Cadangan pemimpin FAM lepas jawatan di negeri tidak praktikal - Annuar

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KOTA BAHARU, 4 Ogos (Bernama) -- Cadangan bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar agar anggota jawatankuasa FAM yang terpilih dalam kongres tahunan minggu lalu melepaskan jawatan di peringkat negeri, dianggap sebagai tidak praktikal.


Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa berkata ini kerana jika semua pemimpin itu melepaskan jawatan, mereka sudah tidak mempunyai kuasa untuk mengundi dan tidak boleh membawa permasalahan di negeri yang dipimpin.

"Ada pro dan kontra atas cadangan itu tetapi perlu fikirkan secara mendalam kerana yang lebih penting kita mahu memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah di setiap persatuan negeri untuk dibincang.

"Jika kita lepas jawatan, kita sudah tidak ambil tahu dan tidak tahu permasalahan yang berlaku di negeri dan apa lagi yang mahu dibahas dalam kongres," katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.

Pada Selasa Raja Ahmad Zainuddin ketika memberikan cadangan itu berpendapat dengan cara itu mereka akan dapat memberikan lebih masa dan komitmen untuk menyempurnakan azam bekerja keras dalam memajukan sukan tersebut dan menjadikannya sebagai agenda nasional.

Ini kerana kata Raja Ahmad Zainuddin hampir kesemua yang terpilih dalam pemilihan minggu lalu mempunyai jawatan yang disandang di peringkat negeri dan tidak mahu jawatan tersebut mempengaruhi keputusan yang dibuat di peringkat nasional.

Hanya Presiden FAM Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Naib Presiden FAM Datuk Subahan Kamal dan Datuk Afandi Hamzah tidak mempunyai jawatan di peringkat negeri.

Sementara itu Annuar yakin FAM akan membincangkan isu pemain sebelum berakhirnya siri Piala Malaysia musim ini.

Katanya ia merupakan isu hangat yang dibincangkan di semua peringkat dan jika ia untuk kebaikan sukan itu, FAM tidak mempunyai masalah untuk dibincangkan segera.

Dalam isu yang lain Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) malam tadi mengumumkan pasukan Kelantan mendapat durian runtuh apabila menerima bonus sebanyak RM100,000.

Beliau mahu pemain bersiap sedia untuk bertanding pada Piala Malaysia dan memburu kejuaraan seperti yang diimpikan.

Hujung minggu ini pemain Kelantan akan dibawa menunaikan umrah.


-- BERNAMA

Comments :

have 0 comments at “Cadangan pemimpin FAM lepas jawatan di negeri tidak praktikal - Annuar”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB