Akmal Rizal Sertai Perak Kerana Mahu Ikut Cikgu Jan

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

IPOH, 29 Nov (Bernama) -- Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang baru menjulang Piala Malaysia bersama pasukan Kelantan musim lepas berkata keputusannya untuk menyertai Skuad Seladang pada musim 2011 adalah untuk kembali bersama bekas jurulatihnya iaitu Norizan Bakar.

"Saya berpengalaman di bawah latihan Cikgu Jan (Norizan) sejak berumur 14 tahun dan keserasiaan yang ada membolehkan saya mendapat pelbagai pendedahan bersama pasukan Perak kelak," katanya di sini hari Isnin pada majlis pelancaran jersi baru pasukan Perak yang bakal menggunakan jenama Specs.


Akmal Rizal berkata barisan pemain muda yang dimiliki Perak juga mampu bermain lebih cemerlang di bawah tunjuk ajar Cikgu Jan.

Norizan pernah menjadi jurulatih pasukan kebangsaan dari November 2005 hingga Julai 2007 setelah tamat kontrak Bertalan Bicskei.

Mengenai jersi baru itu, Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Zainol Padzi Paharuddin berkata jersi Specs akan digunakan untuk kejohanan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim 2011.

PAFA turut melancarkan dua jenis tiket bermusim bernilai RM100 bagi tempat duduk tidak berbumbung dan RM150 bagi tempat duduk berbumbung.

"Pembawa kad ini boleh menonton kesemua 25 perlawanan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2011 yang berlangsung di Stadium Perak.

"Sebagai permulaan kami melancarkan 1,000 kad bermusim dan sesiapa yang ingin memilikinya boleh mendapatkannya di Pejabat PAFA selepas 1 Dis ini," jelas Zainol Padzi.

Sementara itu skuad Terengganu yang sedang membuat persiapan untuk menghadapi Liga Malaysia musim depan dikejutkan apabila pemain tengahnya Zairo Anuar Zalani dikatakan akan berhijrah ke pasukan T' Team.

Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata Zairo telah meminta agar beliau dilepaskan walaupun kontraknya masih berbaki setahun lagi bersama Terengganu.

"Kita difahamkan beliau (Zairo) mendapat tawaran gaji yang lebih baik daripada pasukan T'Team," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Che Mat berkata Terengganu akan diperkuatkan oleh beberapa pemain berpengalaman dan juga bekas pemain kebangsaan tahun depan.

Antara pemain yang akan memperkuatkan pasukan Terengganu termasuk bekas pemain KL Plus yang berasal dari Sarawak, Reeshafiq Alwi.

Beliau berkata selain itu, bekas pemain Terengganu yang sebelum ini berhijrah ke pasukan T'Team pada tahun lepas, Ismail Faruqi akan kembali bersama Terengganu musim depan.

Katanya barisan pemain Terengganu tahun depan telah dikenal pasti dan senarainya akan diumumkan selepas kontrak pemain-pemain itu tamat.

Che Mat berkata Terengganu mengambil pemain baru yang berkebolehan untuk mengisi semua posisi daripada pasukan Perlis, Kuala Lumpur Plus, Sarawak, Pahang dan Kelantan.

"Prestasi pasukan Terengganu tahun depan dijangka lebih baik dan mampu mencabar pasukan-pasukan lain berbanding sebelum ini.

-- BERNAMA

Comments :

have 0 comments at “Akmal Rizal Sertai Perak Kerana Mahu Ikut Cikgu Jan”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB