Oleh Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my
KELANTAN merendah diri ketika mereka galak mendapatkan pemain baru berpengalaman untuk memperkuat barisan pemain mereka menjelang saingan Piala Malaysia bermula 9 Januari depan.
Kehadiran pemain baru seperti Syed Adney Syed Hussein (UPB-MyTeam), S Subramaniam (Perak), Azizi Mat Rose (KM Naza), Mohd Shakir Shaari (UPB-MyTeam), Norshahrul Idlan Talaha (UPB-MyTeam), S Chanturu (Penang), Akmal Rizal Ahmad Rakhli (KM Naza) dan Hairuddin Omar (T-Team) pasti mampu mengubah nasib skuad Kijang musim 2010.
Tahun 2009 adalah musim paling cemerlang Kelantan dalam sejarah bola sepak Malaysia apabila muncul naib juara Piala FA dan Piala Malaysia.
Kegagalan membawa pulang dua piala terbabit membuatkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berazam mendapatkan pemain terbaik memperkuat pasukan kali ini bagi menyaingi juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan dan juara Piala FA, Selangor.
B Sathianathan yang mengambil alih tugas jurulatih Kelantan yang ditinggalkan Peter Butler, September lalu, kembali memulihkan prestasi skuad Kijang yang merosot di pertengahan saingan Liga Super.
Bekas jurulatih kebangsaan itu yang terus diberi kepercayaan membimbing pemain negeri Cik Siti Wan Kembang pantas merencana masa depan Kelantan.
“Pada saya, sasaran yang mahu kita capai ialah mencatat keputusan lebih baik daripada musim 2009. Bukan saya tidak mahu mengatakan apa piala yang kita mahu menangi, kerana Kelantan belum memenangi Piala Malaysia dan Piala FA, tetapi anda juga pasti tahu kita menjurus ke arah memenangi piala itu,” katanya.
Dia yang juga menggalas jawatan sebagai pengurus, gembira permintaannya kepada pengurusan tertinggi Kafa yang ditunjangi Tan Sri Anuar Musa dimakbulkan. Begitupun masih ada pemain impiannya yang gagal dipikat ekoran mempunyai kontrak bersama pasukan masing-masing.
Dalam membentuk pasukan lebih mantap ini juga, Sathia menggugurkan tiga pemain lama iaitu Muhamad Khalid Jamlus dan Mohd Nafuzi Mohd Zain yang berhijrah ke Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala penjaga gol berpengalaman Mohamad Halim Napi bersara.
Sebagai persediaan pramusim, Kelantan mencatat keputusan memuaskan dalam tiga perlawanan persahabatan dengan kelab Thailand.
Pada perlawanan pertama menentang Sisaket FC, barisan yang baru mencari keserasian itu terikat tanpa jaringan sebelum tewas 0-1 kepada bekas juara Liga Perdana Thailand, Chonburi FC.
Menurut Sathia, dia menurunkan semua 24 pemain yang dibawa ke Bangkok untuk menilai keserasian sebelum menggunakan kesebelasan utama menentang juara Liga Perdana Thailand, Muang Thai United pada perlawanan terakhir kelmarin.
Pada perlawanan itu, Sang Kijang berjaya menyaingi Muang Thai tetapi pasukan yang beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC lebih bernasib baik menang 1-0.
“Saya sudah nampak bayangan barisan kesebelasan utama untuk saingan Piala Malaysia nanti. Semua pemain menunjukkan kesungguhan dan disiplin pada perlawanan itu, namun tiada siapa boleh rasa selamat kekal dalam kesebelasan utama,” kata Sathia.
Selain tiga perlawanan persahabatan terbabit, Kelantan akan menghadapi lima lagi perlawanan persahabatan membabitkan pasukan tempatan dan kelab dari Thailand yang akan berlangsung di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu.
Mereka akan menentang pasukan Universiti Sains Malaysia (USM), T-Team United, Felda United, Narathiwat FC dan Pulau Pinang/Polis DiRaja Malaysia sebelum saingan 2010 bermula.
Menghadapi saingan Liga Super 2010, beliau akan menggilirkan pemain bagi mengelak mereka mengalami kepenatan dan terdedah kepada kecederaan berikutan menghadapi perlawanan liga yang panjang.
“Saya sekarang sedang membentuk pasukan yang mempunyai kemampuan yang sama baik kesebelasan utama mahupun pemain simpanan. Saya akan pastikan 24 pemain saya berkaliber dan sedia diturunkan bila-bila masa,” tambah Sathia yang optimis dengan kemampuan Kelantan mengharungi musim 2010.
Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M
4 tahun yang lalu
Comments :
Catat Ulasan
Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.