SENTUHAN INDRA, KHALID DITAGIH

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh Adnan Mohamad
bhkb@bharian.com.my

Red Warriors harap tonggak 'import' tonjol reputasi sebenar

ASPEK tekanan boleh 'memerangkap' pemain Kelantan ketika digamit final Piala Malaysia, Sabtu ini dan jelas sentuhan dua pemain tonggak - Indra Putra Mahayuddin dan Khalid Jamlus amat ditagih buat mengimbangi cabaran apabila menentang Negeri Sembilan nanti.




Indra Putra Mahayuddin

Indra yang sudah menyumbang 10 gol setakat ini tidak menafikan tekanan kali ini lebih kuat selepas skuad The Red Warriors itu gagal memenangi Piala FA, April lalu selepas tewas kepada Selangor dalam penentuan penalti dan tidak mahu detik kecewa sama berulang di Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti.

"Pada setiap final, setiap pemain akan menunjukkan kekuatan masing-masing dan perasaan gementar perlu dielak untuk bertarung berbekal persembahan terbaik.

"Sebagai pemain profesional, kita harus dapat berdepan tekanan dalam perlawanan akhir yang menuntut ketenangan dan komitmen tinggi setiap saat," katanya yang melafazkan janji memberi aksi terbaik dalam usaha memenuhi impian setiap rakyat Kelantan yang amat dahagakan trofi kejayaan.

Khalid pula menyifatkan final kali keempat Piala Malaysia bagi dirinya kali ini tetap mengundang debaran yang kuat kerana akur harapan tinggi yang disandarkan ke atas dirinya dan Indra untuk mengilhamkan kemenangan bersejarah nanti.

"Final kali ini berbeza kerana harapan tinggi daripada seluruh peminat fanatik Kelantan. Bagi diri saya, keadaan itu bukan satu masalah besar kerana sudah berpengalaman. Malah saya yakin, rakan sepasukan juga tidak gementar kerana sebelum ini sudah beraksi dalam final Piala FA," katanya.

Sementara itu, penyerang sensasi Kelantan, Nor Farhan Mohamad beranggapan tugasan perit menunggu bahagian serangan pasukan kerana harus berdepan barisan pemain tengah Negeri Sembilan yang kental dan dianggap terbaik dengan kelibat mantap S Kunalan dan Ching Hong Aik.

"Tapi jika lawan ingat mereka harus mengawal Indra dan saya jelas mereka silap kerana kami amalkan permainan sepasukan dan ia banyak kali sudah menyelamatkan kami. Semua pemain kami boleh menjaringkan gol," katanya.

Lain-lain berita...

Budi lama NS buat Sathia keresahan

Oleh Adnan Mohamad
bhkb@bharian.com.my

Tapi misi Red Warriors perlu diambil kira

MINDA B Sathianathan harus berkecamuk sedikit menjelang ujian getir menentang Negeri Sembilan dalam final Piala Malaysia, Sabtu ini � segala-galanya terjurus kepada penghargaan pernah diberi kepadanya oleh majikan pihak lawan satu ketika dulu.

Tanpa bersembunyi-sembunyi pengendali Kelantan itu menyuarakan betapa sifat kasih sayang terhadap pengurusan Negeri Sembilan masih wujud kerana satu ketika dia pernah dibiayai untuk mengikuti kursus kejurulatihan di Eropah selain berfungsi selaku penolong jurulatih skuad Rusa itu.

Apapun, Sathia tidak mahu elemen yang agak beremosi itu mengganggu minda pada saat getir ini kerana dia akur tugasan utama ketika ini adalah memastikan The Red Warriors dapat menjulang trofi prestij itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti.

"Saya tidak akan lupakan jasa Negeri Sembilan. Tetapi itu dulu dan kini saya komited 100 peratus kepada Kelantan dan bertekad mengilhamkan satu formula kejayaan memastikan pasukan saya dapat menjulang trofi buat pertama kali dalam sejarah Piala Malaysia.

"Saya pasti pihak lawan akan cuba mengubah corak permainan mereka dan mengekang asakan Kelantan. jadi, saya mahu sebut kami akan turun sebagai pasukan underdog kali ini.

"Kekuatan Kelantan ketika ini bukan atas kapasiti individu tetapi keupayaan beraksi sebagai satu pasukan," katanya.

Annuar gesa ingat kembali keperitan lalu Red Warriors

Oleh Adnan Mohamad dan Fazurawati Che Lah
bhsukan@bharian.com.my


PENYOKONG Kelab Bola Sepak Kelantan dari Wakaf Che Yeh, Mat Yee Bundle (tengah) memborong 399 tiket yang mula dijual selama tiga hari di Stadium Sultan Mohamad IV, semalam.


DI sebalik gembira mara ke final Piala Malaysia buat kali pertama sejak hampir 40 tahun, Kelantan mahu mengingati kenangan pahit sebagai bekal untuk memuncakkan kesungguhan menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan, Sabtu ini.

Imbasan keperitan itu dikongsi Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, pada majlis mengagihkan bonus hasil kejayaan layak ke perlawanan kemuncak itu, semalam.

"Saya masih ingat kesusahan ketika beraksi dalam Liga Perdana apabila hanya mampu menginap di rumah sewa. Kemudiannya, kita berpindah ke hotel tiga bintang selepas peminat kembali menyokong dan menghidupkan suasana di Stadium Sultan Mohd IV.

"Menjelang final Sabtu ini, semua pemain akan ditempatkan di hotel enam bintang sebagai penghargaan kepada mereka sebelum turun menentang Negeri Sembilan.

"Saya rasa tidak salah sekiranya mereka diberikan layanan istimewa, selaras peningkatan yang ditunjukkan. Yang penting adalah tugas pemain mencipta sejarah sebagai pasukan pertama dari Kelantan menjulang Piala Malaysia," katanya.

Pemain Kelantan juga beruntung menerusi agihan bonus keseluruhan berjumlah RM170,000, termasuk RM66,000 yang terbaru sebagai menghargai kejayaan layak ke perlawanan akhir itu.

Sementara itu, Annuar turut melahirkan keyakinan penyokong Kelantan akan membentuk majoriti yang hadir di Stadium Nasional, hasil sambutan jualan tiket yang bermula, semalam.

Kelantan diperuntukkan 40,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan sehingga petang semalam, lebih 20,000 tiket sudahpun dijual.

"Saya yakin antara 50,000 hingga 60,000 penyokong Kelantan akan membanjiri Bukit Jalil Sabtu ini, sama ada dari Kelantan ataupun yang mencari rezeki di Lembah Klang," katanya.

Nik Aziz janji ganjaran 'istimewa'

MENTERI Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjanjikan sesuatu 'paling istimewa' kepada pemain jika Kelantan muncul juara Piala Malaysia mengalahkan Negeri Sembilan di perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Beliau berkata ganjaran itu akan diumumkan Anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan selepas mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

"Saya sudah serahkan mandat kepada YB Taki untuk mengumumkan hadiah ini," katanya yang hanya membayangkan hadiah itu sebagai 'paling istimewa' yang belum pernah dibuat oleh negeri-negeri lain.

Kelantan belum pernah menjuarai piala berprestij itu walaupun pernah memasuki perlawanan akhir pada 1970 tetapi kalah 2-0 kepada Perak. - Bernama


Comments :

have 0 comments at “SENTUHAN INDRA, KHALID DITAGIH”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB