Penantian 89 tahun Kelantan berakhir

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh SURYATI MOHD NOR

KUALA LUMPUR: Penantian pasukan bola sepak Kelantan selama 89 tahun untuk merangkul piala berprestij bola sepak negara, Piala Malaysia akhirnya terlaksana pada tahun ini setelah menumpaskan juara bertahan, Negeri Sembilan pada final Sabtu.

Kemenangan 2-1 ke atas pasukan Negeri Sembilan sangat bermakna kepada pasukan The Reds Warriors itu, malah lebih penting lagi ia adalah pengubat duka dengan kekalahan tahun lalu.


Dengan kehadiran lebih kurang 75,000 penonton memenuhi setiap ruang Stadium Nasional Bukit Jalil dengan lautan penyokong kedua-dua negeri menggambarkan sukan bola sepak tanah air masih mempunyai ikatan kukuh dengan penyokong tempatan.

Skuad Negeri Sembilan, kendalian Wan Jamak Wan Hassan bermula garang dan mendapat gol seawal minit ke-13, hasil jaringan Shahurain Abu Samah melalui sepakan penalti sekaligus menjadikan aksi semakin sengit.

Namun dua gol yang dijaringkan oleh Hairuddin Omar minit ke-57 dan Mohd Badhri Mohd Radzi (m-65) menghancurkan impian Negeri Sembilan untuk mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu ke atas Kelantan.

Wan Jamak berkata, ketiadaan ramai pemain senior merupakan faktor kekalahannya.

“Harapan kami hanya bergantung kepada pemain muda, lebih-lebih lagi selepas Aidil Zafuan Abd Razak terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan lutut. Selepas itu corak permainan telah berubah,” katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, kemenangan ini sememangnya begitu bermakna bukan sahaja kepada pasukan, malah ia merupakan berita gembira kepada seluruh rakyat Kelantan. Lebih manis, dua pemain Kelantan yang menjaringkan gol kemenangan, Hairuddin dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik, manakala Badhri menerima anugerah khas ‘Pemain Paling Menonjol’ daripada 100Plus beserta wang tunai RM1,000.

Namun di sebalik keghairahan menjulang piala ini, debaran masih menguasai jurulatih Kelantan, B. Sathianathan mengenai keputusan penggantungannya selepas ini.

Sathianathan berkata, beliau masih menunggu keputusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai status rayuannya.

“Dan saya juga menyerahkan status saya sebagai jurulatih Kelantan untuk musim akan datang kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

mStar Online

Comments :

have 0 comments at “Penantian 89 tahun Kelantan berakhir”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB