ERA BARU HALIM

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh Adnan Mohamad, Ismail Muhamad, Siti Nor Hidayah Razali dan Zainuddin Muhammad
sukan@hmetro.com.my

PENJAGA gol Kelantan, Halim Napi tetap tenang meskipun dirinya dikaitkan dengan sikap ‘bekeng’ (garang) ketika beraksi di padang, apatah lagi selepas kontroversi yang melandanya ketika Kelantan bertemu Negeri Sembilan dalam saingan Piala FA, musim ini.


Bagaimanapun, menjelang saingan perlawanan akhir Piala Malaysia, Halim seperti rakan sepasukan lainnya gigih menjalani latihan tanpa mempedulikan isu berkaitan dengan dirinya.

Malah, penjaga gol berpengalaman Kelantan itu dilihat bijak mengawal perasaan dan tenang memikul tugas berat bagi memastikan gawangnya tidak mudah dibolosi lawan.

Ketenangan dalam mengawal gawang dengan baik sebagai benteng terakhir sukar buat lawan menewaskan skuad The Red Warrior’s dalam aksi Piala Malaysia.

Perlawanan akhir Sabtu ini, satu lagi ujian besar kepada penjaga gol itu mengawal gawang daripada dibolosi Negeri Sembilan yang tentunya diketuai penyerang lincah, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.

Ketika ditemui pada sesi latihan, Halim bagaimanapun mesra apabila disapa wartawan tetapi sering kali mengelak mengeluarkan kenyataan terutama mengenai dirinya yang dikaitkan dengan sikap itu.

“Tiada apa yang saya hendak nyatakan,” katanya dengan begitu ringkas dan lebih senang memilih untuk tidak memberi sebarang ulasan terhadap kontroversi yang pernah dilaluinya.

Ketangkasan Halim menyebabkan beliau diberi tanggungjawab begitu penting sehingga kini dan ia terbukti dengan ketenangannya memikul tugas itu serta mendapat kepercayaan pengurusan pasukan, khususnya ketua jurulatih, B Sathianathan dalam saingan Piala Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan, Azman Ibrahim, berkata pemain berusia 38 tahun itu menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang kempen Piala Malaysia dan layak diturunkan sebagai penjaga gol utama.

“Reputasi Halim sebagai pemain bermasalah memang tidak dapat dinafikan, namun selepas kembali daripada tempoh penggantungan terakhirnya, dia banyak berubah,” katanya.

Lain-lain berita...

Harapan wira 70-an

SKUAD bola sepak Kelantan era 70-an mengimpikan kemenangan skuad ‘The Red Warrior's dalam perlawanan akhir Piala Malaysia bagi membawa pulang piala berprestij itu buat julung kalinya selepas menunggu hampir 40 tahun.

Beberapa bekas pemain dari skuad itu yang beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada 1970 tidak sabar mengucup piala itu selepas gagal membawa misi pasukan apabila tewas, 2-0 kepada Perak pada final.

Bekas pemain sayap, Nik Salleh Nik Man, 66, mengharapkan pemain muda Kelantan membawa pulang Piala Malaysia sekali gus menamatkan badi kegagalan 39 tahun lalu.

“Saya menanti penuh kesabaran dan berharap kemenangan dapat dicapai pemain muda kerana ia dapat menebus kekecewaan kami. selepas kecundang kepada kepada Perak.

“Saya yakin barisan pemain Kelantan dapat merealisasikan harapan kami dari skuad 70-an Kelantan untuk membawa pulang Piala Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dengan bekas pemain skuad 70-an Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Sathia fokus persiapan mental pemain

CUMA berbaki dua hari sebelum perlawanan Sabtu ini, memberi kesempatan terbaik kepada ketua jurulatih, B Sathianathan memberi tumpuan kepada persiapan mental pemainnya bagi menggalas tugas berat di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bekas jurulatih kebangsaan begitu sibuk ketika persiapan anak buahnya berentap dengan Negeri Sembilan pada perlawanan akhir supaya mereka mampu menangani tekanan.

Ketika saat menjelang final Piala Malaysia, beliau melihat persiapan mental penting supaya pemain tidak mudah goyah atau gugup ketika berdepan Negeri Sembilan, selain harapan menggunung puluhan ribu penyokong Kelantan yang dijangka hadir ke stadium berkenaan.

“Hujan berterusan sedikit sebanyak merencatkan jadual latihan pasukan sepatutnya diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV pada sebelah pagi serta di Padang Mardi, Pasir Tumboh, sebelah petang semalam.

“Menerusi latihan yang dijalankan selepas perlawanan dengan Perlis pada Sabtu lalu, saya agak berpuas hati terhadap fizikal setiap pemain. Jadi tumpuan yang perlu diberi penekanan adalah aspek persiapan mental mereka.

“Saya tahu bermain di final akan menghadapi tekanan amat hebat. Setiap kesilapan boleh membuatkan mereka goyah sehingga menjejaskan tumpuan permainan,” katanya selepas menangguhkan latihan ekoran hujan lebat, pagi semalam.

Sathianathan tidak mahu perhatian pasukannya terganggu sekali gus memberi kelebihan kepada Negeri Sembilan yang memiliki pemain berkaliber khususnya penyerang yang dilihatnya mempunyai kebolehan melakukan serangan individu.

Katanya, kehadiran pemain berpengalaman di final seperti Indra Putra Mahyuddin dan Khalid Jamlus, yang ketika ini konsisten, diharap dapat membantu rakan sepasukan lain khususnya membimbing pemain muda dalam aksi di perlawanan akhir nanti.

“Pemain mempunyai matlamat penting dalam misi membawa pulang Piala Malaysia dan tentunya tekanan yang hebat menanti mereka di sana, khususnya daripada penyokong fanatik Kelantan.

“Dalam situasi ini, saya perlu menekankan aspek mental supaya pemain dan tidak terikut-ikut dengan rentak lawan yang mungkin akan menjadikan tekanan pasukan Kelantan sebagai kelebihan kepada mereka,” katanya.

Kawal emosi, patuhi arahan

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menasihatkan lebih 60,000 penyokongnya yang bakal menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini supaya dapat mengawal emosi dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa supaya tidak timbul sebarang insiden yang tidak diingini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata mereka perlu menjaga nama baik Kelantan sepanjang perlawanan merebut piala berprestij itu.

“Patuhilah segala peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan jagalah nama baik Kelantan sepanjang perlawanan itu nanti,” katanya. selepas majlis penyerahan 1,001 tiket menyaksikan perlawanan akhir itu kepada pelajar sekolah di Majlis Sukan Negeri Kelantan, semalam.

Katanya Kafa mendapat kebenaran FAM menjual 56,000 tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir itu dan meminta peminat yang tidak dapat membelinya di Kelantan supaya mendapatkannya di kaunter tiket stadium pada hari perlawanan.

Beliau juga menasihati peminat agar berhati-hati ketika di jalan raya ketika pergi dan pulang menyaksikan perlawanan itu.



Comments :

have 0 comments at “ERA BARU HALIM”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB