KELANTAN PERLU TONJOLKAN AKSI JUARA

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU - Tiga kemenangan berturut-turut bukan jaminan Kelantan bakal menempah tiket ke saingan suku akhir Piala Malaysia memandangkan rentak skuad Kijang itu dilihat masih belum di tahap keupayaan sebenar.

Ia bukan rentak untuk mengejar impian juara dan jurulatihnya, B. Sathianathan memberi amaran kepada pemain untuk bangkit kerana persembahan mereka masih membimbangkannya.

Sekiranya tidak menunjukkan peningkatan segera, mereka mungkin akan menghadapi kejutan Pulau Pinang yang mula mempamerkan prestasi terbaik apabila menewaskan penyandang juara piala itu, Kedah, Sabtu lalu.


Sathianathan berkata, Kelantan telah menunjukkan peningkatan, bagaimanapun masih terdapat banyak ruang untuk diperbaiki sekiranya benar-benar untuk merangkul kejuaraan tersebut buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun.

"Dari segi persembahan nampak ada kemajuan, peningkatan sememangnya ada tetapi belum mencapai tahap yang sepatutnya tetapi kita tahu ini baru perlawanan ketiga dan saya berharap masuk perlawanan keempat mereka akan menunjukkan persembahan yang lebih meyakinkan.

"Saya minta pemain jangan terlalu yakin untuk ke suku akhir walaupun hanya memerlukan kemenangan pada malam, esok. Mereka kena kekalkan momentum sehingga ke penghujung saingan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sejak bermula saingan Piala Malaysia, Kelantan telah mula menunjukkan wataknya sebagai pencabar utama untuk merangkul gelaran yang paling berprestij di negara ini.

Skuad Kijang telah mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini termasuk yang terbaru menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Stadium Selayang, Selangor, Sabtu lalu.

Hari ini, skuad bimbingan bekas jurulatih kebangsaan itu akan melayan kunjungan Pulau Pinang di gelanggang sendiri dan perlu menang bagi mengesahkan tempat ke suku akhir bagi mewakili Kumpulan E.

Namun, Sathianathan menegaskan, layak ke suku akhir tidak memadai kerana mereka perlu kekal sebagai pendahulu kumpulan bagi memastikan laluan yang agak mudah untuk ke separuh akhir.

"Perlawanan esok penting untuk menentukan kedudukan kita dalam kumpulan, saya masih tidak berpuas hati dengan persembahan sekarang kerana masih ada ruang yang perlu dibaiki lagi.

Sementara itu, dengan keghairahan penyokong yang semakin memuncak, Stadium Sultan Muhammed IV dijangka sesak dan bagi memberikan keselesaan untuk memasuki stadium, pintu akan dibuka lebih awal.

Ketua Pegawai Operasi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Mohd. Noor Yaacob memberitahu, tiga pintu masuk utama iaitu H, A dan J akan dibuka mulai pukul 7 petang manakala jualan tiket bermula pukul 3 petang.

''Penyokong diminta datang awal dan mengambil air sembahyang lebih awal sebelum memasuki stadium untuk menunai solat maghrib kerana kemudahan bilik air masih terhad," ujarnya.

Katanya, sikap penonton yang gemar memasuki stadium serentak pada saat akhir menyebabkan kesesakan di pintu-pintu masuk utama sehingga menimbulkan rasa tidak selesa.

Beliau sekali lagi mengingatkan para penyokong supaya tidak membawa masuk objek-objek terlarang agar tidak menimbulkan kesulitan pada diri sendiri tetapi juga akan menjejaskan KAFA dan pemain.

''KAFA pada tahun ini terpaksa membayar denda RM200,000 kerana gelagat penyokong dan kehilangan sumber kewangan menjejaskan usaha KAFA membangunkan skuad ketika kita mengimpikan pencapaian terbaik tahun ini," ujarnya.


Comments :

have 0 comments at “KELANTAN PERLU TONJOLKAN AKSI JUARA”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB