KELANTAN SASAR 3 PIALA MUSIM DEPAN

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU - Selepas menunjukkan prestasi yang membanggakan pada musim ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) awal-awal lagi memasang impian yang lebih tinggi apabila menyasarkan tiga piala pada musim depan.



Annuar Musa (tengah) bergambar bersama skuad Kelantan selepas majlis penyerahan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 kepada para penyokong di Kota Bharu, semalam. - Utusan/Zulhanifa Sidek

Bagi mencapai hasrat tersebut dan memupuk semangat penyokongnya, KAFA dengan kerjasama kerajaan negeri akan mengumumkan tahun depan sebagai 2010 Tahun Bola Sepak Kelantan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sasaran tersebut disandarkan kepada kejayaan Kelantan melangkah ke final Piala Malaysia Sabtu ini dan layak beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini.

Katanya, peluang Kelantan mencipta sejarah menjulang Piala Malaysia, Piala FA dan menjuarai Liga Super lebih cerah tahun depan.

''Bagi tujuan tersebut, KAFA akan membentuk sebuah pasukan yang terkuat bagi menghadapi saingan musim depan dan kita telah menandatangani tiga lagi pemain baru dari pasukan lain untuk memperkuatkan barisan kita pada tahun depan.

"Saya juga telah bercakap dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan beliau telah bersetuju untuk mengisytiharkan tahun 2010 sebagai Tahun Bola Sepak Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan tiket bola sepak pada Majlis Penyerahan 1001 Kelantan Young Footballers Tetamu KAFA sempena perlawanan akhir Piala Malaysia di Wisma Sukan, Kota Bharu semalam.

KAFA telah menaja seramai 1001 penyokong Kelantan termasuk pemain pelapis, pemain veteran dan pegawai pembangunan bola sepak di peringkat sekolah untuk pergi menyaksikan perlawanan bola sepak tersebut.

Ia merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan persatuan tersebut untuk menyemarakkan lagi pembangunan bola sepak di negeri ini bagi memastikan sukan tersebut menjadi satu industri yang mendatangkan pendapatan kepada semua pihak.

Annuar berkata, pihaknya akan mengaturkan beberapa program membabitkan acara sukan bola sepak termasuk melibatkan pasukan bola sepak luar negara di seluruh negeri sepanjang tahun depan.

"Kita akan mengatur beberapa program seperti klinik bola sepak dan seminar selain daripada siri perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa.

"KAFA mahu pembangunan bola sepak ini akan dikongsi oleh semua pihak kerana sukan ini adalah satu industri yang semakin berkembang di seluruh dunia," katanya.



Comments :

have 0 comments at “KELANTAN SASAR 3 PIALA MUSIM DEPAN”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB