SASARAN RED WARRIOR'S JUARAI LIGA

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berharap agar persatuan bola sepak negeri dapat menyelesaikan masalah isu penarikan persatuan bola sepak di beberapa negeri di seluruh Malaysia secara muafakat.

Kesemua persatuan perlu mencari jalan penyelesaian bersama berikutan kebanyakan persatuan bola sepak kini sedang dilanda masalah kewangan dan ketidakupayaan pasukan untuk menyertai liga bola sepak di Malaysia musim 2010.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, pasukan yang sedang menghadapi masalah tersebut tidak perlu menarik diri daripada menyertai liga yang dipertandingkan.


“Saya berharap agar rakan-rakan pasukan lain menimbangkan semula hal terbabit. Banyak lagi negeri yang sedang menghadapi masalah hutang lapuk. Kalau mereka menarik diri secara tak langsung ia boleh menjejaskan industri bola sepak negara.

“Rasa macam cubit paha kiri paha kanan terasa. Jika kita dapat menyelesaikan masalah ini secara muafakat sudah tentu kita dapat memahami masalah yang dihadapi persatuan lain,” katanya.

Pihak jawatankuasa pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menimbang semula syarat yang dikenakan kepada kesemua persatuan bola sepak negeri agar kesemua negeri di Malaysia dapat menyertai liga tahun hadapan.

“FAM perlu membezakan antara hutang lapuk dengan hutang semasa jika tidak pentadbiran baru persatuan bola sepak negeri tidak dapat mentadbir persatuan tersebut. Kafa turut dibebani hutang daripada 2002 tetapi kita masih perlu membentuk sebuah pasukan.

“Persatuan bola sepak merupakan sebuah badan sukarela dan FAM perlu pertimbangkannya semula. Kita perlu berbincang cara penyelesaian dan bantu mana-mana negeri yang bermasalah,” katanya.

Pelbagai kesulitan timbul dan ia menjejaskan perkembangan semasa bola sepak negara. Kesemua persatuan perlu diberi peluang kerana bola sepak merupakan sukan nombor satu negara.

Menurutnya, 2010 tentunya demam bola sepak bakal melanda dan ia merupakan tahun yang terbaik untuk menarik minat masyarakat terhadap sukan bola sepak. Dalam perancangan Kafa, beberapa program akan dijalankan setelah tamat Piala Malaysia musim ini.

Kelantan mensasarkan untuk membentuk sebuah pasukan terkuat mulai tahun hadapan dan sasaran telah ditetapkan agar menjuarai tiga piala pada musim hadapan.

“Kelantan berada di landasan yang betul dan tahun depan cita-cita Kelantan untuk menjadi sebuah pasukan juara dan kini Red Warrior’s dalam proses pembentukan semula pasukan Kelantan.

“Saya akan umumkan barisan pemain Kelantan yang baru sebelum tamat Piala Malaysia bagi sesi 2009,” katanya.

Sumber : Sinar Harian


Comments :

have 0 comments at “SASARAN RED WARRIOR'S JUARAI LIGA”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB