DUA GELARAN BUAT INDRA TAMBAH SELERA

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my

Suntikan semangat julang Piala Malaysia, Sabtu ini

INDRA Putra Mahayuddin ada dua sebab untuk bergembira, semalam pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan-100 Plus dengan dirinya mahu menambah gemilang itu dengan membantu Kelantan menjulang Piala Malaysia buat kali pertama, Sabtu ini.



Penyerang kebangsaan berusia 28 tahun itu dinobatkan selaku pemain terbaik tahun ini di samping anugerah penyerang terbaik, mengenepikan penjaring terbanyak musim ini, Mohd Nizaruddin Yusoff di kaca mata panel pemilih yang merangkumi wakil persatuan jurulatih kebangsaan, Persatuan Bola Sepak Malaysia dan media.

"Ia adalah satu penghormatan untuk menang dan ia pasti memberi suntikan buat saya bagi final Piala Malaysia, Sabtu ini," kata Indra daripada pangkalan latihannya di Kota Bharu, semalam yang turut mengucapkan terima kasih kepada 100 Plus dan FAM menganjurkan majlis berkenaan untuk menghargai jasa pemain.

Pemain kelahiran Ipoh, Perak itu yang mengemudi The Red Warriors muncul naib juara Piala FA, awal tahun ini tidak dapat menghadiri majlis berkenaan dan diwakili pengurus Kelantan, Azman Ibrahim untuk menerima hadiah RM3,000.

Lawan Kelantan, Sabtu ini, Negeri Sembilan, juga berbangga dengan pemenang dalam kalangan mereka, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang dipilih sebagai pertahanan terbaik.

Penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias pula dipilih penjaga gol terbaik dengan kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah memenangi gelaran pemain tengah terbaik. K Devan dari Selangor menerima anugerah jurulatih terbaik.

Lain-lain berita...

Pemain perlu bijak kawal tekanan


Oleh Ismail Muhammad dan Mohd Fakri Awang Lah
bhsukan@bharian.com.my

KECEWA mereka sudah tersimpan hampir 40 tahun. Kini, empat pemain Kelantan yang kalah pada final Piala Malaysia 1970 lalu mahu hampa mereka dihapuskan anak buah B Sathianathan pada aksi kemuncak di Stadium Nasional, Sabtu ini.

Namun, di sebalik ghairah yang dirasai ketika ini, kata nasihat turut diberi supaya emosi dan rentak permainan turut dipelihara demi memastikan Negeri Sembilan tidak bergelar juara.

"Kami kalah 0-2 kepada Singapura di separuh akhir pertama tetapi bangkit membelasah mereka 8-0 di tempat sendiri. Cuma kekalahan di final amat memeritkan kami sampai bila-bila," kata bekas pemain sayap, Nik Salleh Nik Man, 65.

Mahadi Yusof, 64, pula mahu pemain Kelantan bijak mengawal tekanan dan tidak dipengaruhi gelagat penyokong lawan yang ada kalanya sengaja melakukan sesuatu untuk mencetuskan kemarahan mereka.

Nasihat sama diberikan bekas penjaga gol, Nik Sazali Nik Jaafar, 60, kepada Halim Napi.

"Saya harap Halim fokus dan jangan layan provokasi pihak lawan yang mahu dia hilang tumpuan dan marah," katanya.

Bek kiri pada 1970, Husin Idris, 63, pula mahu pemain membalas kepercayaan pengurusan dan kerajaan negeri yang memberikan pelbagai ganjaran untuk membakar kesungguhan mereka.

'Lautan merah' banjiri Bukit Jalil

Oleh Adnan Mohamad
bhsukan@bharian.com.my


ANNUAR (tengah) bersama pemain pasukan Kelantan dan skuad pelapis pasukan melaungkan 'Kelantan Boleh' selepas menyampaikan sumbangan 1,000 tiket kepada pemain remaja sekolah di Kelantan serta bekas pemain yang beraksi pada final Piala Malaysia 1970, semalam.

Lebih 56,000 penyokong Kelantan dijangka hadir beri sokongan padu

'LAUTAN merah' bakal membanjiri Stadium Nasional, Sabtu ini, apabila lebih 56,000 penyokong Kelantan dijangka hadir buat menyokong pasukan itu dalam misi menamatkan penantian bergelar juara Piala Malaysia.

Angka itu, menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, dijangka bertambah jika mengambil kira kehadiran penyokong The Red Warriors di Lembah Klang.

"Kafa meminta tambahan 15,000 tiket daripada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) selepas 40,000 tiket yang diperuntukkan, sudah habis dijual dalam tempoh dua hari.

"Berdasarkan jualan setakat ini, dan tambahan baru itu, kira-kira 56,000 tiket sudah dalam tangan penyokong Kelantan, belum termasuk mereka yang membelinya secara terus di Stadium Nasional nanti.

"Saya harap penyokong hadir memberi sokongan dengan semangat kesukanan tinggi. Jangan jadikan jumlah besar ini mengganggu perlawanan yang dijangka sengit.

"Kita perlu tunjukkan semangat tinggi supaya tidak cacatkan malam bersejarah rakyat Kelantan," katanya selepas menyampaikan sumbangan 1,000 tiket kepada pemain remaja sekolah di Kelantan serta bekas pemain yang beraksi pada final Piala Malaysia 1970 - kali terakhir negeri itu mara ke aksi kemuncak.

Annuar turut mengumumkan bahawa Kafa bekerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad menyediakan tiket untuk 1,000 penyokong yang mahu menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu.

"Saya juga nasihatkan pengusaha-pengusaha bas supaya tidak mengenakan caj keterlaluan untuk penyokong yang mahu ke Kuala Lumpur kerana tidak mahu keceriaan penyokong terjejas," katanya.



Comments :

have 0 comments at “DUA GELARAN BUAT INDRA TAMBAH SELERA”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB