KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Kelantan membuka tirai bola sepak Liga Super musim 2011 dengan bergaya apabila menjulang Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama selepas menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam Sabtu malam.
Ini merupakan hadiah buat jurulatih baru, Datuk M. Karathu yang baru beberapa hari melatih skuad The Red Warriors kurang apabila jurulatih sebelumnya, B. Sathianathan digantung enam bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Kelantan bermula garang seawal minit pertama dengan asakan merbahaya ke gawang tuan rumah apabila diberi sepakan percuma namun tidak menepati sasaran pintu gawang.
Anak buah M. Karathu membuka jaringan dan menggamatkan kira-kira 25,000 penonton selepas diberi sepakan penalti apabila pemain Selangor, Razman Roslan dilayangkan kad kuning pertama kerana mengasari pemain Kelantan, Mohd Nurul Azwan Roya pada seawal minit ke-7.
Pemain terbaik musim lepas, Norshahrul Idlan Talaha yang mengambil sepakan penalti mudah menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohd Iqbal Mohd Suhimi.
Pada babak kedua, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mengasak kubu lawan namun buntu mencari jaringan.
Perlawanan separuh masa kedua sedikit terencat apabila pengadil perlawanan Yusuf Karim terpaksa memberhentikan perlawanan kira-kira lima minit apabila kedua-dua penyokong membaling objek dan mercun ke dalam padang.
Sejurus perlawanan bersambung pasukan The Red Warriors sekali lagi membolosi gawang gol Selangor apabila sepakan percuma yang diambil oleh Mohd Badhri Md Radzi tepat ke sasaran pada minit ke-82.
Tersentak daripada jaringan itu, Selangor mula bangkit pada saat akhir mengasak benteng pertahanan Kelantan namun kemenangan tetap berpihak kepada Kelantan.
Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat muncul sebagai pemain terbaik perlawanan Piala Sumbangsih.
Perlawanan Sumbangsih itu turut disaksikan dua Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad.
-- BERNAMA
Cheni : Tahniah Kelate!
Posted by Cheni™ at Ahad, Januari 30, 2011
Dipetik daripada : Tranungkite Online
"Assalamualaikum.
Menurut sejarah, permainan bola sepak bermula di Mesir dan dipopularkan di China. Seterusnya permainan tersebut berkembang maju sampai ke hari ini. Persoalan yang saya ingin kemukakan di sini ialah, apakah hukumnya bermain dan menyaksikan perlawanan bola sepak?
Umat Islam tidak akan terlepas daripada hukum lima dalam setiap perbuatannya,samada kecil atau besar.Merujuk kepada maksud surah Az-Zalzalah ayat 7 dan 8, : Maka sesiapa yang berbuat kebaikan seumpama sebesar zarah(walaupun kecil),pasti akan dilihatnya(dibalas di akhirat).Dan sesiapa yang berbuat kejahatan seumpama sebesar zarah(walaupu kecil),pasti akan dilihatnya (dibalas di akhirat)
Hukum lima yang dimaksudkan ialah Wajib,Sunat,Makruh,Harus dan Haram.Tiada yang terkeluar daripada hukum tersebut.Ini perlu difahami oleh setiap mukallaf,iaitu muslim yang sudah mencapai umur baligh dan berakal sempurna.Dalam apa jua perbuatan,samada perniagaan,pelancongan,muamalat,kemasyarakatan,politik,sosial,budaya dan sebagainya,kita mesti melalui kelima-lima hukum tersebut.Ianya bersifat mandatori.Juga bersifat berubah-ubah mengikut niat dan keadaan si pembuatnya.
Contoh mudah,solat yang dilakukan dengan sempurna maka hukumnya sah pada zahirnya.Tetapi jika solat yang sah zahirnya itu dilakukan dengan riak,maka solat itu berubah menjadi dosa dan ianya merupakan dunia dan bukan lagi akhirat.Contoh lain ialah,seseorang yang kerjanya membuat pasu bunga,maka hukumnya halal.Tetapi jika kerja halal itu dilakukan dan pada masa yang sama dia meninggalkan solat 5 waktu,maka hasil kerja halal itu serta merta akan berubah menjadi haram.Inilah keadaan-keadaan yang akan berubah mengikut niat dan tindakan seseorang yang membuat kerja tersebut.
Persoalan yang mahu dilontarkan kepada pembaca sekalian,apakah hukumnya bermain dan menyaksikan perlawanan bola sepak?Pendapat saya hukumnya ialah HARAM.Kenapa saya mengatakan HARAM?Sebabnya ialah kerana perlawanan bola sepak itu menyaksikan pemainnya mendedahkan aurat.Aurat lelaki dewasa ialah antara pusat dan lutut.Asalnya lutut dan pusat bukan aurat.Tetapi sesuatu yang tidak sempurna wajibnya kecuali dengannya,maka ia juga menjadi wajib.Hukum jelas disebut dalam kitab-kitab feqah ialah sesuatu yang terdapat di antara lutut dan pusat merupakan aurat bagi lelaki dewasa.
Saya ingin memperincikan aurat ini jika pembaca masih belum dapat memahaminya.Pusat,kemaluan, paha dan lutut.Itulah aurat lelaki dewasa.Perbahasan aurat ini sebenarnya luas tetapi asasnya ialah pusat dan lutut bagi lelaki dewasa.Maka,pemain bola sepak sentiasa berada dalam keadaan berdosa kerana membuka aurat.Orang yang menyaksikannya juga berdosa.Penganjur perlawanan bola sepak juga mendapat saham dosa yang sama.Tidak terkecuali juga penontot di rumah,juga mendapat saham dosa kerana menyaksikan perlawanan yang mendedahkan aurat.
Mungkin ada pembaca yang akan membangkitkan persoalan,bagaimana pula dengan gimnastik,gusti,bina badan,renang,gimrama dan sebagainya?Saya ingin tegaskan di sini,jika permainan bola sepak yang mendedahkan pusat dan lutut itu hukumnya haram,maka gimnastik,gusti,bina badan dan gimrama serta yang sewaktu dengannya hukumnya lebih-lebih lagi haram dan berdosa besar.
Membuka aurat hukumnya berdosa besar.Bukannya dosa kecil.Namun oleh kerana penjajah telah memasukkan jarum syaitan dalam sukan,maka Negara Malaysia yang kononnya mempunyai mufti-mufti,pusat-pusat pengajian pondok,institusi-institusi keagamaan,alim ulama,tok-tok guru,kesemuanya menjadi kelu lidah untuk memperbetulkan jenayah aurat yang mengundang kemurkaan Allah SWT.Allah SWT telah mencabut kekuatan umat Islam untuk bangkit menyatakan kebenaran kerana kita semua telah membelakangkan syariatNya.Ilmu Islam hanya terdapat dalam kitab-kitab dan ianya gagal untuk diimplementasikan dalam kehidupan seharian.Ilmu yang kita ada seumpama buih.Ianya tidak mampu mengubah kehidupan berlandaskan syariat.Kita sebenarnya sudah gagal walaupun sudah 50 tahun lebih merdeka.Tahi dan najis penjajah masih melekat dalam pemikiran kita yang tertutup dari hidayah.
Perancangan penjajah mahu melihat umat Islam menurut telunjuknya telah berjaya dengan permainan bola sepak ini.Oleh kerana kita telah dijajah begitu lama,maka jenayah aurat ini kita anggap sesuatu ‘yang biasa’.Mungkin kenyataan ini agak keras,tetapi saya bertanggungjawab untuk memperbetulkan dan membuka minda semua pembaca agar memahami bahawa kita sebenarnya ‘akan sentiasa berdosa’ jika syariat Allah SWT tidak terlaksana sepenuhnya di muka bumi ini.
Pemain bola sepak yang mendedahkan aurat hukumnya fasiq.Segala amalan baiknya tidak diterima Allah SWT.Solatnya,puasanya,sedekahnya dan lain-lain lagi termasuklah umrahnya.Ada tajaan mengerjakan umrah kepada pemain bola sepak.Umrahnya tidak akan diterima Allah SWT kerana pemain itu sendiri fasiq.Contoh mudah,lepas waktu asar kita bermain bola sepak dengan berseluar pendek dan mendedahkan aurat.Selepas itu kita menunaikan solat maghrib.Maka solat maghrib kita tidak akan diterima oleh Allah SWT kerana kita seolah-olah mempersendakan hukum Allah.Kecuali kita bertaubat dan bermain bola sepak dengan memakai seluar panjang dan menutup aurat.
Kita mungkin tidak menyedari,di kampung kita ada padang bola sepak.Pemain-pemain bola sepak setiap petang ialah kita,adik beradik kita dan kawan-kawan sekampung dengan kita.Semuanya mendedahkan aurat.Maka kita sebenarnya mengundang fasiq dengan perlakuan kita yang menyalahi syariat.
Dulu,kanak-kanak sekolah memakai seluar pendek.Saya masih ingat,hanya pada awal sesi persekolahan dibuka pada tahun 1988,iaitu 31 tahun selepas merdeka,barulah anak-anak kita memakai seluar panjang.Dulu,jururawat memakai skirt dan skaf.Juga mendedahkan aurat.Sekarang ni alhamdulillah mereka dapat memakai pakaian yang menutup aurat.Dulu,polis dan tentera juga memakai seluar pendek dan membuka aurat.Sekarang Alhamdulillah mereka dapat memakai uniform yang menutup aurat.
Persoalannya kenapa dalam bidang kesihatan,pendidikan dan ketenteraan semuanya dapat berubah kepada menutup aurat,tetapi tidak dalam bidang sukan?Di mana silapnya dan di mana suara mufti-mufti?Perdana Menteri orang Islam,Timbalan Perdana Menteri orang Islam,Negara pun mengaku Negara Islam,Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam itu agama rasmi.Kenapa persoalan aurat dalam sukan ini masih tidak berubah.Soalnya,bila kita nak berubah?
Saban tahun kita menyambut Maal Hijrah.Saya ingin bertanya,hijrah apa kalau begini keadaannya sama?50 tahun dahulu bermain bola sepak mendedahkan aurat,sekarang pun sama,di mana HIJRAH itu?Inilah yang dimaksudkan dengan bercelarunya najis penjajah dalam pemikiran kita yang bangsat dengan hukum Allah SWT.Kita menganggap ini perkara remeh.Namun dalam Islam,persoalan aurat ini adalah persoalan pokok.Sila rujuk surah An Nur untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Saya bertanggungjawab mengemukakan dan melontarkan persoalan ini.Bukannya saya anti bola sepak.Tetapi ingin mengajak pembaca sekalian supaya ‘terjaga dari lena’ dengan dosa besar yang kita tidak sedari ini.
Kesimpulannya,jalan mudah dan senang untuk menjadikan permainan bola sepak itu suatu ibadah ialah SEMUA PEMAINNYA HENDAKLAH MEMAKAI SELUAR PANJANG.Senang bukan?Jika pemain bola sepak itu memakai seluar panjang,maka bermain bola sepak hukumnya harus,melihat dan menyaksikan perlawanan itu hukumnya juga harus.menyaksikan perlawanan bola sepak melalui kaca televisyen juga hukumnya harus.
Tetapi jika keadaannya masih seperti sekarang,iaitu pemain MASIH KEKAL DENGAN MEMAKAI SELUAR PENDEK DAN MENDEDAHKAN AURAT,maka bermain bola sepak itu hukumnya HARAM,menyaksikan perlawanan bola sepak itu hukumnya HARAM,menganjurkan perlawanan itu hukumnya juga HARAM dan menyaksikan perlawanan bola sepak melalui kaca televisyen juga hukumnya HARAM.
Usah ditanya hukum nyanyian mendedahkan aurat,mengabaikan solat,bina badan,gimnastik,gimrama dan sebagainya…semua itu lebih-lebih lagi HARAM dan DILAKNAT Allah SWT.
Kembalilah kita kepada Islam dan syariat-syariatnya sekali.Jangan kita hanya melihat Islam itu seperti yang tertera dalam Kad Pengenalan,namun kita sebenarnya telah mencabut jauh ruh dan pelaksanaan Islam itu secara kita tidak sedarinya.
“ Wahai orang-orang yang beriman,masuklah kamu ke dalam agama Islam ini secara keseluruhannya(dengan mematuhi segala syariat-syariatnya)dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan.Sesungguhnya dia (syaitan) itu adalah musuh yang nyata bagi kamu ”…maksud AlQuran
Jika pembaca masih belum berpuas hati…penulis mempelawa sesiapa sahaja menghubungi penulis di talian 0139370061.Penulis anak jantan.Bukan pondan dan pengecut.
Wassalam
Ibnu Muhamad,
Gua Musang,
Kelantan."
Cheni : Sekadar berkongsi dan tiada ulasan sebab kurang arif pasal ni.
Posted by Cheni™ at Isnin, Januari 10, 2011
KOTA BAHARU, 7 Jan (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) merayu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menimbangkan permohonan persatuan untuk mengadakan perlawanan bola sepak Liga Malaysia musim ini pada waktu malam.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa memberi jaminan pihaknya dengan kerjasama Perbadanan Stadium Negeri Kelantan dapat menyiapkan segala kemudahan di stadium itu, termasuk lampu limpah dan padang sebelum perlawanan musim ini bermula awal Februari.
"Kita harap FAM dapat meluluskan permohonan supaya perlawanan bola sepak diadakan pada sebelah malam dan tidak pada waktu siang kerana kami jangka dapat memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak FAM," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pasukan The Red Wariors 2011 dan pelancaran Jersi Serta Kad Keahlian pasukan bola sepak itu di sini, Jumaat.
Pada majlis itu, KAFA menerima sumbangan RM300,000 daripada penaja liga Malaysia musim ini bagi pasukan Kelantan, iaitu Yusmira Trading dan Sinar Harian serta Cardiff City.
Annuar berkata sebelum ini Kelantan menghadapi masalah untuk mengadakan perlawanan bola sepak pada sebelah malam ekoran kegagalan menyiapkan stadium dan padang mengikut piawaian yang ditetapkan oleh FAM.
Mengenai cadangan KAFA untuk memajak Stadium Sultan Muhammed Ke-IV selama 30 tahun dengan nilai RM10 juta, beliau berkata pihaknya sudahpun merangka kertas cadangan untuk diserahkan kepada pihak Perbadanan Stadium Negeri Kelantan.
Beliau berkata dalam mesyuarat terbaru semalam, Jawatankuasa KAFA dan kerajaan negeri bersetuju meningkatkan taraf stadium itu dengan cara membaik pulih daripada merobohkan untuk membina bangunan baru, kerana selain mengambil masa panjang, ia boleh mendatangkan risiko sampingan.
-- BERNAMA
Posted by Cheni™ at Sabtu, Januari 08, 2011
KOTA BARU: Kerajaan Kelantan sedang berbincang untuk mencari rumah serta lokasinya yang sesuai untuk dihadiahkan kepada penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat yang mengharumkan nama negara membantu menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 menentang Indonesia, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunaan Insan, Belia Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata kerajaan negeri juga belum menetapkan nilai rumah yang akan dihadiahkan kepada pemain remaja itu.
"Kita sedang berbincang di peringkat dalaman untuk menentukan rumah, lokasi dan nilainya untuk dihadiahkan kepada pemain itu, yang penting keselesaan bagi dia dan keluarga," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.
Dua hari lalu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan hadiah tersebut.
Khairul Fahmi turut mengharumkan nama negeri Kelantan. Sementara itu, Khairul Fahmi yang tinggal di Kampung Cherang, dekat sini berkata, beliau tidak menduga kerajaan negeri akan menghadiahkan sebuah rumah sebagai menghargai jasa dan sumbangannya.
Ditanya mengenai seorang lagi pemain Kelantan yang turut menaikkan nama negara dalam piala itu, Nor Shahrul Idlan Talaha yang berasal dari Terengganu, Abdul Fattah berkata pemain itu akan diberikan hadiah dalam bentuk lain.- BERNAMA
Posted by Cheni™ at Khamis, Januari 06, 2011
PARIT BUNTAR, 2 Jan (Bernama) -- Pemain bola sepak negara yang menerima tawaran bermain dengan kelab luar negara, perlu menimbang beberapa perkara sebelum bersetuju dengan tawaran berkenaan terutama dalam aspek pembangunan karier mereka pada masa akan datang.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pemain boleh membuat beberapa pilihan dengan menimbangkan sama ada kelab berkenaan boleh dijadikan kayu pengukur dalam karier serta akan membantu dalam pembangunan pemain pada masa akan datang atau sebaliknya.
"Apakah mereka sendiri berasa selesa untuk bermain di kelab yang lain. Dalam soal ini kita mesti terbuka. Banyak pemain seperti pemain England yang tidak semestinya bermain di England dan begitu juga pemain Sepanyol yang tidak semestinya bermain di Sepanyol.
"Ini perkara biasa tetapi apabila dikerahkan untuk tanggungjawab nasional mereka akan menjalani latihan pusat dan mewakili negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah sempena Larian Sawah Perdana dan Sukan Rakyat anjuran Umno Bahagian Parit Buntar di sini Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyerang skuad kebangsaan Mohd Safee Sali yang menerima sekurang-kurangnya empat tawaran kontrak untuk menyertai kelab di luar negara iaitu Indonesia dan Vietnam.
Ahmad Shabery berkata pemain juga perlu memikirkan sama ada berbaloi mereka bersetuju menerima tawaran kelab berkenaan dengan meninggalkan negara dan sama ada diletakkan di bawah jurulatih terbaik serta bersama-sama pemain terbaik serta proses pembangunan diri, mestilah diambil kira dan bukan hanya memikirkan aspek pulangan gaji dan kewangan sahaja.
Beliau berkata sememangnya sudah sampai masanya pemain seperti Mohd Safee dan beberapa pemain lain yang mempunyai nilai tersendiri untuk bergelar pemain profesional.
"Kita juga melihat sekiranya bola sepak dipersetujui diletakkan di bawah program 'Road to London', kita juga fikirkan untuk program berkaitan pendedahan ke luar negara serta memperkemaskan sistem kejurulatihan kita, program peningkatan kecergasan dan fizikal. Ini semua kita perlu fikirkan untuk pembangunan bola sepak negara," katanya.
Menurutnya beliau akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Hoki Malaysia (PHM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) esok untuk mendapatkan gambaran sebelum membentangkan ke Kabinet Rabu ini berhubung persiapan 'Road to London' yang perlu dilakukan untuk pasukan negara.
Mengenai saranan MIC supaya jurulatih bola sepak negara K.Rajagobal dianugerahkan gelaran 'Datuk', Ahmad Shabery berkata penganugerahan itu hanya diberikan oleh Sultan dan Yang Dipertua Negeri dan ia tidak diberikan atas desakan mana-mana pihak.
Bagaimanapun katanya pihaknya boleh memberi cadangan berhubung anugerah 'Datuk' itu, namun sama ada diberi atau sebaliknya, ia tidak menjadi sesuatu yang berbeza.
"Anugerah 'Datuk' juga boleh diberikan kepada beberapa pemain tetapi sebagai seorang profesional, gelaran itu bukan menjadi kayu pengukur untuk beliau memberi khidmat yang lebih baik atau tidak. Saya rasa ini ada dalam profesionalisme bola sepak itu sendiri," katanya.
-- BERNAMA
Posted by Cheni™ at Isnin, Januari 03, 2011