Sathianathan idam kembali terajui skuad kebangsaan

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Jurulatih pasukan Kelantan B. Sathianathan meluahkan hasrat untuk kembali membimbing skuad bola sepak kebangsaan setelah membuktikan kemampuannya membawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia buat pertama kali baru-baru ini.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata beliau bersedia pada bila-bila masa untuk kembali melatih skuad kebangsaan sekiranya diberikan peluang kedua oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


"Memang menjadi harapan semua jurulatih untuk bergelar sebagai jurulatih kebangsaan dan saya pernah berada di posisi itu suatu ketika dahulu.

"Sekiranya pihak FAM memberi peluang kedua, saya tidak akan lepaskan peluang tersebut kerana saya minat untuk kembali bergelar jurulatih kebangsaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sathianathan berkata beliau tidak merendahkan kemampuan jurulatih kebangsaan ketika ini K.Rajagobal yang disifatkannya sebagai seorang jurulatih yang berbakat.

"Saya puji dengan langkah bijak dan berani Rajagobal mengetengahkan barisan pemain baru dan memberi peluang kepada mereka untuk beraksi pada Sukan Asia di Guangzhou, China," katanya.

Rajagobal terpaksa mengugurkan beberapa pemain terbaiknya ke Guangzhou apabila sebilangan besar pemain senior mengalami kecederaan ketika menghadapi saingan sepanjang musim liga tempatan.

Kekosongan itu diisi Rajagopal dengan beberapa orang pemain baru bagi mengalas cabaran yang akan bermula Isnin.

Pada Isnin, Malaysia dijadual bertemu Kyrgyztsan pada perlawanan pertama kumpulan A di Stadium Huagong, Guangzhou, China kira-kira 4 petang pada waktu tempatan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Sathianathan berkata beliau akan terus mempertahankan kritikannya bahawa liga Malaysia belum mencapai tahap liga profesional.

Sathianathan berkata beliau mengkritik demikian kerana mahu melihat mutu bola sepak Malaysia dipertingkatkan demi kelangsungannya pada masa hadapan.

Selain itu, beliau juga menyedari bahawa sebilangan besar pasukan negeri dan kelab tempatan tidak berminat untuk mengambinya sebagai jurulatih kerana tidak suka dengan sikapnya yang disifatkan sebagai panas baran.

"Dalam sukan bola sepak, kita tidak perlu bodek orang untuk mendapat tempat sebaliknya untuk memajukan sukan ini, kita kena berterus-terang," katanya.

Sathianathan disingkirkan daripada mengemudi skuad kebangsaan oleh FAM pada awal 2009 apabila beliau mengkritik mutu bola sepak Malaysia yang disifatkan bukan bola sepak sebenarnya.

Baru-baru ini, beliau memenangi gelaran Jurulatih Terbaik 2010 pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM setelah memimpin Kelantan menjuarai Piala Malaysia buat pertama kali.

-- BERNAMA

Comments :

have 0 comments at “Sathianathan idam kembali terajui skuad kebangsaan”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB