Rajagobal minta media Indonesia hentikan provokasi melampau

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

JAKARTA, 28 Dis (Bernama) -- Media Indonesia diminta menghentikan provokasi melampau dalam laporan mereka yang boleh menjejaskan keharmonian dan semangat kesukanan antara Malaysia dan Indonesia dalam keghairahan pertandingan Piala AFF Suzuki 2010.

Jurulatih bola sepak Malaysia K Rajagobal yang membuat gesaan itu berkata tidak ada pihak yang mendapat keuntungan daripada provokasi berkenaan.


Bercakap pada sidang akhbar di sini Selasa, Rajagobal berkata pertemuan Malaysia dan Indonesia di gelanggang bola sepak selama ini sering diberi perhatian yang signifikan dalam erti hubungan akrab kedua-dua negara.

Beliau turut meminta semua pihak menerima hakikat bahawa menang dan kalah adalah lumrah dalam pertandingan sukan.

Merujuk kepada kekalahan 1-5 Malaysia kepada Indonesia pada peringkat kumpulan, Rajagobal berkata beliau menerima kekalahan itu dengan tenang dan sabar sekalipun dikritik pedas oleh media Indonesia.

"Pasukan Malaysia pernah tewas 5-1 kepada pasukan Indonesia dan kami menerimanya dengan cukup tenang biarpun kami dikritik teruk oleh media di sini (Indonesia).

"Apabila Indonesia tewas 3-0 baru-baru ini, kenapa pula ia menjadi isu kepada anda (media) di sini? Saya mahu anda menjawab soalan saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan Indonesia mengenai isu pancaran laser yang kononnya menjadi punca kekalahan 'Garuda' pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur Ahad lalu.

Rajagobal berkata beliau sentiasa mengamalkan profesionalisme yang tinggi dalam membimbing anak buahnya dan berharap penyokong serta media Indonesia mengamalkan prinsip yang sama.

Beliau juga mengulangi keyakinan bahawa pasukan Malaysia mempunyai peluang untuk menang pada perlawanan akhir kedua malam esok.

"Seperti jurulatih Indonesia yang yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya, saya juga optimis dengan kemampuan pemain-pemain bimbingan saya. Sehingga ke hari ini mereka mempamerkan skill permainan yang cukup baik.

"Saya juga berkali-kali mengingatkan pemain-pemain saya agar sentiasa fokus pada permainan dan jangan diganggu oleh faktor-faktor luaran yang negatif khususnya menjelang hari perlawanan nanti," katanya.

Rajagobal bagaimanapun tidak menafikan kemampuan pasukan Indonesia yang dianggapnya cukup cemerlang ketika beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

-- BERNAMA

Comments :

have 0 comments at “Rajagobal minta media Indonesia hentikan provokasi melampau”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB