KOTA BHARU - Norshahrul Talaha muncul wira The Red Warriors selepas tiga kali meledakkan gol sekali gus membantu Kelantan meraih tiga mata dalam pertemuan dengan Pulau Pinang dalam saingan Liga Super di sini, malam tadi.
Hatrick Norshahrul bagaimanapun hadir selepas 45 minit bermain dalam keadaan penuh tekanan apabila gawang Kelantan digegarkan dengan gol jaringan ketua pasukan pelawat, V.Jaganathan pada minit ke-13.:
Minit ke-46, Norshahrul melegakan ribuan penyokong dengan rembatan cantik melepasi jangkauan penjaga gol Pulau Pinang, Amir Omar Khata untuk mengikat kedudukan 1-1 pada babak pertama.
Kelantan menguasai permainan yang turut disaksikan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra itu apabila Norshahrul mencipta gol kedua selepas empat minit wisel babak kedua dibunyikan diikuti serangan bertali arus ke kubu Pulau Pinang.
Norshahrul melengkapkan hatrick menerusi sepakan penalti selepas dia dijatuhkan ketika cuba melepasi dua pemain pertahanan lawan pada minit ke 88 sebelum jaringannya pada minit akhir perlawanan dibatalkan pengadil.
Jurulatih Kelantan, B.Satiananthan menarik nafas lega kerana anak buahnya berjaya mengatasi tekanan selepas ketinggalan 0-1 pada satu masa.
Beliau juga lega apabila penjaga gol Kelantan, Syed Adney Syed Hussain dapat beraksi dengan tenang walaupun berhadapan tekanan selepas melakukan kesilapan dalam perlawanan sebelum ini.
Syed Adney beraksi pada babak kedua selepas Halim mengadu mengalami kecederaan pada kaki dan kemasukan S.Chanturu menggantikan Mohd Norfarhan mengubah rentak Kelantan dengan asakan yang lebih agresif sehingga banyak peluang diciptakan.
Peluang baik Kelantan juga hadir pada separuh masa pertama namun tindakan penyudah yang lemah dan ketangkasan penjaga gol pelawat menafikan lebih banyak jaringan tercipta.
Tandukan Azizi Mat Rose melepasi palang gol pada minit ke 24 hasil hantaran Mohd Badri Md Radzi dan tandukan Hairuddin Omar yang menerima lontaran ke dalam Aizi dua minit selepas itu juga tersasar.
Azizi sekali lagi mencuba pada minit 43 dari luar kotak penalti juga hampa, begitu juga dengan peluang kedua Hairuddin menerusi tandukan yang tidak cukup untuk mengancam gol anak buah Mohamad Bakar.
Mohamad Bakar akur dengan kehebatan barisan pemain berpengalaman Kelantan yang memanfaatkan kelebihan bermain di hadapan penyokong fanatik.
Farewell The Greatest of All Time
Setahun yang lalu
Comments :
Catat Ulasan
Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.