Oleh KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my
KETUA jurulatih Kelantan, B. Sathianathan boleh menarik nafas lega apabila dua kelab penyokong utama The Red Warriors tetap berdiri teguh di belakangnya.
Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net) menyatakan pendirian bagi mempertahankan bekas pengendali skuad kebangsaan itu untuk terus mengemudi pasukan Kelantan.
PARA penyokong meminta pemain Kelantan mengetepikan isu remeh yang boleh menjejaskan prestasi pasukan dalam saingan Liga Super musim ini.
Presidennya, Marhasim Mat memberitahu, pihaknya kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang disifatkan sebagai 'api dalam sekam'.
Menurutnya, usaha dan gerakan tersebut dilihat cuba untuk memecah belahkan pasukan.
"Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba menjatuhkan pasukan dengan melaga-lagakan pemain mahupun cuba menjatuhkan jurulatih.
"Ini adalah sikap orang-orang yang tidak boleh melihat orang lain lebih hebat daripada mereka, sedangkan mereka sendiri tidak mampu sekiranya diberikan tugas tersebut," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, beliau dan seluruh ahli kelate.net masih lagi menaruh kepercayaan serta harapan kepada ketua jurulatih Kelantan itu untuk menerajui pasukan.
Katanya, masih terlalu awal untuk mengukur kemampuan Sathianathan dan sasaran pihak pengurusan adalah sehingga penghujung musim ini.
"Kita baru melalui tujuh perlawanan dan perjalanan ini masih panjang, sepatutnya kepincangan pasukan diuruskan dengan lebih berhemah dan bukannya menuding jari menyalahkan orang lain.
"Saya yakin dan percaya bahawa Kelantan mampu mengulangi pencapaian musim lepas berdasarkan pemain yang ada musim ini," ujarnya.
Sementara itu, Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK) turut menyatakan pendirian yang sama dengan mempertahankan kedudukan Sathianathan.
Setiausaha KPBSK, Azman Mohd. Noor berkata, berdasarkan tujuh perlawanan lalu prestasi Kelantan tidaklah terlalu teruk berbanding musim lalu.
"Musim lepas kita tewas di Terengganu dan Perlis tetapi musim ini kita mencatat keputusan seri dan ia suatu yang positif untuk kita sama-sama menilainya.
"Memiliki pemain bintang bukan bererti kita mesti menang dalam semua perlawanan, jika kita rasa kita kuat, kita kena ingat orang lain juga kuat," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekecewaan apabila sesetengah pihak turut mempertikaikan pelantikan Indra Putra Mahayuddin sebagai ketua pasukan.
"Siapa sahaja boleh dilantik sebagai kapten sama ada dia anak Kelantan atau tidak, itu bukan isunya. Selagi dia layak dia berhak mengepalai pasukan.
"Mereka (pemain) adalah pemain profesional dan saya harap jangan ada penyokong di luar sana cuba untuk mengeruhkan keadaan dengan isu remeh seperti ini," jelasnya.
Comments :
Catat Ulasan
Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.