SATHIA PUJI AKSI INDRA PUTRA

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh Wan Faizal Ismayatim
bhsukan@bharian.com.my


INDRA Putra (depan) muncul wira Kelantan kelmarin, sekali gus membawa pasukan sah bergelar juara Kumpulan E ketika saingan berbaki dua perlawanan.


JURULATIH Kelantan, B Sathianathan, menyifatkan Indra Putra Mahayuddin sebagai pemain berkelas antarabangsa, selepas kapten pasukan itu sekali lagi muncul wira pasukannya kelmarin, sekali gus sah bergelar juara Kumpulan E ketika saingan berbaki dua perlawanan.

"Banyak pasukan ternama bergantung harapan kepada pemain tertentu termasuk Selangor dalam Liga Malaysia. Malah, pasukan hebat seperti Real Madrid tewas apabila Cristiano Ronaldo tidak beraksi, begitu juga Indra menjadi pemain penting buat Kelantan.

"Sebagai tonggak pasukan, sudah tentu Indra menjadi harapan kami untuk menghasilkan jaringan dan bagi saya dia adalah pemain bertaraf antarabangsa," kata Sathia.


Sentuhan pemusnah Indra sekali lagi terbukti ketika aksi menentang Pulau Pinang di Stadium Sultan Muhammed IV, kelmarin, dengan gol kemenangan pada minit ke-80 selepas kedudukan sebelum itu terikat 1-1.

Ia adalah gol keempat pemain kebangsaan itu dalam empat perlawanan, tatkala Kelantan mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dan muncul pasukan pertama mengesahkan slot ke pusingan kalah mati.

Walaupun dua aksi berbaki menentang Kedah dan Tentera selepas ini sekadar melengkapkan jadual perlawanan, Sathia tidak melihatnya sebagai ruang untuk merehatkan pemain utamanya semata-mata untuk menghadapi saingan getir di suku akhir.

"Selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat, saya mempunyai pilihan untuk merehatkan pemain dalam dua perlawanan akan datang, tetapi ia boleh memberi kesan negatif kerana mereka perlu terus beraksi bagi mengekalkan momentum menjelang aksi suku akhir," katanya.

Bekas jurulatih kebangsaan itu juga menyifatkan anak buahnya belum mencapai prestasi kemuncak dan berharap segala kelemahan dapat diperbaiki segera.

"Malam ini (kelmarin) pemain saya beraksi dalam keadaan tertekan untuk mengutip tiga mata di depan penyokong sendiri bagi memastikan tempat ke suku akhir.

"Saya berharap dalam dua baki perlawanan Kumpulan E, mereka dapat menunjukkan peningkatan kerana tidak lagi perlu bermain dalam keadaan tertekan. Beberapa kelemahan seperti berdepan 'set piece' dan hantaran jauh lawan perlu diperbaiki," katanya.


Comments :

have 0 comments at “SATHIA PUJI AKSI INDRA PUTRA”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB