RM66,000 HABUAN BUAT PEMAIN RED WARRIORS

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memberikan habuan bayaran bonus sebanyak RM66,000 kepada pemain Red Warriors atas kejayaan mereka ke perlawanan akhir.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan pemain Kelantan merupakan pemegang saham terbesar buat badan persatuan bola sepak negeri ini.




“Saya tak nak perang saraf dengan pasukan Negeri Sembilan sebab semua pemain tahu jika mereka menang lebih banyak mereka akan menerima ganjaran yang lebih baik daripada yang telah dijanjikan.

“Apa yang saya harapkan adalah agar Kelantan akan menjadi sebuah pasukan terbaik dalam sejarah dan berkeupayaan. Para pemain perlu menumpukan sepenuh perhatian dalam perlawanan Sabtu ini,” katanya.

Menurutnya, selain pemain bertanding dari segi fizikal mereka turut berperang secara minda dan kesemua pemain perlu sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku dalam perlawanan paling berprestij itu.

“Kita ada kelebihan di perlawanan ini dengan sokongan daripada penyokong kita sudah tentu Stadium Bukit Jalil akan bertukar kepada Stadium Darulnaim pada hari perlawanan. Saya yakin Kelantan akan membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu.

“Saya berharap agar semua pemain masuk ke dalam stadium dengan penuh keyakinan mudah-mudahan kejayaan milik kita sekali gus memadam sejarah lalu setelah tewas di tangan pasukan perak,” katanya.

Annuar berkata, beliau telah menjelaskan kepada Setiausaha Agong Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai isu keciciran pasukan Kelantan di tahun hadapan akibat hutang tertunggak.

“Saya sudah jelaskan yang Kafa akan menyertai sebarang liga dan kejohanan di Malaysia. Saya mengaku Kafa masih lagi berhutang dan akan menyelesaikan hutang tersebut.

“Malah tahun hadapan Kafa akan membentuk sebuah pasukan yang lebih digeruni dan sudah tentu ia memerlukan dana dan perbelanjaan yang banyak dan rasanya tidak menjadi masalah buat Kafa untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Kafa turut mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu hutang lapuk yang ditanggung bagi memastikan berapa jumlah yang perlu dibayar kepada FAM termasuk tunggakan gaji serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setelah disenaraikan antara enam pasukan yang tercicir dalam Liga Malaysia musim hadapan.

Lain-lain berita...

Yusmira Trading beri ganjaran jika Kelantan menang

KOTA BHARU - Pengarah Urusan Yusmira Trading Sdn.Bhd, Datuk Azlan Muhammad menawarkan ganjaran sebanyak RM55,000 kepada pasukan Red Warriors jika berjaya menjuarai Piala Malaysia musim ini.

Menurutnya, ganjaran insentif itu ditawarkan dengan harapan agar dapat memberikan suntikan semangat kepada pemain Kelantan yang berjuang agar dapat melakar sejarah untuk menjulang Piala Malaysia.

“Sebagai peminat setia pasukan Kelantan, saya berbangga dengan kemaraan pasukan negeri kelahiran saya. Malah saya terharu Kelantan berjaya ke perlawanan akhir pada musim ini.

“Rasanya peminat setia negeri Kelantan telah lama menantikan kejayaan seperti ini dan saya berharap agar Kelantan berjaya membawa pulang Piala yang telah menjadi idaman selama 39 tahun,” katanya.

Sehubung itu, Azlan berharap agar ganjaran insentif ini dapat meringankan beban Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk membayar bonus kepada pemain di bawah naungan badan tersebut sekiranya berjaya menewaskan Negeri Sembilan di Bukit Jalil.

“Saya dah maklumkan kepada Tan Sri Annuar Musa mengenai ganjaran ini dan berharap sedikit sebanyak sumbangan ini dapat membantu KAFA dan sekali gus menaikkan lagi semangat pemain Kelantan.

“Saya juga bersedia untuk menaja perkhidmatan bas dan van yang boleh digunakan oleh peminat Red Warriors yang ingin ke Bukit Jalil bagi memberikan sokongan kepada Kelantan di sana,” katanya.

Piala Malaysia pasti milik ‘The Red Warriors’: Peminat

KOTA BHARU - Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan di sekitar Stadium Sultan Muhammad ke-1V, mendapati rata-rata peminat Red Warriors kesemuanya mengharapkan agar pasukan Kelantan berjaya membawa pulang Piala Malaysia dalam perlawanan akhir Sabtu ini.

Selain itu, seluruh rakyat Kelantan turut mendoakan kejayaan pasukan Red Warriors yang telah ditunggu sekian lama.

Mengimbau kembali nostalgia bola sepak di era 70’an, Kelantan yang turut berjaya mara sehingga ke akhir perlawanan kurang bernasib baik setelah tewas di tangan Perak, 2-0, dan kini peluang kembali terbuka buat pasukan Kelantan untuk mencipta sejarah.

Mohd Fezree Mat Nawi, 23, berasal dari Taman Kurnia Jaya mengharapkan agar pasukan ini menang di perlawanan akhir dengan dua mata jaringan.

“Saya berharap agar pasukan Kelantan berjaya menewaskan Negeri Sembilan tak kira walau dengan apa cara sekali pun. Saya dan penyokong Kelantan akan mendoakan kejayaan buat pasukan Red Warriors,” katanya.

Nik Shid Nik Abdullah, 48, berasal dari Kota Bharu berharap agar Kelantan berjaya menundukkan pasukan lawan, 2-0.

“Kita perlu menang sebab kita dah berusaha sebaik yang mungkin. Pemergian kami sebagai peminat Red Warriors ke Bukit Jalil biarlah berbaloi kali ini dengan kejayaan seterusnya bawa pulang Piala Malaysia ke sini,” katanya.

Mohd Natpi Che Mood, 21, berasal dari Melor berharap agar pasukan Kelantan jangan melepaskan peluang keemasan ini.

“Saya berharap agar pasukan Kelantan boleh menang. Kepada pemain Kelantan janganlah terlepas peluang ini kerana kami sebagai peminat dah lama tunggu kejayaan mereka di Piala Malaysia,” katanya.

Nik Syafiq Syazam Nik Mahadi, 12, berasal dari Bukit Marak, turut berharap agar pasukan Kelantan berjaya mencipta sejarah.

“Saya minat dengan pasukan ini sejak berusia tujuh tahun lagi dan tak pernah terlepas peluang untuk ke stadium bagi melihat sendiri kehebatan pasukan pujaan saya bersama keluarga dan saya gembira pasukan ini mara sehingga ke perlawanan akhir,” katanya.

Ramlee Umar, 55, berasal dari Kota Bharu berkata dia masih teringat dalam perlawanan akhir lalu ketika Kelantan bertemu pasukan Perak pada tahun 1970.

“Di tahun 70’an dulu kita dah bersedih ke atas kekalahan masa lalu. Saya berharap agar pemain Kelantan sekarang berjaya menggembirakan kami selaku peminat. Dalam perlawanan akhir mereka perlu beraksi dengan baik dan jangan pamerkan aksi macam di Piala FA sebab kita dan tak nak ditewaskan,” katanya.

Muhammad Umar, 29, berkata beliau telah menyediakan perkhidmatan bas kepada peminat yang ingin ke Bukit Jalil bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan Red Warriors.

“Kepada peminat yang ingin ke Stadium Bukit Jalil untuk memberikan sokongan kepada pasukan kita, mereka boleh bersama-sama kami ke sana kerana kami telah menyediakan 25 buah bas persiaran yang akan bertolak hari Jumaat ini dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Khairul Azahar, 23, berasal dari Gua Musang berharap agar pasukan Kelantan berjaya membawa pulang Piala Malaysia setelah tewas di Piala FA lalu.

“Saya menaruh harapan yang tinggi kepada Red Warriors untuk menang. Kita sebagai peminat dah lama kempunan nakkan kemenangan dan harap-harap menang, 1-0, pun dah cukup baik,” katanya.

Mohd Hafizi Khamis, 20, berasal dari Terengganu berkata setelah pasukan negerinya tewas di tangan Negeri Sembilan kini beliau menaruh harapan yang tinggi kepada Red Warriors.

“Pasukan negeri saya dah tewas dan kini sebagai orang pantai timur saya menaruh agar Kelantan berjaya menewaskan Negeri Sembilan, 3-0 dan saya yakin Kelantan mampu untuk menjuarai Piala Malaysia tahun ini,” katanya.

Wan Mohd Azroi Wan Yusuf, 21, berasal dari Pasir Hor yakin Kelantan mampu untuk menjuarai Piala Malaysia.

“Saya dan rakan yang lain akan ke Bukit Jalil untuk memberikan sokongan yang padu kepada pasukan Kelantan dan saya yakin Kelantan boleh menang,” katanya.


Sumber : Sinar Harian


Comments :

have 0 comments at “RM66,000 HABUAN BUAT PEMAIN RED WARRIORS”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB