Ganjaran tugasan berhemah dikira ibadat jika patuh etika kerja

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Setiap mukmin seharusnya patuh dan mengamalkan etika kerja tidak bertentangan dengan kehendak agama kerana Islam membawa dimensi baru dalam membina budaya kerja yang kondusif digarapkan berdasarkan akhlak murni.

Antara etika kerja ialah mengamalkan nilai agama dan moral ketika bekerja selain memanfaatkan masa bekerja sebaik-baiknya.


Tiada istilah buang masa jauh sekali melewat-lewatkan tugasan yang sepatutnya dilaksanakan. Etika kerja Islam merangkumi amalan luhur seperti amanah, dedikasi, bersifat jujur, mengutamakan disiplin yang tinggi dan bersyukur. Nilai teras ini perlu sebati dalam diri setiap Muslim yang bekerja.

Semangat tauhid yang dihayati sepenuhnya akan mempengaruhi sikap, pemikiran dan nilai kerja. Hasilnya dapat dilihat melalui peningkatan produktiviti serta kecekapan melaksanakan tugasan mengikut waktu ditetapkan.

Etika seterusnya yang perlu ada ialah sikap sentiasa berwaspada dan menilai diri supaya tidak melakukan kesilapan ketika bekerja. Melakukan sesuatu tugasan penuh berhemah dan berhati-hati menjadi lambang prihatinnya seseorang itu terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan.

Memahami makna bekerja yang sebenar sebagai ibadat kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya menjadikan seseorang itu takut untuk melakukan sebarang penyeleweng yang melanggar perintah Allah.

Pemahaman konsep tauhid yang kukuh membuatkan seseorang Muslim itu patuh kepada akhlak Islam sebenar. Falsafah tauhid terterap padu dalam jiwa membawa kepada pengamalan budaya kerja yang sihat dan berupaya melahirkan insan yang komited dalam setiap kerja dilakukan.

Justeru, tidak dinafikan hati mempengaruhi etika kerja kerana semuanya bermula daripada hati dan apa yang diniatkan. Bagi hati yang bertakwa kepada Allah, segala usaha kerja akan menjurus kepada landasan yang bertepatan dengan kehendak agama.

Mengamalkan etika kerja Islam memberi motivasi kepada setiap Muslim mengejar ganjaran di dunia dan akhirat kerana kesungguhan bukan semata-mata mencari kekayaan dunia sebaliknya meletakkan matlamat akhirat sebagai keutamaan.

Setiap pekerjaan yang dilakukan mengikut etika Islam dengan niat kerana Allah pasti dikira sebagai satu ibadat. Kita mesti berusaha mengamalkan seberapa daya yang mampu dan berdoa supaya setiap kerja menghasilkan keputusan diharapkan serta menjadi ibadat yang diterima.


Sumber : Berita Harian

Comments :

have 0 comments at “Ganjaran tugasan berhemah dikira ibadat jika patuh etika kerja”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB