PENGALAMAN SENJATA UTAMA SATHIANATHAN

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

KOTA BHARU - Jurulatih baru skuad bola sepak Kelantan, B. Sathianathan telah bersiap sedia membawa pasukan itu mengharungi cabaran kempen Piala Malaysia bermula Sabtu ini.

Beliau berkata, skuad Red Warrior sendiri adalah sebuah pasukan yang dibarisi oleh pemain yang mempunyai keazaman tinggi untuk mencipta kejayaan, malah mendapat sokongan padu peminat.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan menggunakan sepenuhnya pengalaman dimiliki di peringkat antarabangsa untuk menggabungkan semua elemen tersebut dalam satu acuan yang mampu mencipta kejayaan kepada pasukan ini.


"Saya nampak sejak kebelakangan ini Kelantan satu pasukan yang serius dan bercita-cita tinggi dengan barisan pemain yang berkaliber serta mempunyai peminat yang sangat fanatik.

"Mereka ada cita-cita oleh itu sebagai seorang jurulatih kita ikut cara itu (cita-cita) dan saya sendiri telah biasa dengan tekanan sama ada ketika bersama pasukan kebangsaan atau pun untuk menghadapi peminat fanatik," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sathianathan mengambil alih jawatan sebagai jurulatih Kelantan selepas Peter James Butler meletakkan jawatan pada 16 September lalu.

Harapan penyokong untuk pasukan itu mencipta kejayaan sememangnya tinggi terutama sekali taktik menyerang yang menjadi senjata utama Butler sebelum ini, berjaya membawa Red Warrior ke perlawanan akhir Piala FA sebelum tewas kepada Selangor.

Sementara itu, dalam kempen Liga Super, Kelantan berjaya menduduki tangga keenam iaitu satu keputusan membanggakan walaupun baru pertama kali menyertai kancah tersebut.

Kelantan yang diundi dalam Kumpulan E bersama Kedah, Tentera dan Pulau Pinang akan memulakan cabaran mereka Sabtu ini menentang skuad Pulau Mutiara.

Sathianathan berkata, faktor pemain dan penyokong yang sentiasa memenuhi Stadium Sultan Muhamed IV ketika pasukan tersebut beraksi di laman sendiri akan turut menjadi penentu kejayaan pasukan.

Sementara itu, katanya, pelantikan Indra Putra Mahayuddin sebagai kapten baru pasukan menggantikan Badri Radzi yang mengalami kecederaan jangka panjang adalah satu pilihan tepat.

Comments :

have 0 comments at “PENGALAMAN SENJATA UTAMA SATHIANATHAN”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB