Kawal aktiviti pembangunan Lojing

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@uusan.com.my

KOTA BHARU 7 Nov. – Kawalan dan pemantauan aktiviti pembangunan di tanah tinggi Lojing hendaklah mengikut garis panduan kawasan pembangunan khas yang telah diwujudkan.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah, ia bagi memastikan pembangunan di tanah tinggi itu tidak akan menyebabkan masalah tanah runtuh dan hakisan.



Sultan Muhammad Ke-V, disambut oleh Nik Aziz Nik Mat ketika merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan ke-12 di Kota Darulnaim, Kota Bharu, semalam. – BERNAMA

“Beta percaya penubuhan Jajahan Kecil Lojing baru-baru ini dapat memantau dan mengawal segala aktiviti pembangunan di tanah tinggi Lojing secara langsung bersama-sama Jabatan Alam Sekitar,” titah baginda.

Sultan Muhammad V bertitah demikian ketika buat pertama kali merasmikan pembukaan Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-12 selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kecuali Datuk Md. Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) dan Drs. Saipul Bahrin Mohamad (Pas-Selising) yang kini berada di tanah suci Mekah kerana menunaikan ibadat haji.

Dalam titah baginda, Sultan Muhammad V turut menyarankan supaya kerajaan negeri melalui agensi yang bertanggungjawab dalam membangunkan industri pelancongan mencari produk-produk baru seperti pelancongan kesihatan dan agama yang berpotensi untuk dimajukan.

Baginda bagaimanapun mengingatkan bahawa semua aktiviti pelancongan yang hendak dilaksanakan perlu selari dengan tuntutan syarak dan tidak bercanggah dengan kesucian agama Islam.

Mengenai sektor industri pula, baginda menyarankan fokus diberikan kepada industri kecil dan sederhana (IKS) kerana majoriti usahawan Melayu terlibat dalam kategori itu.

“Sehubungan itu, keperluan prasarana di setiap kawasan perindustrian perlu dinaik taraf dan dilengkapkan bagi mengukuhkan lagi sektor ini serta menjamin kemasukan pelabur-pelabur baru.

“Beta juga mengharapkan kerajaan negeri mempromosikan dengan lebih giat lagi produk-produk IKS Kelantan sehingga ke peringkat nasional dan antarabangsa. Usahawan-usahawan IKS pula perlu menghasilkan produk-produk yang berkualiti dan berdaya saing,” titah baginda.

Sultan Muhammad V turut menyarankan supaya kerajaan negeri merangka hubungan perdagangan bagi tujuan meluaskan pemasaran produk berjenama Kelantan ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Ini termasuk memanfaatkan hubungan jaringan perdagangan dan kerjasama ekonomi dengan negara serantau dan pertumbuhan segi tiga Indonesia-Malaysia-Thailand.

“Usaha menarik pelaburan ke negeri ini perlu digiatkan termasuk menjalin hubungan perdagangan dengan China yang seharusnya diteroka bagi menggalakkan pembangunan ekonomi negeri,” titah baginda.

Dalam konteks itu, baginda menyambut baik penganjuran Ekspo Cheng Ho yang dijadual pada 21 hingga 26 November ini kerana ia mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi di negeri ini melalui penyertaan syarikat-syarikat pengeluar dari dalam dan luar negara selain selaras dengan hasrat menjadikan Kelantan hab halal di rantau ini.

Baginda turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dalam membantu meningkatkan rangkaian jalan raya yang baik di negeri ini melalui cadangan projek ‘Central Spine Road’ iaitu pembinaan jalan baru dan menaik taraf jalan Persekutuan sepanjang 390 kilometer dari Kuala Krai sehingga Simpang Pelangai, Pahang.

“Beta juga berharap Kerajaan Persekutuan akan meneruskan pelaksanaan pembinaan jalan baru dari Kota Bharu ke Kuala Krai dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

“Beta juga menaruh harapan yang tinggi agar Kerajaan Persekutuan dapat menyediakan agihan peruntukan yang sesuai dan adil dalam pelaksanaan pelan pelaburan sektor awam RMK-10 bagi negeri ini selaras dengan agenda pembangunan negeri Kelantan.

“Ini bagi memastikan pembangunan di negeri Kelantan selari dengan pembangunan dan kemajuan yang dikecapi oleh negeri-negeri lain,” titah baginda.


Comments :

have 0 comments at “Kawal aktiviti pembangunan Lojing”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB