FAM kecewa masih ada penyokong bergaduh

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh Ahmad Muliady Abdul Majid

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa melahirkan rasa kecewa dengan sikap segelintir penyokong bola sepak tempatan yang masih lagi berdegil dan tidak mematuhi peraturan hingga mencetuskan pergaduhan di stadium.


"Saya percaya telah banyak kali pihak FAM mahupun pasukan bola sepak negeri memberi nasihat agar penyokong mereka tidak terlibat dengan pergaduhan tetapi sebaliknya masih tetap berlaku. Mereka seolah-olah tidak takut undang-undang," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden pergaduhan antara penyokong Kelantan dan Selangor pada perlawanan suku akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Selasa malam.

Annuar, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), berkata beliau tidak menyalahkan Selangor sebagai tuan rumah atas kegagalan mereka mengawal kekecohan tersebut.

"Pihak tuan rumah telah mengambil langkah kawalan keselamatan yang secukupnya namun kehadiran penyokong yang terlalu ramai dari pasukan Kelantan menyebabkan pihak keselamatan sukar mengawal penonton," katanya.

Annuar mencadangkan agar susunan tempat duduk penonton perlu diberi perhatian supaya penyokong kedua-dua pihak tidak mempunyai peluang untuk bertembung.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Che Karma Sulaiman, seorang penyokong pasukan Kelantan yang meninggal dunia akibat sesak nafas sebaik sahaja selesai menyaksikan perlawanan.

Jenazahnya disembahyangkan di sini sebelum dibawa ke Bachok, Kelantan untuk dikebumikan.

Semua kos pengurusan jenazah ditanggung oleh KAFA.

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata insiden pergaduhan yang berlaku antara penyokong pasukan Kelantan dan Selangor itu adalah di luar kawalan FAM dan pihak tuan rumah.

"Pihak tuah rumah telah menyediakan kawalan keselamatan yang secukupnya, malah saya berpuas hati dengannya.

"Kita akan menunggu laporan penuh yang akan dikemukakan oleh jawatankuasa perlawanan sebelum membuat keputusan di peringkat jawatankuasa disiplin," katanya.

Azzuddin berkata penyokong menyaksikan perlawanan di stadium sepatutnya pergi atas sebab kesukanan, bukannya untuk merosakkan perlawanan yang akhirnya mendatangkan masalah kepada pasukan mereka.

"Telah banyak kali FAM memberi nasihat kepada penyokong tapi masalah yang sama tetap berlaku," katanya.

Tahun lepas, KAFA dikenakan denda RM50,000 akibat daripada tindakan liar penyokong Kelantan ketika perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

KAFA juga terpaksa membayar kos kerosakan Stadium Nasional sebanyak RM138,150.

-- BERNAMA

Comments :

have 0 comments at “FAM kecewa masih ada penyokong bergaduh”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB