Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my
KOTA BHARU – Bekas jurulatih skuad kebangsaan, B. Sathianathan akan mengambil alih jawatan jurulatih skuad bola sepak Kelantan dalam kempen Piala Malaysia yang bermula, Sabtu ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui di sini, semalam berkata, Sathianathan akan mengisi kerusi panas tersebut berikutan peletakan jawatan secara mengejut Peter James Butler daripada posisi itu 16 September lalu.
Katanya, Sathianathan akan memulakan tugas rasmi itu bermula hari ini dengan misi utama melakukan yang terbaik menghadapi kejohanan piala berprestij bola sepak negara ini.
“Sebaik menerima surat peletakan jawatan beliau (Butler), saya tidak mempunyai pilihan selain mencari jurulatih terbaik untuk membawa pasukan ini menghadapi kempen Piala Malaysia.
“KAFA yakin dengan keupayaan Sathianathan, malah beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bola sepak tanah air dan luar negara,” katanya.
Annuar berkata, pada mulanya KAFA memutuskan untuk melantik penolong jurulatihnya, Hashim Mustapha, memangku jawatan tersebut bagaimanapun selepas membuat semakan mendapati beliau tidak mempunyai lesen yang disyaratkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menerajui pasukan bertaraf Liga Super.
Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas KAFA menerima laporan yang mengesahkan bahawa Butler telah pun menandatangani kontrak untuk membimbing pasukan Yangoon United FC yang berpangkalan di Myanmar.
Mengulas mengenai peletakan jawatan Butler, Annuar meluahkan kekecewaan beliau dan menyifatkan tindakan tersebut adalah tidak profesional.
“Beliau sepatutnya menghormati kontraknya yang akan berakhir hujung November depan bukannya melakukan perkara seperti ini.
“Alasan yang diberikan juga tidak memuaskan hati Kafa terutama sekali selepas kami mendapati beliau telah menandatangani kontrak dengan pasukan di negara lain,” tegasnya.
Sehubungan itu, katanya, KAFA akan menghantar surat laporan secara rasmi berhubung perkara itu kepada FAM untuk dimaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) kerana Butler adalah seorang jurulatih peringkat antarabangsa.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan sama ada KAFA akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pemain West Ham United itu.
Dalam pada itu, Annuar turut mendedahkan bahawa pasukan Kelantan kini sedang menguji seorang pemain remaja negara yang beraksi bersama pasukan simpanan kelab gergasi Itali, Juventus FC.
Katanya, pemain berusia 19 tahun itu yang mampu bermain pada posisi pertahanan dan tengah akan diturunkan dalam perlawanan persahabatan malam ini menentang pasukan pilihan dari Afrika untuk menilai kemampuannya.
“Pemain yang berasal dari Perak ini berada di Itali sejak berumur 15 tahun untuk menyambung pelajarannya dan turut beraksi dengan kelab itu.
“Dia berjaya melengkapkan masanya bersama pasukan bawah 19 tahun Juventus FC oleh itu kita akan lihat sejauh mana kemampuannya pada malam ini,” tambahnya.
Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M
4 tahun yang lalu
Comments :
Catat Ulasan
Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.