PATTANI PULANG HAMPA SETELAH TEWAS

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KOTA BHARU - Beraksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, pasukan tuan rumah, ‘The Red Warrior’s’ berjaya menundukkan pasukan pelawat, Pattani United, 4-0, dalam perlawanan persahabatan yang telah diadakan, kelmarin.

Berdepan dengan penyokong Kelantan yang menyemarakkan lagi semangat permainan kelmarin nyata melemahkan semangat pasukan lawan yang terdiri daripada pemain divisen satu telah diasak hebat pasukan Kelantan tanpa diberi peluang.

Kelantan telah menurunkan kesemua 11 pemain utama dan beraksi dengan rentak permainan agak perlahan pada permulaan persaingan mula mengubah corak permainan setelah berjaya menemui kelemahan pasukan lawan.


Pattani yang bermain dengan rentak agak tersusun dari segi hantaran terpaksa akur dengan keputusan perlawanan walaupun dilihat memberikan persembahan yang agak menarik pada perlawanan tersebut.

Jaringan ketua pasukan baru Pahlawan Merah, Indra Putra Mahayuddin pada babak pertama minit ke-12 memastikan pasukan ini mendahului lawan.

Sebaliknya, pada separuh masa kedua, kubu pasukan Kelantan mula diasak hebat pasukan Pattani sehingga memaksa barisan pertahanan Kelantan mengukuhkan pertahanan tanpa serangan balas.

Keadaan menjadi sedikit kelam-kabut apabila kubu Kijang diuji dan Ahmad Azlan Zainal berjersi 19 turut dilayani kad kuning setelah mengasari pemain Pattani.

Pada minit ke-50, gol kedua pasukan Kelantan telah dijaringkan oleh Mohd Ailim Fahmi hasil hantaran daripada Che Hisamuddin Hassan. Pattani yang ketinggalan, 2-0, cuba mencari mata penyamaan dengan melakukan beberapa serangan merbahaya tetapi gagal membolosi kubu pertahanan lawan.

Malah Che Hisamuddin Hassan berjaya menanduk masuk bola ke gawang lawan sekali gus menambahkan mata jaringan. Pada minit ke-75, sekali lagi pertahanan Pattani melakukan kesilapan apabila menjatuhkan pemain berjersi 17.

Pemain bahagian tengah, Ahmad Azlan Zainal berjaya menyempurnakan sepakan penalti dan sehingga ke akhir perlawanan mata jaringan tidak berubah, Kelantan menang bergaya, 4-0.

Penolong Jurulatih Pasukan Kelantan, Mohd Hashim Mustapha berkata, persiapan yang telah dilakukan pasukan Kijang tidak banyak.

“Tak banyak persiapan yang sempat dilakukan untuk menghadapi Piala Malaysia akan datang. Dalam dua perlawanan persahabatan ini kami dah menurunkan kesemua pemain untuk melihat prestasi masing-masing.

“Walau bagaimanapun kesemua pemain tak diturunkan untuk beraksi selama 90 minit dan hanya dibenarkan bermain selama 45 minit,” katanya.

Setelah dilihat daripada pemantauan perlawanan kelmarin, kesemua pemain Kelantan masih tidak menepati kecergasan yang diperlukan.

“Kecergasan mereka tak mencukupi 100 peratus dan bagi saya apa yang mereka pamerkan kelmarin hanya 70 peratus dari kekuatan sebenar pasukan ini. Saya berharap agar semua pemain mencapai tahap kecergasan maksimum pada perlawanan pertama Piala Malaysia.

“Perlawanan pertama sangat penting buat pasukan Kelantan lebih-lebih lagi kita bakal berhadapan dengan Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan dan pasukan Kedah di sini,” katanya.

Menurutnya, Kelantan kini sedang dalam debaran sementara menanti perlawanan pertama Piala Malaysia dan kemasukan dua pemain baru Mohd Nazrul Erwan Makmur dan Norhisham Hassan secara tak langsung memperkuatkan lagi benteng pertahanan pasukan ini.

“Tengok dari segi permainan yang telah dipamerkan mereka berdua, saya rasakan yang mereka sedang dalam proses menyesuaikan diri dengan rentak permainan Kelantan. Nampak mantap sedikit bila mereka berdua ada dalam pasukan ini. Mereka berdua pun bukannya calang-calang pemain dengan pengalaman yang luas saya yakin yang pasukan Kelantan mampu berjaya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Comments :

have 0 comments at “PATTANI PULANG HAMPA SETELAH TEWAS”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB