KELANTAN TEMPA SEJARAH

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN dan IRMAN HASHIM
sukan@utusan.com.my


PEMAIN Perlis, Mohd. Syazwan Zainol (kanan) dihalang pemain Kelantan, Mohd. Farisham Ismail pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Utama Negeri, Kangar semalam. – MINGGUAN/Faizal Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Kelantan menempa sejarah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali pertama dalam tempoh 39 tahun apabila menewaskan Perlis 3-1 di separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Utama Negeri, Kangar, malam tadi.

Selepas mencatat kemenangan 2-0 pada separuh akhir pertama di tempat sendiri, Selasa lalu, Kelantan tidak bermain secara bertahan sebaliknya tenang sepanjang perlawanan untuk mara menerusi agregat 5-1.

Mohd. Norfarhan Mohamad muncul wira Kelantan semalam apabila melakukan hatrik di Kangar menerusi jaringan pada minit ke-26, 53 dan 87.


Perlis yang bermain agak tertekan dan kelihatan serba tidak menjadi sepanjang perlawanan memperoleh gol saguhati menerusi Mohd. Firdaus Fauzi pada minit ke-70.

Jurulatih Kelantan, B. Sathiananthan berkata, kejayaan pasukannya adalah kerana berjaya melakukan serangan balas pantas.

“Seperti dijangka, kami sedar Perlis akan mengasak tetapi kelebihan kami ialah ketika melakukan serangan balas pantas dan itulah caranya ketiga-tiga gol kami dihasilkan,” katanya.

Jurulatih Perlis, Irfan Bakti pula mengakui Kelantan layak menang walaupun tanpa Indra Putra Mahyuddin yang digantung satu perlawanan.

“Kesilapan kami ialah melepaskan dua gol awal menyebabkan pemain mula tertekan. Jelas Perlis tidak bermain sebaik seperti di Kota Bharu,” tegasnya.

Kali terakhir Kelantan mara ke final ialah pada 1970 tetapi tewas kepada Perak.

Lawan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 November ini adalah Negeri Sembilan yang menewaskan Terengganu 3-1 dalam satu lagi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dengan kemenangan itu, Negeri Sembilan mara menerusi agregat 4-1 selepas menang 1-0 di tempat sendiri, Selasa lalu.

Gol-gol Negeri Sembilan di Kuala Terengganu semalam dijaringkan Zaquan Adha Razak (m-10, 18) dan Hairuddin Omar (m-45).

Manakala gol tunggal Terengganu dijaringkan Khairul Izwan Khalid pada minit ke-35.

Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, gol awal yang diperoleh menjadi faktor utama kejayaan pasukannya.

“Kelebihan kami kerana menjaringkan gol awal dan itu memberi keyakinan kepada pemain untuk mengharungi perlawanan dengan baik,” katanya.

Bagi jurulatih Terengganu, Ken Worden, Negeri Sembilan memang berhak menang kerana bermain lebih baik.

“Di pihak kami, ketiadaan ketua pasukan, Marzuki Yusof yang digantung satu perlawanan mencacatkan kekuatan keseluruhan kami yang terpaksa mengharapkan kepada pemain muda,” tegasnya.


Comments :

have 0 comments at “KELANTAN TEMPA SEJARAH”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB