, hasrat Selangor untuk melebarkan pungutan mata di persada liga lebur apabila tumpas 0-2 kepada T-Team.

Pasukan T-Team berjaya mengikat Selangor pada babak pertama sebelum kembali dengan lebih bersemangat pada babak kedua untuk menghasilkan gol menerusi tandukan Mohd Norfarhan Muhammad pada minit ke-50 dan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-84.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah mencapai kemenangan kedua dalam liga selepas mengejutkan Perak 2-1.

Perak, yang menduduki tangga ketiga dengan 19 mata, memperoleh gol pembukaan pada minit ke-16, hasil sepakan kencang Mohd Shafiq Jamal.

Tertekan dengan kedudukan tersebut, Sabah kemudian bangkit pada babak kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi hasil jaringan Zuraindey Jumai pada minit ke-48 dan Leopold Alfonso Otong menjadi wira Sabah dengan gol kemenangan pada minit ke-62.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu berjaya tumpaskan Harimau Muda A 3-1.

Pada babak pertama perlawanan, Harimau Muda A terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi Syahrul Azwari Ibrahim.

Terengganu kemudianya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Mohd Ashaari Samsudin pada minit ke-17.

Dua lagi gol Terengganu disumbangkan oleh Abdul Hadi Yahya pada minit ke-35 dan Ismail Faruqi Asha'ri pada minit ke-63.

Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur dan Pahang seri tanpa jaringan manakala keputusan sama dicatatkan antara Johor FC dan Negeri Sembilan di Stadium JCorp, Pasir Gudang. - BERNAMA


Comments :

have 0 comments at “Kelantan kembali rampas takhta liga”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB