BANNER GERGASI SEMARAKKAN SOKONGAN KEPADA KELANTAN

Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

PASIR PUTEH - Pelbagai kaedah dilakukan bagi menyemarakkan sokongan kepada pasukan Kelantan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan 7 November ini.

Bendahari Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan cawangan Pasir Puteh, Mohd Yusri Ismail berkata, beliau menempah banner atau pemidang gergasi dengan perbelanjaan sendiri yang akan dibawa ke Stadium Bukit Jalil.


Katanya, inisiatif itu diambil sebagai tanda sokongan tidak berbelah bagi kepada pasukan The Red Warriors.

“Impian melihat Kelantan beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia akhirnya tercapai dan saya berharap pemidang ini membantu menaikkan semangat penyokong dan pemain.

“Saya akan menyertai lebih 1,000 penyokong dari daerah ini ke stadium Bukit Jalil. Saya berharap sokongan padu ini akan menyuntik semangat pemain untuk beraksi cemerlang sekali gus membawa pulang Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah bola sepak negara,” katanya.

Beliau menyarankan semua penyokong memakai jersi rasmi pasukan serta mengibarkan bendera negeri bagi membentuk ‘lautan merah’ di stadium tersebut.

“Bayangkan kalau semua penyokong mengibarkan bendera Kelantan, ia akan ‘memberi tenaga’ kepada semua pemain,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Kemunting Store, AZ Fokus dan Data Speaks Creative Trading yang turut menjayakan misi tersebut.

Sinar Harian difahamkan 18 bas disediakan untuk penyokong dari daerah ini dan dijangka beratus-ratus kenderaan persendirian mengiringinya.

Lain-lain berita...

KOTA BHARU- Bagi penyerang sensasi Red Warriors, Mohd Khalid Jamlus menyifatkan kemaraannya bersama pasukan Kelantan dalam Piala Malaysia tahun ini bakal melakar sejarah baru bersama pasukan ini.

“Saya berharap agar dapat melakar satu kenangan manis bersama Kelantan dan berharap agar pemain lain tidak terlampau goyah ataupun teruja lebih-lebih lagi beraksi di perlawanan akhir di Bukit Jalil,” katanya yang sudah menamatkan zaman bujangnya.

Khalid berkata, beliau merasakan sedikit perbezaan setelah bergelar suami dan berharap agar perkahwinannya berkekalan sehingga ke akhir hayat.

“Saya rasa agak berbeza setelah berkahwin dan setiap manusia mesti ada rezeki yang masuk setelah berkahwin. Saya harap rezeki saya adalah untuk bawa balik Piala Malaysia ke Kelantan.

“Selaku pemain, kita perlu berikan tumpuan sepenuhnya dalam perlawanan akhir dan perbaiki segala kelemahan yang ada. Pasukan Kelantan beruntung adanya seorang jurulatih yang berpengalaman dan rasanya dia tahu apa yang diperlukan untuk mengalahkan pasukan lawan,” katanya.

Khalid juga merupakan salah seorang pemain yang berpengalaman menghadapi bahang perlawanan akhir bukan sahaja bersama Kelantan di Piala FA malah bersama pasukan Perak dan Selangor suatu masa dahulu.

“Dalam perlawanan akhir ini aura perlawanan berlainan dan tak sama seperti perlawanan biasa. Masa mula-mula dulu saya rasa agak gementar juga tapi setelah lima kali berpengalaman melangkah ke perlawanan akhir, rasanya saya boleh menyesuaikan diri.

“Kita perlu bermain secara berpasukan dan ia merupakan kunci kejayaan buat sesebuah pasukan. Rasanya semua pemain sedang bersemangat lebih-lebih lagi hampir 40 tahun pasukan Kelantan tidak berjaya membawa pulang Piala Malaysia,” katanya.

“Dengan doa peminat seluruh rakyat Kelantan, InsyaAllah kami akan membawa pulang Piala Malaysia ke Kelantan,” katanya.

Katanya, semua pemain telah menyatakan keazaman untuk bermain sebaik mungkin tanpa mencetuskan insiden buruk.

“Kalah menang adalah adat permainan tetapi biarlah permainan itu berlangsung dengan penuh semangat kesukanan dan kami sangat berharap penyokong Kelantan juga dapat menyaksikan perlawanan secara profesional,” katanya.

Beliau juga meminta pemain tidak terbawa-bawa dengan emosi yang dicetuskan penyokong seperti yang berlaku sebelum ini.

“Biarlah kami pulang membawa kenangan manis dengan menjuarai Piala Malaysia tahun ini tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Penyokong kita bukanlah penyokong yang ganas seperti mana penyokong lain,” katanya.



Comments :

have 0 comments at “BANNER GERGASI SEMARAKKAN SOKONGAN KEPADA KELANTAN”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB