CUMA BERI DORONGAN, BERDOA

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh Zainuddin Muhammad

TUMPUAN pemain Kelantan kini hanya kepada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di Bukit Jalil, Sabtu ini.

Namun ada antara mereka terkilan dan memendam rasa kerana terpaksa melupakan hasrat untuk turut sama berjuang mencari kejuaraan sulung buat negeri Che Siti Wan Kembang.


Bekas ketua pasukan, Badri Radzi, terpaksa menjadi penonton kerana kakinya yang patah dalam saingan Liga Super menentang Pulau Pinang masih belum pulih sepenuhnya.

“Walaupun teringin sangat untuk membantu Kelantan menjulang piala berprestij itu buat pertama kali, saya mendoakan yang terbaik buat rakan lain.

“Sebelum ini, saya gagal membawa pulang Piala FA apabila kecundang di tangan Selangor dan saya berharap Indra Putra Mahyuddin yang menggantikan saya sebagai kapten, dapat membimbing pasukan menewaskan Negeri Sembilan untuk bergelar juara,” katanya.

Nasib malang juga dirasai penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail yang turut beraksi dalam final Piala FA tetapi terpaksa melepaskan tugas itu kepada Halim Napi.

“Halim bertindak cemerlang dengan hanya dibolosi dua kali saja setakat ini dan saya yakin jurulatih, B Sathianathan, tidak akan teragak-agak mengekalkannya dalam kesebelasan utama.

“Saya menipu sekiranya mengatakan saya tidak mahu diturunkan dalam perlawanan besar itu tapi lebih penting ialah kesinambungan pasukan dan matlamat untuk muncul juara,” katanya.

Halim boleh memberi kelebihan kepada pasukan kerana reputasinya yang sanggup melakukan apa saja boleh menimbulkan gerun kepada penyerang Negeri Sembilan seperti Zaquan Adha Razak, Hairuddin Omar dan S Kunanlan.

Pemain pertahanan, Rosairil Asrul Md Noor, pula menganggap tidak langsung berpeluang untuk bermain dalam final kerana sejak kebelakangan ini namanya sudah tidak tersenarai dalam pasukan.

“Kali terakhir saya diturunkan ketika peringkat kumpulan Piala Malaysia ketika menentang Kedah dan selepas itu saya dapati jurulatih tidak lagi memberi kepercayaan kepada saya.

“Walau apapun, saya masih menaruh harapan biarpun selaku pemain simpanan kerana dengan usia mencecah 32 tahun, saya mungkin tidak akan berpeluang lagi untuk bermain dalam final,” katanya.

Lain-lain berita...

Elak cetus kekecohan

SEBANYAK 10,000 tiket menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini kini boleh dibeli penyokong Kelantan di kaunter tiket di Stadium Sultan Muhamad IV.

Semua tiket berharga RM20 itu dijual hari ini mulai jam 12 tengah hari hingga 5 petang dan akan dijual lagi esok sekiranya masih ada.

Ketua Pegawai Eksekutif Kafa, Mohd Nor Yaacub, berkata penjualan tiket itu diharap dapat melegakan hati peminat yang akan berpusu-pusu memenuhi stadium bagi menyaksikan pasukan mereka berentap di final Piala Malaysia.

Katanya, Kafa menerima sebanyak 10,000 tiket atas ehsan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ia akan ditambah FAM sendiri sekiranya tidak mencukupi.

“Kafa berharap dengan penjualan awal ini tiada lagi insiden penyokong berebut-rebut mendapatkan tiket dan penjualan dapat dilakukan dengan lancar.

“Setiap penyokong hanya dibenarkan membeli tiga keping tiket dan mereka boleh mendapatkannya di kaunter yang disediakan di stadium berkenaan,” katanya.



Comments :

have 0 comments at “CUMA BERI DORONGAN, BERDOA”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB