GANJARAN MULA HUJANI SKUAD KIJANG KE BABAK AKHIR

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh WAN ZULKILFI WAN YAACOB
sukan@utusan.com.my

KOTA BHARU - Setelah Norfarhan mengesahkan peluang Kelantan melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan jaringan hatrik menyisihkan Perlis, kelmarin kini masih ada lagi 90 minit baki perlawanan untuk merealisasikan impian Kijang.


Tanggal 7 November ini akan menentukan sama ada Kelantan yang mendapat peluang terbaiknya sejak hampir empat dekad lalu berupaya untuk membawa pulang piala berprestij itu.

Ia akan melakarkan sejarah buat negeri, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan barisan pemain kelak bagi mengakhiri musim bola sepak tahun ini sebagai tahun bola sepak Kelantan,

Selain ganjaran sebagai juara oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (Fam), mengiringi pemergian mereka ke Bukit Jalil kelak, kerajaan negeri yang turut berbangga dengan pencapaian itu turut menjanjikan habuan.

Namun, lebih banyak insentif pencetus semangat untuk skuad Kijang memenuhi impian tinggi penyokong dan rakyat tinggi rakyat Kelantan mungkin menyusul.

Semalam, seorang ahli perniagaan di negeri ini, Datuk Azlan Muhammad menawarkan insentif RM55,000 kepada skuad Kijang sekiranya dapat memenuhi impian membawa pulang membawa pulang piala berkenaan.

Azlan seorang penyokong tegar Kelantan mengumumkannya selepas Kelantan menunjukkan prestasi menyakinkan dengan menewaskan Perlis di Stadium Utama Kangar malam kelmarin dengan agregat 5-1.

Beliau berharap ia membantu menyuntikkan lagi semangat pemain Kelantan agar berjuang habis-habisan bagi mencipta sejarah bola sepak negeri.

Kelantan tidak pernah menjuarai Piala Malaysia dan kali terakhir mara ke perlawanan akhir pada tahun 1970.

''Sebagai peminat setia skuad Kijang, saya cukup berbangga dengan kejayaan layak ke final pada musim ini selepas sekian lama mengidamkannya," katanya.

Pengurus Yusmira Trading Sdn. Bhd ketika bercakap kepada pemberita di sini yakin Negeri Sembilan yang menjadi halangan terakhir dapat ditundukkan.

Menurut Azlan, sumbangannya ini diharapkan dapat meringankan beban kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk membayar bonus kepada pemain skuad itu sekiranya menjuarai Piala Malaysia.

Beliau telah memaklumkan kepada Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa mengenai hasratnya itu yang juga sebagai menghargai kepimpinan Annuar yang telah memberi nafas baru kepada sukan bola sepak di Kelantan.

''Seluruh rakyat Kelantan berbangga dengan kejayaan pasukan Kelantan musim ini dan saya meluahkan perasaan bangga dengan menawarkan insentif itu," ujarnya.

Azlan berkata, beliau juga menaja bas kepada peminat Kelantan yang ingin memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka di Bukit Jalil, Sabtu ini.


Lain-lain berita...

15,000 tiket sudah ditempah

KOTA BHARU - Bagi memberi kemudahan kepada penyokong Kelantan, tiket perlawanan akhir Piala Malaysia mula dijual di Stadium Sultan Muhamad Keempat Kota Bharu mulai tengah hari ini.

Melalui kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), buat permulaan, sejumlah 20,000 tiket diperuntukkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk jualan di negeri ini.

Namun, sejumlah 15,000 tiket telah ditempah secara pukal oleh beberapa badan dan pemimpin masyarakat dari seluruh negeri untuk diagih-agihkan kepada ahli dan orang ramai di kawasan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kafa, Mohd Nor Yaakob memberitahu, pihaknya akan berusaha mendapatkan tiket tambahan supaya ia dapat dijual berterusan kepada penyokong tempatan sehingga Khamis atau selewat-lewatnya Jumaat ini.

''FAM telah menetapkan harga tiket perlawanan sebanyak RM20 dan dengan sambutan begitu hebat, kita jangkakan lebih banyak tiket diperlukan dan permintaan umum akan cuba dipenuhi.

''Usaha ini dilakukan supaya penyokong di negeri ini tidak bersusah payah mendapatkannya di Bukit Jalil pada hari perlawanan Sabtu ini," katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, bagi jualan di kaunter, Kafa hanya membenarkan setiap penyokong membeli tiga keping tiket.

Beliau menganggarkan penyokong Kelantan termasuk di Lembah Kelang akan memenuhi separuh daripada ruang Stadium Bukit Jalil kelak dalam menyaksikan perlawanan yang amat bersejarah bagi rakyat dan negeri ini.

''Ia menjadi permulaan kepada kebangkitan semula Kelantan dalam arena bola sepak tanah air setelah hampir empat dekad tidak berpeluang ke perlawanan akhir," ujarnya.

Sekiranya Kelantan berjaya menumpaskan Negeri Sembilan dan membawa pulang piala berprestij itu, banyak ganjaran menunggu mereka kelak.

Kelantan antara 6 pasukan hilang kelayakan beraksi dalam Liga M 2010


Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my


Che Mat Jusoh (kanan) bersama ahli jawatankuasa pertandingan FAM memeriksa keadaan padang semalam bagi memastikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dengan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini berlangsung rancak dan selamat. - UTUSAN/Hayat Sueet

KUALA LUMPUR - Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Pahang dan Shahzan Muda antara pasukan yang tidak memenuhi syarat untuk beraksi pada musim baru Liga Malaysia 2010.

Sementara dua pasukan kelab, UPB-MyTeam dan Proton FC disahkan menarik diri.

Perkara tersebut disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh selepas mesyuarat, semalam.

Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai status keenam-enam pasukan yang masih belum memenuhi syarat itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Majlis FAM dalam masa terdekat ini.

"Keenam-enam pasukan itu tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh JKPT iaitu masih belum menyelesaikan masalah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pembayaran gaji kepada pemain," katanya di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Jelasnya, sebelas pasukan, Selangor, Perlis, Kedah, Johor FC, Terengganu, KL Plus, Harimau Muda A, Negeri Sembilan, Johor, Kuala Muda Naza dan T-Team layak beraksi dalam Liga Super musim depan.

Sementara saingan Liga Perdana pula 10 pasukan telah melepasi syarat untuk beraksi musim depan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kuala Lumpur, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sabah, PKNS, Felda United, KL Pos, KSK Tambung Tulang, Harimau Muda dan Sarawak.

"Kesemua pasukan yang layak sudah menyelesaikan segala hutang dan tunggakan pembayaran gaji pemain serta caruman KWSP," ujarnya.

Che Mat berkata, mereka juga telah menerima penarikan diri UPB-MyTeam (Liga Super) dan Proton FC (Liga Perdana) dan sebarang keputusan lain akan dibincangkan kemudian.

"Jika mereka hendak beraksi semula dalam Liga Malaysia pada musim akan datang, mereka perlu beraksi dari bawah (Liga FAM)," katanya.

Menurutnya, jika pasukan yang layak beraksi dalam Liga Super masih kekal dengan 11 pasukan satu pasukan dari Liga Perdana akan dinaikkan untuk menggenapkan menjadi 12 pasukan.

"Bagaimanapun hanya pasukan yang memenuhi kriteria sahaja layak beraksi dalam Liga Super, begitu juga dalam Liga Perdana, jika bilangan pasukan masih lagi ganjil satu pasukan akan dinaikkan," katanya.

Jelasnya, perkara ini tidak mengganggu perlaksanaan Liga Malaysia musim depan kerana bilangan pasukan yang beraksi sangat positif.

"Kita sudah menghantar surat ulangan kepada pasukan tersebut, bagaimanapun mereka masih belum menyelesaikan masalah ini sehingga tarikh akhir 14 Oktober lalu.

"Kami juga telah memberikan tempoh lanjutan kepada mereka iaitu pada 31 Oktober lalu tetapi ia masih juga gagal diselesaikan oleh pasukan tersebut," katanya.



Comments :

have 0 comments at “GANJARAN MULA HUJANI SKUAD KIJANG KE BABAK AKHIR”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB