FARHAN PASTI JADI IGAUAN NS

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh Adha Ghazali
bhsukan@bharian.com.my

Hatrik benam Perlis wajar buka mata skuad Jang menjelang final Sabtu ini

LEDAKAN hatrik Nor Farhan Mohamad ketika menjinakkan Perlis dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Utama, Kangar, kelmarin, pasti menjadi igauan buat Negeri Sembilan, terutama dalam usaha mengekang ketajaman jentera serangan ‘The Red Warriors’ di final, Sabtu ini.


Ini kerana Negeri Sembilan kini bukan saja perlu tampil dengan persiapan terbaik untuk menyekat kemaraan Indra Putra Mahayuddin, tetapi juga harus mengambil kira ketajaman penyudah Nor Farhan, apa lagi dengan rekod persembahan memberangsangkan pemain itu ketika membantu Kelantan membenam Perlis.

Bagi Nor Farhan, melakukan hatrik tidak pernah tersenarai dalam misi membenam Perlis, kerana matlamat paling penting adalah untuk memastikan tempat dalam saingan akhir di Bukit Jalil.

"Apa pun, saya bersyukur kerana mampu tunaikan tugas sebagai satu pasukan seperti yang dirancang.

"Paling penting, amanat diberikan jurulatih (B Sathianathan) dapat saya laksanakan sebaik mungkin, sekali gus memastikan setiap peluang yang terhidang dapat disudahkan dengan sempurna," katanya.

Nor Farhan menjadi sandaran tunggal dalam saingan pusingan kedua bertemu Perlis, malam kelmarin, berikutan penggantungan Indra Putra, yang juga ketua pasukan Kelantan.

Bagaimanapun, tugas berkenaan dipikul Nor Farhan sebaik mungkin dengan ledakan hatrik pada minit ke-26, 53 dan 87, sekali gus meningkatkan peluang untuk menamatkan kemarau 39 tahun The Red Warriors, untuk menjulang Piala Malaysia.

Sementara itu, Sathianathan ketika ditemui, mengakui terkejut dengan mutu persembahan serta komitmen ditunjukkan anak buahnya, walaupun baru sebulan lebih menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih The Red Warriors.

Dari segi percaturan, Sathianathan berkata dia yakin pencapaian di Kangar pasti meletakkan penanda aras yang tinggi buat Negeri Sembilan, terutama dengan penampilan semula Indra untuk menyokong keutuhan jentera serangan.

"Apa pun, Kelantan bukan pasukan yang bergantung kepada satu pemain semata-mata, sebaliknya kami mementingkan semangat berpasukan dalam mengejar kejayaan.

Lain-lain berita...

Annuar gembira impian 39 tahun jadi kenyataan

Oleh Kamudin Baharom
bhsukan@bharian.com.my

BAGI Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Seri Annuar Musa impian menyaksikan Kelantan menjejakkan kaki ke pentas final Piala Malaysia, sejak 39 tahun lalu, akhir menjadi kenyataan.

Katanya, kejayaan itu sungguh bermakna kepada skuad Negeri Cik Siti Wan Kembang selepas kali terakhir melangkah ke peringkat itu pada 1970.

"Usaha keras KAFA selama ini akhirnya menjadi kenyataan, malam ini (semalam). Saya bersyukur dengan pencapaian Kelantan yang kini akan beraksi di final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, 7 November ini," katanya selepas The Red Warriors mara ke final dengan menundukkan Perlis dengan agregat 5-1.

Skuad bimbingan B Sathianathan akan bertemu Negeri Sembilan yang menewaskan Terengganu, 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk mara ke final dengan agregat 4-1.

“Kejayaan yang dicapai ini adalah berkat sokongan dan komitmen tinggi semua pihak termasuk kepemimpinan, pengurusan, jurulatih, pemain dan tidak ketinggalan penyokong yang sentiasa memberikan sokongan setiap kali perlawanan baik di gelanggang sendiri atau di luar," katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan penonton dan penyokong tempatan mengelakkan diri daripada terbabit membawa masuk bahan larangan seperti bunga api dan mercun apabila menyaksikan perlawanan.

“Perbuatan membawa masuk bahan larangan ini adalah salah bukan saja bertentangan dengan peraturan tetapi juga daripada segi undang-undang negara.




Comments :

have 0 comments at “FARHAN PASTI JADI IGAUAN NS”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB