PERMULAAN YANG MELEGAKAN - SATHIANATHAN

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

KOTA BHARU - Tidak ada perkara yang lebih baik bagi pengendali baru skuad Kelantan, B. Sathianathan selain memulakan perlawanan pertama membimbing pasukan baru dengan langkah kanan.

Menurut bekas jurulatih kebangsaan itu, ia satu kelegaan buat dirinya selepas pasukan yang masih dalam 'pembikinan' itu berjaya membenam cabaran Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan malam semalam.

Walaupun ketinggalan satu gol pada masa pertama, namun sentuhan dan kata-kata perangsang yang diberikan kepada anak buahnya membolehkan mereka bangkit setelah menemukan sentuhan berbisa dan mematikan terus cabaran lawan.


"Agak cemas pada mulanya kerana bimbang akan terus ketinggalan dengan jumlah gol yang besar.

"Masuk separuh masa kedua, semua pemain all-out, kita banyak menyerang dan menemui semua rentak permainan," katanya semalam.

Tiga mata berharga itu menjadikan pasukan Kijang itu berada di landasan terbaik untuk melangkah dengan lebih yakin ke saingan suku akhir.

Gol pertama dihasilkan melalui ketua pasukannya, Indra Putra Mahyuddin yang memperoleh sepakan penalti selepas dikasari oleh pertahanan lawan manakala kemenangan mutlak skuad ini dicernakan melalui penyerang, Khalid Jamlus.

Meskipun persembahan pasukan ini goyah pada separuh masa pertama sehingga memberi peluang gol mereka dirobek oleh pasukan tuan rumah, namun jentera pasukan berjaya diperkemas apabila perlawanan memasuki separuh masa kedua.

Sathianathan berkata, rehat yang agak panjang sebelum bermulanya kempen Piala Malaysia menyebabkan corak permainan pasukannya sedikit terjejas pada mulanya.

"Ekoran terlalu lama berehat, para pemainnya menjadi lambat panas sehingga hilang punca dan tersentak dengan gerakan pantas yang diatur oleh jentera tengah pasukan lawan.

"Persembahan jadi serba tidak menjadi menyebabkan pasukan Pulau Mutiara itu berjaya menguasai permainan," katanya.

Sementara itu, mengenai persiapan menentang Kedah, Selasa ini, Sathianathan mahu semua pemain bangkit menunjukkan prestasi sebenar dan mengekalkan momentum kemenangan seterusnya berpeluang melangkah mudah ke suku akhir.

Comments :

have 0 comments at “PERMULAAN YANG MELEGAKAN - SATHIANATHAN”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB