KAFA ALU-ALUKAN SUMBANGAN INSENTIF

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh ZAID MOHD. NOOR
zaid.mohdnoor@kosmo.com.my

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengalu-alukan lebih ramai ahli perniagaan dari negeri ini termasuk yang berada di luar tampil memberi sumbangan insentif dalam bentuk wang tunai kepada persatuan jika skuad Kijang menjuarai Piala Malaysia musim ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Kafa, Mohd. Noor Yaacob berkata, sumbangan itu penting untuk memberi semangat kepada pemain Kelantan agar beraksi lebih cemerlang pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Menurutnya, beliau berbesar hati terhadap hasrat seorang ahli perniagaan, Datuk Azlan Muhammad yang ingin memberi sumbangan insentif dengan jumlah agak besar jika Kelantan berjaya mencipta sejarah menjulang piala berprestij itu.

"Saya mengharapkan selepas ini lebih ramai lagi ahli perniagaan dari Kelantan tampil memberi sumbangan kepada Kafa jika menjuarai Piala Malaysia," katanya di Kota Bharu semalam.

85,000 tiket dicetak untuk final Piala Malaysia

FINAL Piala Malaysia 2009 antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini bakal menjanjikan kemeriahan.

Ini kerana, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mencetak sebanyak 85,000 keping tiket untuk perlawanan penutup musim Liga Bola Sepak Malaysia itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Che Mat Jusoh berkata, tiket-tiket tersebut akan dijual pada harga RM20 untuk semua tempat duduk dan RM5 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

"Tiket final dicetak sebanyak 85,000 keping dengan 30,000 keping telah ditempah oleh Kelantan dan 20,000 keping ditempah Negeri Sembilan.

"Baki 35,000 keping akan dijual di Stadium Nasional pada Jumaat ini bermula pukul 11 pagi hingga 10 malam dan pada hari Sabtu pula ia akan mula dijual pada pukul 10 pagi," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala Malaysia 2009 di Stadium Nasional pagi semalam.

Che Mat bagaimanapun menjangkakan 85,000 keping tiket yang dicetak itu tidak dapat menampung jumlah penyokong kedua-dua pasukan dan bersedia untuk menyediakan skrin besar di luar stadium bagi yang gagal mendapatkan tiket.

"Saya yakin final kali ini yang merupakan perlawanan kemuncak Liga Malaysia 2009 ini akan dibanjiri ramai penyokong kedua-dua pasukan. Saya bimbang tiada ruang untuk mereka yang datang dari jauh.

"Andai itu berlaku, kita akan pasang skrin besar di luar stadium bagi memastikan para penyokong terbabit tidak pulang kecewa," jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang turut menghadiri mesyuarat tersebut mengharapkan para penyokong yang akan hadir ke Stadium Nasional pada Sabtu ini supaya menjaga disiplin dan tidak membawa masuk barang larangan seperti mercun, bunga api dan botol minuman ke dalam stadium.

Dianggarkan lebih 1,000 anggota keselamatan bakal ditempatkan di dalam dan luar stadium pada Sabtu ini berdasarkan jumlah 1,200 anggota ketika final Piala FA pada April lalu dan 1,600 anggota perlawanan persahabatan bertemu Manchester United pada Julai lalu.



Comments :

have 0 comments at “KAFA ALU-ALUKAN SUMBANGAN INSENTIF”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB