'KAMI TAK KUAT'

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

MESKIPUN impian membawa pulang Piala Malaysia ke Kelantan semakin hampir, jurulatih B Sathianathan tetap meletakkan Negeri Sembilan sebagai pilihan menjuarai piala paling berprestij itu.

Kenyataan itu dibuat beralaskan kekuatan dan pengalaman seperti pemain tengah, S Kunalan serta pasangan kembar, Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak yang dilihat sebagai tunjang kepada kejayaan pasukan itu.





Sathianathan turut mengakui, keserasian antara pemain sudah lama wujud dalam kem Negeri Sembilan sejak Wan Jamak Wan Hassan mengendali skuad itu, tiga tahun lalu.

Tanpa menyembunyikan perasaannya, Sathianathan berkata beliau memang menyayangi serta berterima kasih kepada Negeri Sembilan kerana pernah membiayainya untuk menjalani Kursus Kejurulatihan di Eropah sebelum ini.

Bagaimanapun beliau yang pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih di negeri terbabit perlu bersikap profesional dan komited 100 peratus kepada Kelantan dan berhajat membawa skuad Kijang menjulang Piala Malaysia kali pertama.

Gemar melabelkan Kelantan sebagai pasukan bukan pilihan, Sathianathan berkata, Kelantan yang muncul buat kali kedua pada final selepas Piala FA sebelum ini, mungkin melakukan kejutan berdasarkan corak permainan semakin menjadi.

“Final kali ini, saya akan meneliti corak permainan dan saya berasakan, pada perlawanan kali ini lawan mungkin melakukan perubahan.

“Namun begitu, setiap pasukan yang beraksi pada final, tidak akan sewenang-wenangnya meletakkan kekuatan pada individu tertentu dan sudah semestinya mengekalkan corak permainan berpasukan,” katanya.

Satianathan berkata, pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, beliau akan menekankan aspek kekuatan mental kepada setiap pemain kerana tekanan dihadapi begitu kuat.

Ia ditambah lagi selepas Kelantan yang menjadi harapan untuk menggondol Piala Malaysia buat kali pertama selepas gagal melaksanakan tanggungjawab terbabit pada 1970.

Menurutnya, bagi menghadapi Negeri Sembilan di final nanti, beliau tidak membuat sebarang perubahan dalam corak latihan dan hanya meneruskan seperti biasa.

Namun begitu, Sathianathan menegaskan setiap jurulatih sudah semestinya mempunyai perancangan tersendiri tetapi hanya akan didedahkan pada final nanti sebagai kejutan ke atas lawan.

“Buat masa sekarang, saya menganggap Kelantan masih belum lagi mencapai tahap diharapkan tetapi optimis pasukan ini akan menjadi lebih kuat pada masa hadapan sekiranya diberikan tumpuan sepenuhnya.

“Apa yang perlu diberi tekanan ialah setiap pemain harus diberikan peluang kerana saya melihat mereka mempunyai kekuatan tetapi perlu diletakkan di posisi yang betul,” katanya.


Comments :

have 0 comments at “'KAMI TAK KUAT'”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB