SATHIANATHAN BIMBING KELANTAN

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my



KEHILANGAN jurulatih Peter James Butler beberapa hari lalu mengundang sedikit kegusaran di kem skuad bola sepak Kelantan.

Tambahan pula, Kelantan kini dalam persiapan akhir bagi menghadapi kempen Piala Malaysia yang bermula Sabtu ini.

Berikutan itu, pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengambil tindakan drastik untuk mencari pengganti Butler.


Selang empat hari selepas Butler meninggalkan Kelantan, presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa akhirnya mengumumkan kerusi panas tersebut bakal diisi oleh bekas jurulatih negara, B. Sathianathan (gambar) yang akan menerajui Kelantan sepanjang kempen Piala Malaysia kali ini.

"Pelantikan ini bukan dibuat secara terburu-buru dan sekadar 'melepas batuk di tangga' kerana sebelum ini juga kita telah membuat penilaian terhadap beliau (Sathianathan).

"Tindakan yang dilakukan oleh Peter menyebabkan kita mengambil keputusan menamakan B. Sathianathan sebagai ketua jurulatih yang baru," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Tambah Annuar, Kelantan begitu optimis untuk mencipta kejutan dalam kempen Piala Malaysia kali ini dan para pemain tidak terkesan dengan peletakan jawatan Butler yang dilaporkan telah menandatangani kontrak dengan kelab Myanmar, Yangoon United FC.

"Kita sudah menyemak kontrak dan Peter seharusnya memberi notis sebulan sebelum meninggalkan pasukan, namun beliau gagal berbuat demikian.

"Ini adalah satu tindakan yang tidak beretika dan kita akan maklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta pasukan barunya untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Sementara itu, Annuar juga mengumumkan Kelantan kini sedang menguji seorang pemain remaja yang beraksi bersama pasukan simpanan kelab gergasi Itali, Juventus.

"Pemain yang mampu beraksi di posisi pertahanan dan tengah berusia 19 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak.

"Dia ke Itali sejak berusia 15 tahun untuk menyambung pelajaran dan turut beraksi bersama kelab tersebut.

"Kita akan menguji beliau untuk melihat aksi dan sekiranya aksi yang dipamerkan memikat pihak pengurusan, kita mungkin bersedia menawarkan kontrak untuknya," jelasnya.

Comments :

have 0 comments at “SATHIANATHAN BIMBING KELANTAN”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB