HALIM KEMBALI 'BERSYARAT'

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
bhsukan@bharian.com.my


SYAWAL 2007 Halim meraikan Aidilfitri bersama anaknya (dari kiri) Nurul Shaznina, 10, Nurul Shahanisa, 8, Nurul Shafanie, 12 selepas memberi kambing peliharaannya makan berbeza tahun ini dia raya sakan apabila diberi peluang kembali beraksi dalam liga.

Kelantan gugur gantung tanpa had ke atas penjaga gol

BATAL kontrak mengiringi lampu hijau dari Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kepada penjaga golnya, Halim Napi, yang dibenarkan kembali beraksi bersama pasukan itu, andai mengulangi insiden memukul pemain atau masalah disiplin lain.

Naib Presiden Kafa, Datuk Affandi Hamzah, berkata pihaknya memandang berat tingkah laku Halim yang disabit dengan masalah disiplin ketika di padang sebelum ini sehingga mencetuskan kontroversi yang turut terpalit kepada persatuan itu.


"Dalam saingan Piala Malaysia yang bermula minggu depan, Kafa belum lagi memutuskan sama ada Halim akan diturunkan sebagai pemain tetap atau sebaliknya, kerana ia bergantung kepada jurulatih, Peter Butler.

"Walaupun penggantungan Halim ditarik balik dan dibenarkan beraksi semula, kami akan membuat pemantauan sama ada dia mampu menunjukkan prestasi yang memuaskan serta tahap disiplinnya," katanya selepas majlis berbuka puasa bersama pemain skuad Red Warrior di Kota Bharu, kelmarin.

Pada majlis itu, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, menyampaikan sumbangan wang hari raya kepada pengurusan pasukan dan semua pemain pasukan itu.

Halim sebelum ini dikenakan penggantungan tanpa had oleh Kafa manakala denda RM3,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas didapati bersalah menyerang pemain Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV Kota Bharu pada 7 April lalu.

Affandi juga berharap, Halim akan menggunakan peluang yang diberi dengan sebaik mungkin dan sekiranya perbuatan terbabit berulang, pihaknya tidak teragak-agak membatalkan kontrak penjaga gol berkenaan.

"Halim perlu sedar perbuatan yang dilakukan itu begitu berat dan menjejaskan nama pasukan Kelantan di mata masyarakat.

"Saya harap, insiden dan hukuman yang diambil Kafa terhadap Halim dijadikan iktibar dan pedoman supaya kejadian seperti itu tidak berulang lagi," katanya.

Affandi berkata, Halim sudah memberi jaminan untuk memberi komitmen sepenuhnya dalam skuad Red Warrior jika diberi peluang dalam saingan Piala Malaysia kelak.

"Jadi, Kafa berharap apa yang dijanjikan itu mampu dikotakan supaya imej Kelantan bersinar kembali dan isu penggantungan Halim tidak berbangkit lagi," katanya.

Sementara itu, Halim yang ditemui pada majlis sama, mengelak daripada memberi sebarang ulasan berhubung penarikan balik penggantungan terhadapnya.

Comments :

have 0 comments at “HALIM KEMBALI 'BERSYARAT'”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB