KAFA DIGESA SEGERA BENDUNG MASALAH ULAT TIKET

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KOTA BHARU - Ketika keghairahan penyokong bola sepak Kelantan kian memuncak untuk melihat aksi skuad Kijang menongkah cabaran musim Piala Malaysia, ia mencambahkan ulat-ulat tiket.

Ia meresahkan penyokong yang semakin menyesakkan Stadium Sultan Muhammed IV setiap kali pasukan lawan bertandang dan mereka mendesak sesuatu langkah dilakukan.

Mereka mahu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) segera membendung ulat-ulat yang cuba memenuhkan kantung mereka dengan mengambil kesempatan menjual tiket pada harga tinggi.


Gelagat ulat-ulat tiket ini menjadi-jadi semasa perlawanan antara Kelantan dan Kedah, baru-baru ini dan disusuli semasa menentang Pulau Pinang, kelmarin ketika Kijang mengekalkan rekod tanpa kalah untuk ke suku akhir.

Ulat tiket itu dikatakan memborong banyak tiket tempat duduk berbumbung yang sepatutnya dijual pada kadar harga RM20.

Difahamkan terdapat sejumlah 1,330 tempat duduk berbumbung dengan 1,000 tempat untuk dijual manakala selebihnya untuk pihak penaja utama dan jemputan KAFA.

Meskipun KAFA dikatakan mula mengehadkan jualan hanya lima tiket bagi setiap seorang mulai kelmarin, namun keadaan yang dilihat tidak banyak berubah.

Seorang penonton, Mohd Kadir Abdullah, 45, memberitahu, ulat-ulat itu menawarkan kepadanya pada kadar harga RM30 dan RM40 untuk sekeping tiket.

''Kami terpaksa membelinya agar tidak pulang dengan hampa kerana datang dari Gua Musang. Memandangkan ketika ini musim hujan, akhirnya terpaksa mendapatkan tiket daripada ulat pada harga RM30," ujarnya.

Dia hairan mengapa tiada tindakan diambil terhadap mereka yang terbabit sedangkan ia dilakukan secara terang-terangan.

Seorang rakannya, Mohd Ali Jusoh, 37, mencadangkan KAFA mengehadkan penjualan tiket itu hanya dua tiket kepada seorang pembeli.

"Mereka mungkin sukar untuk membeli berkali-kali. Jika dibenarkan secara borong oleh seorang pembeli, ia akan menyebabkan berlakulah keadaan macam ini sehingga membebankan peminat," ujarnya.


Comments :

have 0 comments at “KAFA DIGESA SEGERA BENDUNG MASALAH ULAT TIKET”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB